PROFIL PUTERI


NUR SYAZWANIE BINTI ISMAIL
D20121057974
SEM 8 2015/2016
CHANGLOON, KEDAH



NORHAFIZAH BINTI ABD RAHIM
D20121057979
SEM 8 2015/2016
LAHAD DATU, SABAH


AINI ATIROH BINTI IBRAHIM
D20121057957
SEM 8 2015/2016
KULIM, KEDAH


NURUL WAJEEHAH BINTI MD YUSOF
D20121057978
SEM 8 2015/2016
KUALA TERENGGANU, TERENGGANU




MARLIANA BINTI HASSAN 
D20121057961
SEM 8 2015/2016
PALONG, NEGERI SEMBILAN





HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

1.0 PENGENALAN

Menurut Seri Lanang Hj. Rohani et al. (2016), karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Berdasarkan konsep ini, maka karya agung Melayu dapat difahami sebagai karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu. Karya agung dalam konteks dunia Melayu pula boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah dan budaya Melayu (Seri Lanang Hj. Rohani et al., 2016). Oleh hal yang demikian, karya agung Melayu dapat dianggap sebagai sebuah karya ulung keranan ciri-ciri yang ada dalam karya tersebut membentuk budaya dan tamadun sesuatu bangsa yang kekal sepanjang zaman. Sesebuah karya yang diangkat menjadi asas keintelektualan sesuatu bangsa semestinya berbentuk tulisan. Hal ini demikian kerana, melalui tulisan sahaja kita dapat mengenal isi dan mesej yang terkandung dalam karya tersebut yang akhirnya dapat menggambarkan kehebatan bangsa tersebut.

Mortimor Adler (1961) menyenaraikan tiga sifat utama sesuatu karya agung, yakni i) karya yang dapat dikaitkan dengan masalah dan isu masa kini, ii) karya yang tidak jemu dibaca berulang kali dan iii) karya yang bersesuaian dengan pemikiran yang hebat dan boleh mengisi minda individu sehingga masa kini. Sesebuah karya yang diiktiraf menjadi karya agung adalah berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya tersebut (Seri Lanang Hj. Rohani et al. 2016). Ciri-ciri inilah yang menjadikan sesebuah karya agung itu bernilai tinggi yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu sesebuah bangsa. Namun begitu, tiada ukuran sejagat terhadap ciri-ciri ini kerana setiap karya sastera lahir daripada tradisi, budaya dan tamadun yang berbeza-beza. Maka, penelitian terhadap ciri-ciri karya agung Melayu dapat dibuat berdasarkan aspek-aspek berikut:

i. Pemikiran dalam karya agung
ii. Estetika dan kepengarangan karya agung
iii. Nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung
iv. Nilai ilmu dalam karya agung
v. Falsafah dalam karya agung

Sehubungan itu, penulisan ini akan membincangkan ciri-ciri karya agung Melayu dalam karya kesusasteraan tradisional iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Menurut Siti Hawa Hj. Salleh (1998) Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan dalam penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain. Pengarang dalam hikayat ini telah mencipta sesuatu karya yang unik kerana menggemblengkan unsur pensejerahan dalam karya sehingga meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup dengan caranya tersendiri. Keistimewaan ini diperkuat lagi dengan nilai ilmu dan kepengarangan yang dipersembahkan melalui tulisan pengarang. Oleh itu, penulisan ini akan menghuraikan aspek-aspek ini yang mengangkat Hikayat Merong Mahawangsa ke taraf karya agung. 

1.1 Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa 

Menurut Siti Hawa Hj. Salleh (1998) dalam myKedah.com yang diperoleh pada April 11, 2015 daripada http://www.mykedah2.com/10heritage/111_3.html, Hikayat Merong Mahawangsa mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa. Beliau menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan. Hikayat ini dibahagikan kepada lima bahagian. Pada bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri mengikut mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah diceritakan nenek moyang raja-raja Kedah yakni Raja Merong Mahawangsa. Beliau dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Raja Rom serta menjadi pembesar kepercayaannya. Raja Merong Mahawangsa telah diarahkan untuk mengiringi angkatan Putera Raja Rom ke negeri China untuk meminang Puteri Raja China. Namun begitu, rombongan tersebut telah diserang dan dimusnahkan oleh Geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. 
  Usaha Geroda tidak membuahkan hasil kerana Putera Raja Rom dan Puteri Raja China dipertemukan di Langkapuri. Sementara itu, Raja Merong Mahawangsa pula diterima sebagai Raja di Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya iaitu Raja Merong Mahadipusat setelah dewasa dan layak memerintah negeri. Seterusnya, Raja Merong Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya untuk meneruskan pemerintahan di negeri itu. Raja Merong Mahadipusat telah mendapat empat cahaya mata. Baginda mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam, putera kedua membuka negeri Perak, anakandanya yang ketiga seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Meskipun pengarang tidak menyebut perkaitan antara negeri Kedah dengan negeri Perak dan Patani, namun pengarang menggambarkan wujudnya pertalian yang erat antara negeri Kedah dengan negeri Siam. 
  Hal ini terbukti melalui penghantaran bunga emas dan bunga perak dari negeri Kedah kepada Siam apabila Raja Seri Mahawangsa mendapat berita kekanda sulungnya mendapat putera. Sejak peristiwa ini, Raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hinggan ke akhir zaman setiap kali mendapat putera. Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya yakni Raja Seri Maha Inderawangsa menentang perintahnya dengan berkahwin dengan puteri berbangsa gergasi. Melalui perkahwinan inilah telah melahirkan Raja Bersiung. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih terkenal sebagai Raja Bersiung menjadi raja yang zalim terhadap rakyatnya sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda pula diganti oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa. Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsa, negeri Kedah menerima Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan raja Kedah pertama yang memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Muzalfal Syah. Setelah selesai meletakkan asas keislaman di negeri itu, Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan Muzalfal Syah diganti oleh puteranya bergelar Sultan Muazzam Syah. Hikayat diakhiri dengan jurai keturunan raja-raja yang memerintah Kedah hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, raja yang memerintah semasa hikayat ini disalin kali terakhir.


2.0 CIRI-CIRI HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA 

Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung adalah berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan. Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, beberapa ciri-ciri khusus yang ada pada karya tersebut telah dikaji, meliputi aspek pemikiran, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup, estetika dan seni kepengarangan dan nilai ilmu. 

2.1 Pemikiran dalam Hikayat Merong Mahawangsa 

Pemikiran dalam sesebuah karya boleh didefinisikan sebagai sebuah subjek yang dibawa oleh pengarang melalui idea dan pengalaman serta gabungan antara imaginasi dan kreativiti yang akhirnya divisualkan menjadi tema dan persoalan bagi sesebuah karya yang dihasilkan (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md Idris, 2016). Secara mudahnya, pemikiran dapat dikaitkan dengan perkara utama atau tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam sesebuah karya. Istilah pemikiran itu pada asalnya terbit daripada kata akar ‘fikir’ (S. Othman Kelantan, 1997). Perkataan itu berasal dari istilah Arab ‘fikrun’ atau ‘aftar’. Dua perkataan ini membawa maksud ‘fikiran’. Menurut S. Othman Kelantan (1997) lagi, kalimat fikir dan fikiran itu diertikan sebagai “ingatan, angan-angan, renung, akal; anggapan, pendapat, sangka, kira, daya berfikir, akal, ingatan, hasil pemikiran, pendapat, pertimbangan, upaya, muslihat”. Selain itu, S.Othman Kelantan (1997) turut menjelaskan bahawa pemikiran merupakan satu fikiran atau idea yang muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan ini menggunakan akalnya dalam memikirkan konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya, dan pemikiran tersebut dilebarkan oleh golongan cerdik pandai ke luar lingkungannya. 

 2.1.1 Mengangkat Keagungan Agama Islam.

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, pengarang mengaitkan galur ceritanya dengan kisah Nabi Sulaiman dengan Burung Geroda adalah bertujuan untuk mengangkat keagungan Agama Islam itu sendiri. Secara logiknya pengarang telah mengarapkan unsur dan nilai Islam sejak peringkat awal penghasilan Hikayat Merong Mahawangsa dengan begitu menarik. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan hikayat seperti dibawah : 

‘ketahui oleh mu kepada zaman dahulu kala dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya chetera ini, maka ada-lah kepada suatu masa sedang zaman Nabi Allah Sulaiman álaihis-salam naik jadi raja yang tetap di-atas takhta kerajaan, di-kurnia Allah Taála di-dalam dunia ini yang memerentahkan daripada segala makhlok khalayak2 yang berjenis2 bangsa-nya yang di-jadikan Allah Subhanahu wa Taála di-dalam dunia ini di-titahkan oleh Allah sarwa sekalian álam memerentahkan isi álam di-dunia ini di-dalam hokum Nabi Allah Sulaiman tiada boleh hendak melalui hukumnya… 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 3) 

Hujah ini dapat diperkukuhkan melalui peristiwa Burung Geroda yang berusaha menghalang perkahwinan antara Putera Raja Rom dengan Puteri Raja China. Burung itu telah merencanakan pelbagai musibah seperti memusnahkan angkatan Putera Raja Rom dan menculik Puteri Raja China. Namun segala usahanya menemui kegagalan. Pengarang meletakkan batu asas dalam penulisannya bahawa segala yang berlaku tidak boleh dipertikaikan kerana ianya berlaku dengan izin Allah S.W.T. Perkaitan peristiwa yang digarapkan oleh pengarang dapat dilihat melalui peranan watak Nabi Sulaiman dalam hikayat Merong Mahawangsa sebagai khalifah di muka bumi yang boleh berbicara dengan haiwan secara tegasnya telah menyatakan kepada Geroda bahawa terdapat empat perkara yang tidak dapat diubah dalam kehidupan makhluk melainkan dengan izin Allah iaitu rezeki, jodoh pertemuan penceraian dan perkara yang memutuskan rezeki. Hal ini boleh dibuktikan melalui petikan : 

Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai burong garuda! Demi Tuhan yang menjadikan aku, ada pun jodoh pertemuan itu di-dalam batu atau di-dalam kayu sekali pun tiada siapa yang dapat mencheraikan dia.’
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 5) 

Pengarang turut mengangkat martabat unsur Islam kerana kegagalan Burung Geroda dianggap sebagai simbol kekalahan unsur Hindu kerana dipercayai bahawa Burung Geroda adalah burung mistik agama Hindu yang cuba memperlihatkan keangkuhannya kepada Nabi Sulaiman A.S.

 2.1.2 Pembukaan Negeri Kedah

Ada beberapa peristiwa yang berlaku sehingga menyebabkan pembukaan negeri Kedah. Segala-galanya bertitik tolak kepada peristiwa perjanjian yang dilakukan oleh burung Geroda dengan Nabi Allah Sulaiman yang menyatakan bahawa dia akan memisahkan hubungan yang akan dijalinkan antara Raja Rom dan Raja China dengan mengahwinkan anak-anak mereka. Burung Garoda telah melakukan perjanjian untuk menghalang hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut. Burung Garoda telah menyerang bahtera yang dinaiki oleh anak Raja Rom dan Merong Mahawangsa. Serangan telah dilakukan secara bertubi-tubi dan menyebabkan anak Raja Rom berpisah dengan pembantunya iaitu Merong Mahawangsa. Bahtera anak Raja Rom yang telah disambar oleh burung Garoda menyebabkan bahtera tersebut musnah dan anak Raja Rom dihanyutkan laut. Apabila Raja Merong Mahawangsa menjadi raja di Langkasuka, maka baginda telah memerintah Langkasuka dengan baik. Namun yang demikian, beberapa lama kemudian, utusan Raja Merong Mahawangsa kembali daripada menghadap Raja China. Utusannya telah membawa utusan anak Raja Rom yang dijumpai semasa menghadap Raja China. Kemudian, Raja Merong Mahawangsa terpaksa belayar bersama-sama dengan utusan anak Raja Rom untuk berjumpa dengan anak Raja Rom. Sebelum berlayar, Raja Merong Mahawangsa telah memberikan takhtanya kepada puteranya iaitu MerongMahadipusat untuk memerintah Langkasuka. Hal ini dibuktikan berdasarkan teks yang berikut: 

“… Maka sembah segala menteri, ‘patut sangat tuanku menamakan negeri ini, supaya tidak sesat daripada sebutannya.’ Maka sembah pula menteri Rum, ‘bukanlah dengan kemudahan juga mendapat negeri ini, dengan tiada sukarnya, jikalau kepada namanya pun demikian jua.’ Maka titah Raja Merong Mahawangsa, ‘jika demikian, hendaklah kita namakan negeri ini Negeri Kedah Zamin Turan sebutannya. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 30) 

Dengan nama yang telah diberikan oleh Raja Merong Mahawangsa, maka secara tidak langsung, tertubuhlah sebuah negeri yang bernama Kedah. Setelah itu, segala pemerintahan telah diamanahkan kepada anakandanya iaitu Raja MerongMahadipusat. 

2.1.3 Penubuhan Kerajaan

Sebelum keberangkatan Raja Merong Mahawangsa menghadap anak Raja Rum, baginda telah memberikan beberapa wasiat kepada anakandanya, Raja Merong Mahadipusat. Raja Merong Mahawangsa menitahkan anakandanya untuk memperbesar empayar pemerintahannya dengan meminta anakanda-anakanda Raja MerongMahadipusat membuka kerajaan-kerajaan baru. Hal ini dibuktikan daripada teks yang berikut: 

“Serta titahnya, ‘ hai anakku Raja MerongMahadipusat, jikalau anakku beroleh anak pada zaman ini, hendaklah anakku rajakan akan dia seorang sebelah utara barat laut, seorang sebelah selatan timur menenggara daripada negeri Kedah ini dan seorang sebelah matahari naik antara timur laut.” 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 30) 

Akhirnya, Raja Merong Mahadipusat telah dikurniakan empat orang anakanda, tiga orang anakanda lelaki dan seorang anakanda perempuan. Raja Merong Mahadipusat telah mengikut wasiat dan saranan daripada ayahandanya dengan menitahkan anakandanya yang tua untuk membina sebuah kerajaan yang dinamakan sebagai Benua Siam. Anakandanya yang tengah pula dihantar untuk membina kerajaan yang dinamakan Negeri perak manakala anakanda perempuannya pula telah memerintah sebuah kerajaan yang bernama Patani. Manakala anakandanya yang akhir diberikan takhtanya untuk diwarisi apabila baginda mangkat kelak. Maka dengan ini, jelaslah bahawa keempat-empat anakanda Raja MerongMahadipusat telah menubuhkan kerajaan yang tersendiri seperti yang diinginkan oleh datuknya, Raja Merong Mahawangsa. 

 2.1.4 Kehebatan dan Kesantunan Raja Merong Mahawangsa 

‘…ada pun beta singgah di-sini ini, jikalau baik2 bichara-nya mahu-lah beta dudok berhenti di-sini dahulu sementara menanti mengambil khabar anak Raja Rum itu kalau2 ada hidup-nya. Maka sembah segala kaum gergasi itu, ‘Patek sakalian pun lebeh lagi kesukaan kerana patek sakalian ini tiada menaroh raja pada tempat ini. Jikalau demikian baik-lah duli tuanku chuba berangkat melihat tanah ini yang patut tempat hendak dudok.’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 18) 

Melalui petikan di atas, pengarang telah menterjemahkan peristiwa penabalan Merong Mahawangsa sebagai raja di suatu kawasan yang didiami oleh kaum gergasi dengan penuh dramatik. Melalui penggarapan peristiwa ini dapat kita hujahkan bahawa pemikiran politik yang cuba ditonjolkan pengarang adalah berkisarkan kehebatan dan kesantunan yang dimiliki oleh Merong Mahawangsa telah membuka mata kaum gergasi yang digeruni ramai untuk melantik beliau sebagai raja di kawasan tersebut. Peristiwa ini telah diriwayatkan dengan teratur oleh pengarang, kisah ini bermula setelah kegagalan Merong Mahawangsa dalam mencari Putera Raja Rom yang diserang oleh Geroda selama beberapa hari lalu beliau mengambil keputusan untuk belayar mencari Putera Raja Rom. Beliau dan anak kapalnya telah singgah di subuah kawasan yang didiami oleh kaum-kaum gergasi yang sangat digeruni oleh sekalian manusia pada ketika itu namun Merong Mahawangsa sedikitpun tidak gentar dan terus mengadap kaum tersebut dan dengan rendah hati serta sopannya beliau telah memohon untuk mendirikan pertempatan sementara di kawasan tersebut. Melihatkan kesantunan dan keberanian yang luar biasa dimiliki oleh Merong Mahawangsa, kaum gergasi sepakat untuk melantik beliau sebagai raja di kawasan tersebut yang akhirnya diberi nama Langkasuka oleh Merong Mahawangsa. Peristiwa ini dapat dilihat melalui petikan : 

‘Maka Raja Merong Mahawangsa pun dengan segala menteri hulubalang naik ka-darat. Maka tatkala itu datang-lah kaum gergasi, orang-nya besar2, terlalu banyak datang mengadap Raja Merong Mahawangsa. Maka Raja Merong Mahawangsa pun sudah ketahui bangsa-nya gergasi lalu di-tegor-nya dengan manis suara-nya mengambil hati-nya. Maka segala kaum gergasi itu pun takut-lah akan Raja Merong Mahawangsa itu serta hebat sikap-nya tiada berlawan pada zaman itu dan yang melihat akan dia itu takut dan gentar sekalian-nya daripada segala bangsa. …Sa-telah sudah balai itu maka di-nama-nya akan dia Langkasuka,…’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 19) 

Melalui rentetan peristiwa inilah pengarang cuba membangkitkan nilai keluhuran dan kesantunan yang dimiliki oleh seorang pemerintah sehebat Merong Mahawangsa. 

 2.1.5 Kedudukan Merong Mahawangsa sebagai Seorang Pemerintah yang Agung 

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, pengarang banyak mengaitkan Merong Mahawangsa dengan dua buah kerajaan besar iaitu Kerajaan Rom dan China. Hal ini bertujuan untuk mengangkat kedudukan Merong Mahawangsa sendiri sebagai seorang pemerintah agung. Ironinya, Kerajaan Rom dan China menjadi sandaran pengarang karya kerana jika dilihat pada zaman tersebut kedua-dua buah negara ini adalah merupakan dua kuasa hebat dunia. Dengan mengaitkan Merong Mahawangsa dengan kedua-dua buah negara ini dapatlah kita mentakrifkan bahawa pengarang sebenarnya ingin mengangkat darjat pengasas Kerajaan Kedah iaitu Merong Mahawangsa yang dikatakan mempunyai ikatan yang sangat erat dengan pemerintah Rom dan China malah beliau juga terlibat secara tidak langsung dalam pentadbiran Kerajaan Rom malahan beliau turut menjadi orang sandaran Maharaja Rom. Selain itu, pengasas Kerajaan Kedah bukanlah calang-calang orang dan itulah sebenarnya pemikiran politik yang ingin disampaikan pengarang melalui perkaitan hikayat dengan dua buah kuasa besar tersebut. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan:

‘…Maka titah Sultan Rum kepada Raja Merong Mahawangsa, ‘Hai saudara hamba, hendak-lah saudara pergi ka-Benua China ganti hamba membawa pergi paduka anak-anda ini; kahawinkan dengan anak Raja Benua China.’ 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 8) 

 2.1.6 Memartabatkan Negeri Kedah sebagai Sebuah Kerajaan yang Berdaulat. 

Ideologi pemikiran politik dalam Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan bahawa bunga emas yang dihantar oleh Kerajaan Kedah kepada Negeri Siam bukanlah tanda mengakui ketuanan Siam terhadap Kerajaan Kedah namun ianya adalah sebagai simbol kekeluargaan dan penghargaan. Bunga emas yang dikirim oleh Sultan Kedah kepada Kerajaan Siam adalah bertujuan untuk memberi ucapan penghargaan kepada kekandanya Raja Siam yang menyambut kelahiran bayi sulung. Pengarang juga menekankan bahawa tradisi penghantaran bunga emas bukanlah tanda kelemahan Kerajaan Kedah namun lebih bersifat kemesraan atau tanda yang muda menghormati yang tua. Negeri Siam juga dilihat telah membantu Kerajaan Kedah dalam menyelesaikan kemelut dalaman Negeri Kedah melalui peristiwa bantuaan Kerajaan Siam dalam mencari penganti yang sesuai untuk mengantikan Raja Bersiuang yang telah melarikan diri akibat ditentang oleh pembesar berempat kerana kekejamannya. Peristiwa ini dapat dibuktikan melalui petikan : 

‘… Raja Seri Mahawangsa dengan titah-nya, ‘Hendak-lah tuan hamba sekalian sembahkan pada saudara kita, jika ia beroleh anak beri jua kabar ka-negeri Kedah ini; demikian-lah kita hantarkan,… menteri yang membawa surat dan pohon bunga emas, bunga perak, bertanya khabar saudara-nya dan hal negeri Kedah…’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 56-57) 

 2.1.7 Keturunan Pemerintah Kedah Mempunyai Kedudukan yang Tinggi 

Pemikiran ini cuba diketengahkan oleh pengarang melalui peristiwa perkahwinan antara Maharaja Seri Maha Inderawangsa dengan wanita daripada golongan gergasi adalah untuk menyatakan bahawa keturunan pemerintah Kedah mempunyai kedudukan yang sangat tinggi sehinggakan golongan gergasi yang mempunyai kedudukan yang rendah adalah tidak setaraf untuk dijadikan sebagai isteri. Perhubungan antara dua darjat yang berbeza amat memalukan bagi keluarga Diraja Kedah, dan disebabkan kedegilan Maharaja Seri Maha Inderawangsa beliau telah dianggap menderhaka dan dikatakan akibat kecewa dengan sikapnya itu ayahandanya iaitu Maharaja Seri Inderawangsa telah meninggal dunia. Selain membangkitkan isu darjat, pengarang juga turut menonjolkan isu balasan Tuhan terhadap sikap derhaka seorang anak dimana menurut riwayat ini Maharaja Seri Maha Inderawangsa telah dikurniakan seorang Putera yang bernama Raja Ong Maha Peria Deria yang lebih dikenali sebagai Raja Bersiung yang zalim dalam pemerintahannya. Peristiwa ini dapat dilihat melalui petikan di baawah : 

‘Maka oleh Raja Seri Mahawangsa beberapa di-tegahkan anakanda baginda itu daripada beristeri akan budak perempuan itu mengatakan tiada sama bangsa-nya dengan kita, kalau2 siapa tahu akhirnya beroleh anak dengan perempuan itu menurut bawa nafsu kaum-nya ia-itu gergasi masok fitnah makan-nya itu;dengan sebab itu di-tegahnya oleh ayahanda baginda Raja Seri Mahawangsa akan anakanda baginda itu. Maka tiada juga di-dengar-nya kata ayahanda baginda itu, di-peristerikan juga akan perempuan itu. …baginda pon dukachita-lah di-dalam hati-nya. Maka dengan kemashgulan hal yang demikian, maka baginda pun jatoh-lah sakit yang teramat sangat. Maka baginda pon hilang-lah…’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 60) 

2.1.8 Kezaliman dan Ketidakperikemanusiaan 

Raja Bersiung Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung kerana pembentukan sifat semula jadinya yang sedari awal lagi menuju keaarah kezaliman dan ketidakperikemanusiaan. Kejahatan Raja Bersiung ini dikatakan mungkin kerana ibunya cucu Nang Miri itu adalah daripada golongan gergasi. Perkembangan watak ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dikawal oleh beliau sendiri. Siung yang tumbuh juga merupakan sesuatu yang berada di luar dugaan dan kawalan raja tersebut kerana peristiwa baginda mendapati masakan yang dicampur dengan darah manusia juga merupakan suatu peristiwa yang tidak disengajakan. Walau bagaimanapun, disebabkan terlalu mengikut perasaan Raja Bersiung telah bertindak di luar batasan kemanusian apabila beliau sanggup mengorbankan nyawa rakyatnya saban hari demi mendapatkan darah. Kezaliman dan kejahatan Raja Bersiung ini dapat dibuktikan melalui petikan teks yang berikut: 

“Demi Raja Bersiung mendengar sembah perempuan itu, maka ia pun menyarungkan pedangnya serta bertitah, ‘ Baiklah, lalu berangkat keluar ke balai rong bertitah , ‘ Mana penghulu biduanda sekalian? Bukankah ada orang yang kita suruh bunuh sulakan itu pada hari ini? Ambil cawan itu, isikan darahnya, bawa ke mari kepada aku.” 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 46-47) 

Kemuncak kezaliman Raja Bersiung menemui penghujungnya apabila Menteri keempat membuat keputusan untuk menentang Raja Bersiung demi keselamatan rakyat dan negeri. Pengarang mengetengahkan eleman kekejaman raja yang akhirnya mendapat balasan terhadap perbuatannya melalui peristiwa ini disamping mengutarakan keberkesanan sistem pentadbiran feudal yang didokong oleh watak pembesar berempat yang berjaya menyelesaikan masalah dalaman Negeri Kedah seterusnya berjaya memelihara kesejahteraan rakyat. Hikayat ini menunjukkan ada penentangan antara rakyat dengan raja namun peristiwa itu tidak disebut sebagai menderhaka. Daripada apa yang diceritakan, pengarang seolah-olah secara tidak langsung mengakui bahawa penentangan terhadap Raja Bersiung adalah sah dari segi undang-undang. Raja bersiung digambarkan sebagai seorang pemerintah yang zalim, mementingkan diri sendiri lebih daripada kesejahteraan rakyat dan merupakan pihak yang pertama menyimpang daripada perjanjian yang telah dimeterai. Peristiwa ini adalah satu-satunya dalam hasil sastera Melayu tradisional yang merestui pemberontakan rakyat terhadap raja kerana apa yang berlaku bertentangan dengan konsep kerajaan itu sendiri. 

2.1.9 Pemilihan Pengganti Raja Ong Perita Deria 

Melalui peristiwa ini pengarang ingin menyampaikan bahawa Siam dan Kedah saling bekerjasama dan mempunyai hubungan yang baik dan Kerajaan Kedah turut mengakui peranan Kerajaan Siam sebagai penaung Kerajaan Kedah. Pengarang meriwayatkan bahawa setelah Raja Bersiung telah dihilangkan dalam buluh bagi menunjukkan bahawa raja mempunyai tempat yang tinggi berbanding dengan rakyat dan raja tidak boleh diperlakukan sesuka hati oleh rakyat kerana ia akan menjatuhkan nama institusi beraja yang selama ini dihormati oleh masyarakat terutamanya masyarakat tradisional. Setelah peristiwa kehilangan Raja Bersiung tersebut, kerajaan Kedah ketiadaan raja maka pembesar berempat beserta Raja perempuan Kerajaan Kedah telah menghantar utusan ke Siam bagi memohon Kerajaan Siam Membantu mencari waris Raja Bersiung untuk ditabalkan sebagai Raja Kedah. Putera Raja Bersiung akhirnya dapat ditemui dengan bantuan daripada Kerajaan Siam dengan menggunakan bantuan gajah sakti iaitu Gemala Johari dan menggunakan gelaran Raja Phra Ong Mahadipusat dan seterusnya memerintah Kedah dengan aman dan sentosa. Peristiwa ini dapat dilihat melalui petikan: 

‘Maka tiada berapa lama-nya gajah itu berjalan maka sampai-lah ka-kota langsong ka-balai penghadapan. Pada masa itu menteri keempat pun ada-lah hadhir dudok menanti hendak menyambut raja-nya. …sa-telah sudah ia memakai maka di-buboh-nya pada tempat kedudokan Raja Bersiong itu, …sekalian pun ber-himpun menyembah mengatakan “Daulat tuanku, makin bertambah2 daulat!”… Maka dudoklah anak raja itu memerentah negeri serta dengan menteri keempat dan Raja Perempuan ada-nya.’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 85-87) 

 2.1.10 Pengislaman Negeri Kedah 

Kedatangan Islam ini bermula apabila wujudnya watak Syeikh Abdullah yang mengikuti Penghulu Syaitan Iblis untuk melakukan kejahatan dan kesesatan terhadap masyarakat agar terus hidup dalam kesesatan dan kegelapan. Namun demikian, setelah Penghulu Syaitan Iblis cuba untuk menyesatkan Raja Phra Ong Mahawangsa dengan arak dan air kencingnya, menyebabkan Syeikh Abdullah menghalangnya dan akhirnya Syeikh Abdullah muncul di hadapan Raja Phra Ong Mahawangsa akibat daripada Penghulu Syaitan Iblis yang meninggalkannya daripada perjalanan untuk menyesatkan lebih ramai manusia. Kehadiran Syeikh Abdullah di hadapan Raja Phra Ong Mahawangsa telah menyedarkan baginda kerana Syeikh Abdullah telah menerangkan segala-galanya kepada baginda dan akhirnya baginda telah dibukakan hati untuk menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Syeikh Mahawangsa. Penerimaan Islam oleh Raja Phra Ong Mahawangsa dibuktikan dalam teks yang berikut: 

“Maka kata Raja Phra Ong Mahawangsa, ‘Jikalau demikian, hendaklah tuan hamba tolong hamba sekalian ini, ajarkan agama Islam yang sebenar itu.” 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 144) 

Oleh hal yang demikian, maka jelaslah bahawa pengislaman Raja Phra Ong Mahawangsa menjadi titik tolak kepada pengislaman rakyat jelata yang berada di bawah pemerintahannya. Oleh yang demikian, bermula daripada pengislaman ini, pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsa menjadi lebih berstruktur dengan perubahan pada namanya iaitu Raja Muzalfar Syah dan sistem pentadbirannya berlandaskan agama Islam. 

 2.2 Falsafah dalam Hikayat Merong Mahawangsa 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), falsafah merupakan pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Menurut Seri Lanang et. Al (2016), falsafah adalah cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan mempunyai tujuan untuk mendapatkan kebenaran dalam sesebuah karya sama ada klasik atau moden ataupun apa-apa jenis karya yang telah dihasilkan. Oleh yang demikian, ‘berfalsafah’ merujuk kepada kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran mengenai sesuatu masalah dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila menghadapi masalah dengan menggunakan jalan yang betul untuk mencari kebenaran seterusnya berfikir dengan cara demikian seseorang tersebut termasuk dalam falsafah. Falsafah juga dapat didefinisikan sebagai penuturan dan huraian yang tersusun oleh pemikirannya dalam sesebuah karya. Oleh yang demikian, falsafah perlu mempunyai persoalan tentang falsafah dan dengan cara tersebut dapat dirungkaikan bahawa kebenaran disebalik persoalan tersebut. Falsafah juga merupakan pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran dalam sesebuah karya serta perbincangan tentang sesuatu secara terperinci untuk mendapatkan jawapan yang sebenar. Menurut Seri Lanang et. Al (2016), terdapat beberapa bidang falsafah yang dapat disenaraikan iaitu etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Bidang-bidang tersebut akan dianalisis dalam karya Hikayat Merong Mahawangsa bagi mendapat kebenaran bahawa terdapatnya falsafah-falsafah tersebut dalam karya tersebut. 

2.2.1 Falsafah Etika Etika atau ‘ethos’ dalam bahasa Yunani membawa maksud adat kebiasaan. 

Etika merupakan salah satu bidang falsafah yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan dalam mengarah kepada makna kepada sesuatu tindakan. Etika tidak berkaitan dengan fakta atau fizikal seseorang manusia namun ia merupakan suatu falsafah moral yang mengambik kira tindakan atau tingkah laku manusia. Selain itu, etika melibatkan disiplin ilmu yang mengkaji moral, prinsip moral, kaedah moral, tindakan dan kelakukan manusia yang betul. Oleh hal yang demikian, etika merupakan pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran yang melibatkan ilmu tingkah laku manusia yang boleh dilihat dari segi baik dan buruknya yang dapat ditentukan oleh akal.

i. Tingkah Laku Pembesar Tanpa Mengira Pangkat atau Darjat 

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, falsafah etika dapat dilihat melalui sikap pembesar yang mempunyai budi pekerti yang baik dengan tidak membezakan cara layanannya dan pandai mengambil hati terhadap orang yang berpangkat atau orang bawahan. Sikap tersebut hendaklah diamalkan dalam diri mereka kerana akan mendekatkan diri mereka terhadap orang bawahan seterusnya memudahkan segala urusan dan orang bawahan tidak berasa tertindas dengan orang atasan. Buktinya dapat dilihat dalam petikan yang berikut : 

Maka segala menteri hulubalang pun gemar-lah sangat melihat budi pekertinya serta dengan pandai mengambil hati sekalian menteri hulubalang tambah pula di-atas segala fakir, miskin, dagang santeri sekalian serta dengan tegor sapa siapa yang bertemu dengan dia. 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 46) 

ii. Anak yang Mempunyai Budi Pekerti yang Tinggi 

Sebagai seorang ayah kepada anak-anak sudah pasti akan berasa gembira dan berasa senang hati jika sekiranya anak-anak mereka mempunyai budi pekerti yang tinggi dan bersopan santun. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, Raja Merong Mahapudisat berasa senang hati melihat anak-anaknya mempunyai hubungan yang erat antara satu sama lain. Di samping itu, mereka juga mengamalkan budi pekerti yang tinggi, bersopan santun, baik tutur kata dan sering mendekati ayahandanya semasa di balairung. Peristiwa tersebut boleh dilihat dalam petikan di bawah : 

Maka terlalu-lah suka hati baginda itu melihat anak-anak keempat bersaudara itu bermain2 dan berkaseh2an bertambah2 besar-nya. Maka budi pekerti serta akal bichara pun terlalu amat baik. Jika ayahanda baginda itu dudok di-balairong membicharakan hukum, maka ia keempat pun ada-lah bersama2 dudok mendengar hukum adat perentah orang. 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973:46) 

iii. Pemerintah yang Kejam 

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada diceritakan tentang seorang pemerintah yang amat kejam dalam pemeritahannya sehingga sanggup mengorbankan nyawa rakyatnya semata-mata ingin memenuhi kehendaknya. Hal demikian dapat dilihat semasa pemerintah Raja Ong Maha Perita Daria atau Raja Bersiong yang sanggup membunuh rakyatnya semata-mata untuk mengambil darah untuk diletakkan ke dalam masakan kerana dengan memasukkan darah ke dalam masakan akan membuatkan masakan tersebut menjadi lazat. Hal demikian dapat dilihat melalui petikan yang berikut : 

Jikalau tiada yang demikian tiada-lah dapat ia santap nasi-nya hari itu jikalau berapa banyak lauk sa-kali pun. Maka jadi-lah raja terbunoh oleh-nya sampai kapada habis orang yang tiada berdosa pun, dan di-luar kota pun sunyi-lah kerana sudah habis orang-nya; tiada-lah apa kira-nya hanya hendak makan hati darah manusia sahaja sa-hingga orang yang di-dalam penjara itu pun habis-lah di bunoh-nya. 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973 : 69) 

iv. Rakyat yang Mempunyai Sikap Tidak Baik 

Dalam hikayat ini diselitkan juga peristiwa seorang rakyat yang mempunyai kejahatan dan ilmu yang tinggi dan mempunyai kekebalan yang bernama Seri Gunong Ledang atau dikenali sebagai Kampar. Kampar telah melakukan kejahatan dan ditangkap dan dibawa mengadap Raja Bersiung.

Bermula ada-lah sa-orang orang Seri Gunong Ledang bernama Kampar yang amat jahat-nya. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 70) 

2.2.2 Falsafah Metafizika 

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), metafizika disebut metafizik yang membawa maksud falsafah atau ilmu pengetahuan mengenai segala yang di luar alam biasa atau yang tidak kelihatan. Menurut Seri Lanang et. al (2016), metafizika merujuk kepada bidang falsafah berkaitan kewujudan dan keberadaan. Bidang metafizika ini boleh dibincangkan dari segi tiga aspek iaitu ketuhanan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal seperti pohon, air dan sebagainya. 

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa terdapat peristiwa Nabi Allah Sulaiman sangat mengagungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan. Baginda memberi pengajaran dan tauladan kepada raja-raja dan menteri-menteri tentang tindakan burung garuda yang cuba mencabar kekuasaan Tuhan dengan memisahkan manusia yang telah ditetapkan-Nya untuk bersatu. Oleh hal yang demikian falsafah metafizika dalam hikayat ini ialah mengagungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan. Buktinya : 

Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, ‘Hai segala raja2 dan menteriku bangsa yang baik2, hendaklah engkau dan kamu sekalian ketahui, demi Tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekalian diatas segala makluknya, dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada Tuhan alam... 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973:29) 

2.2.3 Falsafah Sejarah 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), sejarah merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat dan sebagainya. Dalam menganalisis karya, falsafah sejarah merupakan persoalan yang berkaitan dengan makna masa silam seperti tamadun dan keruntuhan yang dikemukakan oleh Seri Lanang et.al (2016). Falsafah sejarah dalam hikayat Merong Mahawangsa adalah dengan ermulanya gelaran Sultan di Kedah. Terdapat beberapa peristiwa yang boleh dikategorikan sebagai falsafah sejarah. 

Setelah Raja Pra’ Ong Mahawangsa memeluk agama Islam, baginda menggunakan gelaran Sultan Mudzalfal Shah yang diberikan oleh Sheikh Abdullah. Kesan daripada peristiwa tersebut gelaran sultan digunakan sehingga kini di negeri Kedah. Bukti peristiwa nama Raja Phra Ong Mahawangsa ditukar kepada Sultan Mudzalfal Shah adalah seperti yang berikut : 

‘’Maka kata tuan Sheikh Abdullah pada menteri keempat, “Dengan nama mana raja kita di-sebut orang? “Maka kata menteri keempat, “Dengan Raja Pra’ Ong Mahawangsa.” Maka kata tuan Sheikh Abdullah, “Jika demikian mari-lah kita ubahkan dengan bahasa Islam supaya mudah kita sakalian buboh ka-dalam khutbah mesjid pada hari Juma’at.” Maka kata menteri, “Akan perentah itu mana yang baik kepada tuan hamba, sakalian ini mengikut-lah.” 
 (Hikayat Merong Mahawangsa 1973:147) 

2.2.4 Falsafah Sosial 

Perkataan sosial menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), merupakan segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Dalam erti kata lain falsafah sosial ia merupakan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. 

Kedatangan Sheikh Abdullah ke negeri Kedah telah mengislamkan pemerintahnya iaitu Raja Pra’ Ong Mahawangsa dan orang bawahannya. Peristiwa ini berlaku apabila Raja Pra’ Ong Mahawangsa meminum arak dan ditegur oleh Sheikh Abdullah seterusnya baginda meminta supaya Sheikh Abdullah mengajarnya tentang agama Islam. Baginda juga meminta supaya mengislamkan kaum kerabatnya. Sheikh Abdullah juga meminta supaya semua rakyat jelata berhimpun untuk diislamkan. Dalam hal ini, falsafah sosial yang dipaparkan dalam hikayat ini adalah melalui perkembangan dakwah Islam di Kedah. Oleh hal yang demikian, sejak dari itu rakyat Kedah memeluk agama Islam dan mengamalkan ajaran-ajarannya dan memusnahkan berhala-hala. Contohnya seperti berikut. 

Maka kata Raja Pra’ Ong Mahawangsa, ‘’Jikalau demikian hendak-lah tuan hemba tolong hamba sakalian ini ajarkan agama Islam yang sa-benar itu.’’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa 1973:144) 

“… maka Sheikh Abdullah pun dudok berkata2 dengan menteri keempat,… maka hendak-lah taun hamba keempat suroh kerahkan sakalian ra’ayat bala isi negeri ini suroh himpun datang ka-mari’’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa 1973:147) 

2.2.5 Falsafah Kosmologi 

Bidang falsafah kosmologi merupakan falsafah yang mengkaji mengenai hal-hal yang berkaitan dengan alam. Dalam Surah al-Baqarah ayat 164 menyebut: Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, kapal yang berlayar di lautan yang memberi manfaat kepada manusia, air hujan yang diturunkan Tuhan dari langit, maka dihidupkan bumi yang sudah mati dan berkeliaranlah pelbagai bangsa binatang dan perkisaran angin dan disuruh bekerja di antara langit dan bumi, sesungguhnya semua itu menjadi bukti kebenaran untuk orang-orang yang berakal.” Oleh hal yang demikian, bidang falsafah kosmologi merujuk kepada situasi persekitaran dan alam universal iaitu hal-hal yang berhubung dengan alam. 

Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, falsafah kosmologi yang dapat kita lihat ialah keindahan negeri Kedah. Ketika Raja Merong Mahawangsa bersiar-siar di sekitar kawasan yang hendak dibuka negeri baru. Raja Merong Mahawangsa telah menemui kawasan yang begitu cantik pemandangannya dan merasakan bahawa kawasan tersebut sesuai untuk dibuka negeri baru. Peristiwa tersebut dapat dilihat dalam petikan di bawah : 

 ‘’Maka Raja Merong Mahawangsa pun berjalan-lah ... Lalu bertemu-lah dengan tanah bumi yang baik terlalu lah indah tempat-nya dengan tanah-nya menjadi tiada-lah turun ka-bahtera-nya; gila dengan membuat kota, istana dengan balai-nya yang terlalu amat besar-nya lagi dengan indah-nya.” 
 (Hikayat Merong Mahawangsa 1973 : 19)

2.2.6 Falsafah Politik 

Menurut Seri Lanang et. al (2016) bidang falsafah politik merupakan aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan. Sistem politik dalam karya Hikayat Merong Mahawangsa ini melibatkan raja sebagai simbol perpaduan dan menguasai kawasan istana, kawasan sekitar atau negerinya. Hubungan antara pembesar dan sultan adalah berlandaskan kesetiaan. Kemudian, pembesar juga mempunyai pengikutnya yang tersendiri yang terdiri daripada golongan rakyat. Pada kebiasaannya, rakyat akan dikerah tenaga dan harta benda untuk keperluan dan kehendak pembesar atau sultannya. Kerajaan Kedah telah menghantar bunga emas dan bunga perak kepada negeri Siam sebagai tanda kekeluargaan dan penghargaan. Peristiwa ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan baik antara Kedah dengan negeri Siam. Pada ketika itu Raja Seri Mahawangsa merupakan pemerintah kerajaan negeri Kedah. Baginda meminta empat orang tukang untuk membuat bunga emas dan perak sehingga pembinaan kota, parit, balai dan istana terabai. Dengan demikian, falsafah politik dalam hikayat ini ialah hubungan baik antara kerajaan Kedah dengan negeri Siam. Contohnya dapat dilihat dalam petikan di bawah: 

Maka titah Raja Seri Mahawangsa pada menteri keempat, “Hendak-lah tuan hamba suroh berhimpun segala tukang emas dan perak ... dan tukang kayu pun di-suroh berhimpun dengan tukang besi sakalian-nya.” Maka pekerjaan yang hendak di-perbuat kota, parit, balai, istana itu tiada-lah menjadi... ‘’… sebab leka dengan membuat sa-pohon emas dan sa-pohon bunga perak dengan tambak chabang yang bersampok emas saga merah… ‘’ 
(Hikayat Merong Mahawangsa 1973: 56) 

‘’Hendak-lah tuan hamba sakalian sembahkan pada saudara kita, jika ia beroleh anak beri jua khabr ka-negeri Kedah ini…’ 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 56-57) 

2.3 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup 

Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md Idris (2016), nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu budayyah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Budaya amat berkait rapat dengan kehidupan masyarakat kerana budaya dibentuk berdasarkan pegangan atau kepercayaan sesebuah masyarakat. Nilai budaya menurut pandangan tokoh ialah konsep-konsep umum yang telah disusun dan mempengaruhi perbuatan yang berhubung dengan alam, kedudukan manusia dengan alam, hubungan sesama manusia dan sebagainya. Sistem nilai ini dijadikan panduan dalam melaksanakan sesuatu. Nilai budaya ini terhasil daripada amalan yang menjadi pegangan sesuatu kelompok masyarakat. Nilai budaya ini akan menjadi panduan dan rujukan dalam kehidupan masyarakat dalam hal-hal tertentu seperti tingkah laku yang berlandaskan budaya. 

Pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Terdapat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Merong Mahawangsa.  

2.3.1 Taat kepada Perintah Ibu bapa 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), taat membawa maksud sentiasa menurut perintah (Tuhan dll), tidak mengingkari (perintah dll), patuh. Martabat ibu bapa diangkat tinggi oleh Allah dalam Islam. Anak-anak sewajarnya taat dan patuh kepada ibu bapa selagi suruhan mereka tidak bercanggah dengan hukum agama. Hikayat Merong Mahawangsa mengetengahkan watak Raja Merong Mahadipusat yang amat taat kepada bapanya. Bukti dapat dilihat secara jelas dalam contoh berikut. 

Sa-telah di-dengar oleh Raja Merong Mahadipusat sembah menteri itu, maka titah kapada menteri, “Jikalau demikian hendak-lah saudara kerahkan segala kaum gergasi , himpun sakalian-nya dan panggil penghulu Pra’ Chisim dan penghulu Nang Sutaman itu ka-mari, kita beri ia pergi bersama² dengan anak kita dan orang kita yang tua ini kita hantarkan ka-hulu disabelah utara barat-laut. Maka tanah bumi itu lanjut jauh jua perjalanan-nya. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 47) 

Raja Merong Mahadipusat segera mengarahkan pembesarnya untuk menyediakan keperluan serta askar bagi mengiring anakandanya berhijrah untuk membuka penempatan baru. Raja Merong Mahadipusat tidak menunjukkan sebarang tentangan apabila mendengar perintah bapanya melalui pembesar. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa baginda amat taat kepada bapanya. Pandangan hidup yang ingin diketengahkan melalui nilai budaya ini adalah mengenai tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa. Setiap anak yang dilahirkan ke dunia sewajarnya mentaati kedua ibu bapanya dalam apa jua keadaan. Islam menekankan bahawa anak wajib mentaati kedua ibu bapa selama mana ia tidak bertentangan dengan syarak. Oleh itu, jelas ditunjukkan di sini bahawa pandangan hidup inilah yang berfungsi untuk membentuk nilai budaya taat kepada ibu bapa ini dalam diri manusia. 

2.3.2 Baik Budi Pekerti 

Masyarakat Melayu menganggap bahawa orang yang beradab sebagai halus budi pekertinya, manakala yang tidak beradab dianggap kasar. Budi pekerti yang baik secara tidak langsung akan mewujudkan hubungan yang mesra antara satu sama lain. Hal ini dapat dilihat melalui hubungan Raja Merong Mahadipusat dan anak-anaknya. Hikayat Merong Mahawangsa secara jelas menunjukkan nilai budaya tersebut melalui contoh di bawah. 

Jika ayahanda baginda itu dudok di balairong membicharakan hukum, maka ia keempat pun ada-lah bersama² dudok mendengar hukum adat perentah orang. Maka segala menteri hulubalang pun gemar-lah sangat melihat budi pekerti-nya serta dengan pandai mengambil hati sakalian menteri hulubalang tambah pula di-atas segala fakir, miskin, dagang santeri sekalian serta dengan tegor sapa siapa yang bertemu dengan dia. 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 46) 

Raja Merong Mahadipusat serta isterinya amat senang hati dengan anak-anaknya yang mempunyai budi pekerti yang baik. Anak-anaknya amat sayang akan satu sama lain. Mereka sering berada di samping baginda dalam setiap acara yang dihadiri. Pandangan hidup yang ingin diketengahkan dalam nilai budaya ini ialah tentang budi pekerti yang baik mampu dibentuk oleh ibu bapa yang baik. Anak-anak Raja Merong Mahadipusat mewarisi nilai budaya yang baik daripada bapanya. Raja Merong Mahadipusat merupakan seorang anak yang taat kepada bapanya. Pepatah Melayu pernah menyebut bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Pepatah ini jelas menunjukkan tentang bagaimana didikan yang diberikan akan memberikan hasilnya sama ada dalam bentuk yang baik atau sebaliknya. Oleh itu, jelas ditunjukkan di sini bahawa didikan yang sempurna mampu melahirkan anak yang baik budi pekertinya. 

2.3.3 Tanggungjawab 

Tanggungjawab merupakan antara nilai budaya yang sewajarnya diterapkan dalam diri manusia. Nilai ini jelas menunjukkan jati diri seseorang manusia tersebut. Setiap individu bertanggungjawab terhadap tugas atau amanah yang diberikan. Nilai budaya ini secara jelas dapat dilihat dalam Hikayat Merong Mahawangsa melalui watak Raja Merong Mahawangsa. Baginda merupakan seorang yang bertanggungjawab. Baginda telah dipilih atau diamanahkan oleh Raja Rum untuk mengiringi anakanadanya ke Benua China untuk berkahwin dengan Puteri Raja Benua China. Berikut merupakan contoh yang terdapat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. 

Hatta berapa hari lama-nya anak Raja Rum itu tiada berjumpa dengan siapa² jua pun, maka Raja Merong Mahawangsa pun terlalu-lah mashghul-nya kerana ia suatu harapan yang besar kepada Sultan Rum itu. Leteh-lah sudah di-suroh chari pada segala menteri, para penggawa, hulubalang sakalian juga bertemu.Maka Raja Merong Mahawangsa pun berlayar-lah hala ka-sabelah timor dengan bahtera-nya menyusor daratan tanah besar itu sambil menchari anak raja itu. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 17) 

Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Raja Merong Mahawangsa seorang yang amat bertanggungjawab. Baginda berusaha mencari anak Raja Rom tersebut walaupun tidak berjaya menemui anak Raja Rom tersebut. Baginda telah berusaha mencari anak Raja Rom sehingga baginda telah berjaya menubuhkan sebuah kota. Tanggungjawab merupakan perkara utama yang dikaitkan dengan amanah. Pandangan hidup ini jelas menunjukkan bahawa nilai budaya ini amat penting bagi melahirkan hubungan yang baik antara manusia. Jelas ditunjukkan di sini bahawa Raja Rom amat mempercayai Raja Merong Mahawangsa sehingga sanggup memberikan tanggungjawab untuk mengiringi anakandanya ke Benua China. Tanggungjawab yang diberikan ibarat amanah yang wajib dijaga. Oleh itu, jelaslah bahawa nilai budaya ini amat bergantung kepada pandangan hidup yang sudah lama dipegang oleh masyarakat. 

2.3.4 Sopan Santun dalam Berbicara 

Nilai budaya sopan santun ini amat sinonim dengan masyarakat Melayu. Namun begitu, setiap manusia yang lahir ke dunia sememangnya dididik dengan nilai kesopanan. Nilai ini wujud sejak zaman dahulu lagi. Hal ini dapat dibuktikan dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini melalui perwatakan Raja Merong Mahawangsa yang sopan santun dalam berbicara. 

Maka Raja Merong Mahawangsa pun sudah ketahui bangsa-nya gergasi lalu ditegor-nya dengan manis suara-nya mengambil hati-nya... ...Maka titah-nya kepada segala kaum gergasi yang datang itu, “Ada pun beta singgah di-sini ini, jikalau baik² bichara-nya mahu-lah beta dudok berhenti di-sini dahulu sementara menanti mengambil khabar anak Raja Rum itu kalau² ada hidupnya.”
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 18) 

Raja Merong Mahawangsa amat bersopan santun dalam berbicara. Bukti ini secara jelas ditunjukkan dalam peristiwa di mana baginda berbicara dengan bangsa gergasi. Baginda menggunakan bahasa yang manis dan lembut ketika menegur bangsa gergasi. Beliau memberitahu bangsa gergasi tentang hajat baginda datang ke situ dengan menggunakan bahasa yang baik. Bangsa gergasi juga secara tidak langsung menggunakan bahasa yang baik apabila mendengar tutur bicara Raja Merong Mahawangsa. 

Pengarang ingin mengetengahkan bahawa sopan santun bukan hanya terhad dalam berbicara sebaliknya dari semua segi. Pandangan hidup tentang nilai budaya sopan santun ini menekankan bahawa sikap bersopan santun ini amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Sifat ini perlu ada dalam diri setiap anggota masyarakat supaya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Contoh dalam teks jelas menunjukkan hubungan yang baik boleh terlahir apabila masyarakat mengamalkan sikap bersopan santun. 

2.3.5 Belas Kasihan 

Sifat belas kasihan ini sewajarnya ada dalam diri setiap manusia. Setiap anggota masyarakat sewajarnya memiliki sifat belas kasihan dalam diri masing-masing. Sifat ini dapat dilihat dalam diri Mak Inang yang mempunyai sifat belas kasihan terhadap anak Raja Rom dan ingin menolongnya. Contoh dapat dilihat dalam petikan teks berikut. 

Maka mak inang tuan puteri itu pun terlalu-lah belas kasehan hati-nya mendengarkan hal anak Raja Rum itu, lalu ia pun kembali pada tuan puteri persembahkan hal itu sakalian-nya dengan suka tertawa-nya. 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 21) 

Setelah mendengar cerita anak Raja Rom, Mak Inang segera menghadap puterinya iaitu Puteri Raja Benua China untuk memaklumkan hal tersebut. Mak Inang mula menyakinkan puterinya tentang cerita tersebut. Akhirnya, Puteri Raja Benua China pun bersetuju untuk membantu anak Raja Rom. 

Nilai budaya ini sering dikaitkan dengan pandangan hidup tentang sifat belas kasihan mampu menjalinkan hubungan yang baik antara manusia. Sifat belas kasihan ini tidak hanya terhad kepada manusia sahaja sebaliknya turut melibatkan haiwan di sekeliling kita. Agama Islam menekankan bahawa kita sewajarnya mempunyai sifat belas kasihan antara makhluk. Nilai budaya ini amat penting dalam kehidupan bermasyarakat supaya kita dapat bantu membantu antara satu sama lain. 

 2.3.6 Berpegang Teguh kepada Adat Resam 

Masyarakat Melayu khususnya amat berpegang teguh kepada adat resam dan tradisi. Hal ini dapat dilihat dalam amalan kehidupan seharian kita. Masyarakat Melayu amat menjaga adat resam termasuklah pantang larang dan adat istiadat yang telah diamalkan sejak turun temurun. Hikayat Merong Mahawangsa ini turut mengetengahkan contoh tentang adat resam yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. 

Maka Raja China pun menyurongkan puan-nya sireh persantapan pada raja jin Harman Shah, kata-nya “Makan-lah sireh hai saudara-ku Raja Harman Shah”… 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 33) 

Sirih dan pinang merupakan antara elemen penting dalam upacara, adat resam dan budaya bagi masyarakat pada ketika itu. Contoh di atas menunjukkan sirih pinang yang digunakan sebagai adat menyambut tetamu. Sirih pinang dihidangkan bagi menyambut dan meraikan tetamu dari jauh. Adat resam dan tradisi sering dikaitkan dengan pelbagai peribahasa, pepatah dan sebagainya. Antaranya ialah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. 

Peribahasa tersebut menunjukkan pandangan hidup masyarakat sejak dahulu lagi. Masyarakat Melayu sering diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada adat resam dan tradisi walau di mana berada namun harus menghormati adat resam sesuatu kawasan tersebut. Masyarakat Melayu seharusnya bijak menyesuaikan diri dengan adat resam dan tradisi sesuatu kawasan tersebut supaya dapat memupuk hubungan baik dengan masyarakat sekeliling.

 3.7 Akidah Islam 

Terdapat banyak nilai budaya Islam yang dikenal pasti dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini. Budaya Islam ini dapat dilihat semasa pengislaman Sultan Kedah iaitu Raja Pra’ Ong Mahawangsa. Baginda telah mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Sheikh Abdullah. Berikut merupakan contoh akidah Islam yang ditunjukkan semasa proses pengislaman Sultan Kedah. 

Demi di-dengar oleh Sheikh Abdullah akan perkataan raja itu lalu di-pelok leher di-chium-nya tuboh raja itu serta dudok berkata ², sa-ketika di-ajarkan-nya kalimah shahadat demikian bunyi-nya, “Ashhadu alla-ilaha-illallahwahdahu lasharika lahu wa ashhadu-anna Muhammadan’abduhu wa rasulluh.” Maka Raja Pra’ Ong Mahawangsa pun menguchap-lah dua kalima shahadat… 
(Hikayat Merong Mahawangsa , 1973: 144)

Jelas ditunjukkan dalam contoh tersebut tentang agama Islam yang telah mula disebarkan di negeri Kedah. Kedah telah menerima pengaruh Islam dan mula menyebarkan dakwah apabila Sultan Kedah sendiri sudah memeluk Islam. Pemimpin merupakan idola atau contoh kepada rakyat. Setiap perlakuan pemimpin tidak kira baik atau buruk sentiasa menjadi perhatian rakyat. Pandangan hidup tentang nilai budaya Islam ini amat dipengaruhi oleh pemimpin. Oleh itu, pemimpin sewajarnya memberikan contoh yang terbaik buat rakyatnya. 

2.3.8 Adat Perkahwinan 

Adat perkahwinan merupakan antara nilai budaya yang sewajarnya kita hormati. Adat perkahwinan masyarakat zaman dahulu jelas ditunjukkan secara langsung dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Adat perkahwinan ini ditunjukkan semasa perkahwinan Raja Merong Mahadipusat yang diadakan selaman 40 hari 40 malam. Adat perkahwinan pada zaman tersebut dilakukan secara besar-besarana dan meriah. 

“Maka Raja Merong Mahawangsa pun berangkat-lah masok ka-istana di-iringkan oleh anakanda baginda itu serta menyuroh memulai kerja berjaga² mengerjakan anakanda baginda itu, dengan makan minum dan bersuka²an dengan beberapa banyak perburuan yang di-sembelah jadi tambul orang berjaga² itu, serta dengan segala permainan daripada gong, gendang, serunai, nafiri, harbab, kecapi, dandi, muri, kopak, cherachap, serdam, bangsi, nakara, menjadi empat puloh malam yang berjaga² makan minum dengan segala menteri, hulu balang, para penggawa sekalian, terlalu-lah ramai-nya. Sa-telah genap-lah empat puloh hari maka pada sa-orang sa-beblar selatan timor menenggara daripada negeri Kedah ini,... 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 42) 

Contoh di atas jelas menunjukkan tentang adat perkahwinan Raja Merong Mahadipusat yang berlangsung dengan meriah. Raja Merong Mahawangsa telah mengarahkan pengawal-pengawal serta menteri-menterinya untuk mengawal istana sepanjang 40 hari 40 malam tersebut. Binatang perburuan di sembelih untuk dihidangkan dalam majlis tersebut. setelah genap 40 hari 40 malam, maka berlangsunglah perkahwinan Raja Merong Mahadipusat. Pandangan hidup tentang adat perkahwinan ini masih relevan pada masa kini. Perbezaan pandangan hidup masyarakat pada zaman dahulu mungkin sedikit berbeza dengan masyarakat pada zaman sekarang. Hal ini demikian kerana majlis perkahwinan tidak dijalankan dalam tempoh yang terlalu lama. Adat perkahwinan masa kini tidak banyak bezanya dengan zaman dahulu. Perbezaannya mungkin dapat dilihat berdasarkan pakaian, jamuan dan sebagainya. Adat perkahwinan masih kekal diamalkan oleh golongan yang memperjuangkan adat khususnya bagi yang berkemampuan. 

2.3.9 Kepercayaan kepada Tuhan 

Hikayat Merong Mahawangsa ini memperlihatkan betapa Nabi Allah Sulaiman sangat mempercayai kekuasaan Tuhan. Baginda percaya bahawa Tuhan berkuasa terhadap segala yang ada di muka bumi ini. Baginda menunjukkan kepercayaan kepada Tuhan semasa memberi nasihat kepada burung garuda yang berusaha untuk memisahkan manusia yang ingin bersatu. 

Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, “Hai burong garuda! Demi tuhan yang menjadikan aku, ada pun jodoh pertemuan itu di-dalam batu atau di-dalam kayu sakali pun tiada siapa yang dapat mencheraikan dia.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 6) 

Peristiwa di atas jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Sulaiman amat mempercayai kekuasaan Tuhan. Baginda menekankan bahawa setiap yang berlaku di muka bumi ini semuanya atas kehendakNya. Tidak akan ada satu makhluk yang mampu melawan kekuasaan Tuhan. Pandangan hidup masyarakat pada zaman dahulu masih di bawah pengaruh agama Hindu-Buddha. Mereka lebih mempercayai dewa dan sebagainya. Pandangan hidup mula berubah setelah menerima pengaruh Islam. Manusia mula menerima kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Oleh itu, jelaslah bahawa pandangan hidup amat mempengaruhi nilai budaya ini. 

2.3.10 Taat kepada Pemimpin 

Nilai budaya taat ini sudah ditekankan sejak zaman dahulu lagi. Pemimpin merupakan antara golongan yang wajar kita hormati. Hikayat Merong Mahawangsa turut mengetengahkan Nabi Sulaiamn sebagai pemimpin yang berkuasa pada zaman tersebut. Contoh ketaatan kepada pemimpin dapat dilihat melalui burung garuda yang taat kepada Nabi Sulaiman. 

Maka kata burong garuda kepada burong rajawali, “Di-mana dapat ia sakalian hendak mengerjakan pekerjaan itu? Pada fikir ku tiada boleh jadi , tetapi nanti-lah dahulu aku hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman kerana ia itu raja besar di-dalam ‘alam dunia ini; jikalau sudah ada sapeti yang demikian itu, tiadalah ku beri jadi pekerjaan nikah kedua-duanya anak raja dua buah negeri itu.” 
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1973: 5) 

Burung garuda amat taat kepada Nabi Sulaiman. Bukti ini jelas ditunjukkan apabila burung garuda sentiasa merujuk Nabi Sulaiman terlebih dahulu dalam setiap perkara yang ingin dilakukan. Pandangan hidup ini sudah sebati dalam diri rakyat mahupun binatang pada zaman tersebut. Setiap pemimpin itu sememangnya wajar ditaati. Perbezaan pandangan hidup ini mula wujud apabila rakyat berhadapan dengan pemerintah atau pemimpin yang kejam. Rakyat cenderung untuk memberontak dan mempersoalkan tentang hak mereka. Pada zaman dahulu, isu ini tidak wujud kerana rakyat pada zaman tersebut amat taat kepada pemimpin meskipun pemimpin berlaku kejam.

2.4 Estetika dan Seni Kepengarangan 

Estetika pada dasarnya merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘aesthesis’ yang membawa maksud tanggapan. Konsep estetika ialah menilai teks sastera dengan merujuk aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, kegembiraan, dan keseronokan. Ia merujuk sesuatu yang bernilai dan menawan perasaan atau pemikiran. Oleh hal yang demikian, estetika merupakan satu cabang yang sangat hampir dengan falsafah seni. Dapat dilihat dalam konsep yang berkaitan dengan karya, pembaca dapat mengaitkan unsur-unsur estetika ini dengan sesebuah karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang berseni dan indah. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, pengarang menggunakan pelbagai gaya bahasa yang menjadikan penceritaan kelihatan lebih menarik. Lazimnya, gaya bahasa yang banyak digunakan dalam hikayat ini adalah seperti seperti ayat klasik, bahasa kiasan, dan bahasa istana. Namun begitu, terdapat juga penggunaan gaya bahasa yang lain yang biasa digunakan dalam sesebuah karya. Gaya bahasa dalam sesebuah karya akan seperti ini dapat meninggalkan keindahan makna yang merangsang pemikiran pembaca. 

2.4.1 Estetika dalam Hikayat Merong Mahawangsa 

i. Penggunaan Bahasa Klasik 

Penggunaan Bahasa Klasik dalam karya merupakan salah satu unsur estetik dalam hikayat yang menunjukkan lagi keunggulan karya tersebut. Penggunaan bahasa klasik juga dapat memperlihatkan nilai estetika atau keindahan yang pernah menjadi bahasa lingua franca pada suatu masa dahulu. Bahasa klasik dapat dikesan melalui beberapa cara penulisannya. Antaranya, dari struktur ayat, bahasa klasik menggunakan ayat yang panjang, berbelit-belit dan berulang-ulang berbeza dengan bahasa Moden yang lebih ringkas dan mudah. Selain itu, terdapat juga penggunaan kosa kata Melayu klasik. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, penggunaan bahasa klasik ini dapat dilihat seperti dibawah. 

Adapun tatkala itu raja Benua China pun tengah dihadap oleh sekalian raja-raja dan hulu balang penuh sesak di balairung itu, muafakat bicara menanti segala menterinya pegi mencari khabar anakanda baginda tuan puteri dan anak raja Rom itu, di mana jua khabarnya. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 25) 

Bermula, adapun raja ketiga ketumbukan itu berperanglah terlalu ramai beramuk-amukan sama sendirinya kerana orang negeri itu habis mati dan tertangkap serta pula habis segala rumah tangganya itu terbakar dan rumah berhala itu pun habislah terbakar dengan berhala itu sekali hangus, berhamburanlah abunya ditiup angin. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 102) 

Bahasa klasik juga dapat dilihat melalui penggunaan bahasa istana. Penggunaan bahasa istana dalam karya telah menunjukkan hubungan masyarakat pada zaman itu sangat rapat dengan istana. Sultan atau raja mempunyai kuasa yang mutlak dan rakyat sangat menyanjungi pemerintah mereka. Keadaan ini telah menyebabkan pertuturan masyarakat pada waktu itu dipengaruhi oleh bahasa istana sehingga dalam penulisan karya puisi atau prosa. Contohnya, penggunaan bahasa istana adalah seperti: 

Maka titah Raja Merong Mahawangsa kepada menteri Rom, “Sudahlah beta rajakan anakanda ini. Maka sekarang akan negeri ini patutlah kita namakan akan dia.” Maka sembah segala menteri, “Patut sangat tuanku menamakan negeri ini, supaya tiada sesat daripada sebutannya.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 34) 

Maka sembah Maharaja Darul-salam, “Sungguh, tuanku, baik negeri Kedah itu duli tuanku duduk menjadi raja, orangnya ramai negeri itu.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 68) 

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, penulisannya banyak memperlihatkan penggunaan ayat pasif atau ayat songsang dengan pendepanan predikat dan diikuti dengan subjeknya. Contoh bagi membuktikan kenyataan ini adalah seperti berikut : 

Maka segera dikiraikan oleh burung geroda dengan sayapnya serta menerkam datangnya itu menyambar tiga buah kapal dan keci dengan mulutnya dan kukunya, diterbangkan ke udara menghambatkan segala kaum syaitan dan hantu kesaktian itu dan segala bedil dan tikam dan panah anak raja-raja yang seperti hujan yang lebat. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 12) 

Maka segera dipandang oleh utusan itu, dikenalnyalah bahawa utusan itu menteri pada raja Rom, lalu katanya pada orang Rom itu, “Bahawa hamba kenal jua tuan hamba, menteri kepada raja Rom sekarang ini. Lamakah sudah tuan hamba sampai ke negeri ini?” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 31) 

Selain itu, bahasa klasik juga dapat dikesan melalui kata pangkal ayat atau praklausa. Kata pangkal ayat ini boleh diibaratkan sebagai pembuka bicara dalam ayat-ayat bahasa Melayu klasik. 

Contohnya, Sebermula segala kapal dan bahtera kenaikan anak raja Rom itu dinanti-nantinya serang langgar burung geroda itu,... 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 11) 

Hatta, beberapa lamanya berjalan itu hampirlah hendak bertemu dengan laut sebelah sana, maka bertemu pula dengan suatu sungai besar terus ke laut juga. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 40) 

“Maka kata Raja Phra Ong Mahawangsa, ‘Jikalau demikian, hendaklah tuan hamba tolong hamba sekalian ini, ajarkan agama Islam yang sebenar itu.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 100) 

Penggunaan bahasa klasik juga dapat dikenal pasti melalui penggunaan partikel -lah dan -tah. Contohnya ialah: 

Maka hari pun malamlah, lalu berhenti sekaliannya pada malam itu. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 10) 

Setelah itu maka menteri utusan itu bermohonlah kembali sekaliannya ke negeri Kedah. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 45) 

ii. Hiperbola 

Gaya bahasa ini merupakan gaya bahasa yang melebih-lebihkan sesuatu perkara dengan maksud untuk memperhebat, meningkatkan kesan dan daya pengaruh dari segi ukuran, jumlah dan sifat-sifatnya. Berikut adalah contoh penggunaan hiperbola dalam Hikayat Merong Mahawangsa. 

“…habislah mati orang berhamburan pada segenap laut itu, tiada lagi hidup. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 18) 

iii. Anafora 

Anafora merupakan gaya bahasa yang berlaku pengulangan kata pada awal baris ayat. Berikut adalah contoh penggunaan gaya bahasa anafora. 

Maka sembah segala menteri, “Itulah sudah lamanya tuanku diam di sini, buat negeri di bumi ini.” Maka sembah menteri Rom, “Tiada apa tuanku, dengan kapal patik pun padalah kenaikan tuanku berangkat ke Benua Rom itu.” Maka titah Raja Merong Mahawangsa, “Pada fikiran beta pun demikianlah.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 33) 

iv. Simile 

Gaya bahasa simile merupakan gaya bahasa yang menunjukkan perbandingan dengan sesuatu benda secara terus. Lazimnya, gaya bahasa ini dikesan dengan melalui penggunaan perkataan iaitu seperti, bagai, umpama dan sebagainya. Contoh dalam hikayat ini dapat dilihat melalui petikan di bawah: 

Maka bahananya bunyi bedil meriam yang dipasang itu seperti bunyi guruh dan tagar, terlalu gempita, alamat di dalam laut pun tiadalah dengan kemasygulannya melainkan dengan kesukaan belaka. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 8) 

Maka Raja Merong Mahawangsa pun menarik busur anak panahnya yang bernama Ayun-ayunan itu ke udara, bergemuruhlah bunyinya seperti halilintar membelah. 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 9) 

2.4.2 Teknik Kepengarangan dalam Hikayat Merong Mahawangsa

Dalam sesebuah penghasilan karya, teknik kepengarangan adalah sangat penting dan harus dikuasai oleh pengarang sebelum menghasilkan karya. Kepengarangan ialah keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang dalam mengolah jalan penceritaan. Menjadi kebiasaan apabila seseorang pengarang itu berkarya melalui pengalamannya sendiri iaitu pembacaan, pemerhatian ataupun bayangan. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, teknik kepengarangan yang digunakan adalah memenuhi keperluan masa dan cara pemikiran masyarakat pada zaman tersebut. Berikut adalah contoh teknik-teknik yang digunakan oleh pengarang dalam menggarap karya Hikayat Merong Mahawangsa. 

i. Penggunaan Unsur Mitos 

Dalam Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat (2010), mitos membawa maksud cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya cerita yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan sejarah awal kewujudan sesuatu bangsa, kejadian-kejadian alam dan sebagainya. Umumnya, mitos dikenali sebagai unsur yang luar biasa yang tidak dapat diterima oleh logik akal tetapi perihal tersebut diketengahkan sebagai sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku. Cerita mitos dianggap benar-benar berlaku pada zaman silam. Kepercayaan tersebut telah membentuk sistem nilai dalam diri masyarakat dahulu dan seterusnya diwarisi dari generasi ke generasi. 

Tambahan pula, cerita mitos dianggap suci kerana kaya dengan unsur-unsur kedewaan yang dipercayai oleh masyarakat dahulu. Kepercayaaan tersebut terbentuk hasil daripada pengaruh agama Hindu pada ketika itu dan juga kepercayaan animisme. Selain itu juga, mitos juga mengandungi unsur-unsur ghaib seperti kewujudan kuasa makhluk halus dan alam kayangan yang dihuni oleh dewa dewi. Kepercayaan terhadap mitos sangat tebal dalam diri masyarakat pada zaman ini. Malah, masyarakat juga turut mempercayai setiap kejadian luar biasa yang berlaku itu mempunyai tanda atau alamat yang tersendiri. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, unsur mitos dapat dilihat dalam kisah Nabi Sulaiman dan burung geroda. 

Geroda merupakan binatang kenderaan Visynu dalam mitos Hindu. Burung geroda dikatakan bertanggungjawab menyerang angkatan dari Rom yang diketuai oleh Raja Merong Mahawangsa dan memisahkan putera raja Rom daripada rombongannya. Ketika itu, geroda ingin menghadap dengan Nabi Allah Sulaiman untuk menyampaikan sesuatu. Mengikut kepercayaan Islam, Nabi Sulaiman diberikan mukjizat oleh Allah iaitu boleh berkata-kata dan memahami bahasa haiwan dan unggas. Di sini menunjukkan pengarang telah mencampur adukkan kedua-dua unsur iaitu Islam dan Hindu. 

Bahawa pada ketika itu datanglah seekor burung geroda yang terlalu amat besarnya turun menghadap Nabi Allah Sulaiman, sembahnya, “Ya Nabi Alllah, hamba dengar warta Raja Rom ada menaruh seorang anak laki-laki dan raja Benua China ada menaruh seorang anak perempuan. Maka sekarang raja Rom itu hendak meminang anak raja Benua China. Konon akan rupa kedua anak raja itu terlalu amat eloknya, tiadalah lagi bandingannya akan rupa keduanya itu, dan kedudukan negeri itu terlalulah jauh, pada fikiran hamba bukanlah jodo pertemuannya.” Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, “Hai burung geroda, demi Tuhan yang menjadikan aku, adapun jodo pertemuan itu di dalam batu atau di dalam kayu sekalipun tiada yang dapat menceraikan dia.”
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 5) 

Selain itu, pengarang juga memperlihatkan unsur mitos dalam kisah Raja Bersiung. Secara ringkasnya, Raja Bersiung merupakan raja yang zalim semasa zaman pemerintahannya. Rakyat sangat menderita kerana Raja Bersiung melakukan kezaliman iaitu membunuh rakyat tanpa usul periksa. Dalam hikayat ini, pengarang menceritakan tentang suatu mazhab dalam agama Buddha Tantrik yang bernama Bhairaya. Dalam mazhab itu, manusia dikorbankan sebagai salah satu daripada upacara. Kemudian, korban itu akan dimakan dan perbuatan ini sesuatu yang ganjil dan itulah hakikatnya yang berlaku ketika zaman pemerintahan Raja Bersiung. Di sini juga menunjukkan bahawa raja berasal daripada keturunan raja yang megah dan berani. Contohnya:

Maka sembahnya, “Ampun tuanku, adalah duli tuanku pergi bersiram itu tadi, patik menghiris sayur itu lalu terhirislah hujung jari patik. Maka patik balut dengan kain, pada kira-kira patik sedikit jua lukanya. Maka akal hal rempah-rempah yang patik bubuh ke dalam sayur itu tiada lain daripada yang biasa sehari-hari. Maka patik jerangkan ke api. Makan pada tatkala patik melecek itu, maka tertitiklah darah yang ada di hujung jari patik itu, setitik jua, tuanku. Maka patik hendak perbuat lain pun tidak sempat kerana tuanku sudah duduk hendak santap, hingga itulah boleh patik sembahkan, jiakalau tuanku bunuh, patik mati” Demi Raja Bersiung mendengar smebah perempuan itu, maka ia pun menyarungkan pedangnya serta bertitah, “Mana penghulu biduanda sekalian? Bukankah ada orang yang kta suruh bunuh sulakan pada hari ini? Ambil cawan itu, isikan darahnya, bawa kemari kepada aku.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 52-53)

ii. Penggunaan Fakta Islam dalam Hikayat 

Hikayat Merong Mahawangsa ini juga memperlihatkan bahawa Nabi Allah Sulaiman sangat mengagungkan dan mempercayai kekuasaan Tuhan. Baginda percaya bahawa hanya Tuhan yang mempunyai kuasa atas segalanya makhluk. Baginda juga mempercayai segala janji dan kekuasaan Tuhan. Kepercayaan baginda dapat dilihat semasa baginda berkata-kata dan memberi pengajaran dan tauladan kepada raja-raja dan menteri-menteri berkenaan dengan tindakan burung geroda yang cuba mencabar kekuasaan Tuhan dengan memisahkan manusia yang telah ditetapkan-Nya untuk bersatu. 

Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, “Hai segala raja-raja dan menteriku bangsa yang baik-baik, hendaklah engkau dan kamu sekalian ketahui, demi Tuhanku yang menjadikan aku dan kamu sekalian diatas segala makhluknya, dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan janji daripada Tuhan alam. Pertama rezeki, sedikit atau banyak ada sehari semalam itu tiadalah segala makhluk hendak tentukan, sekalian dengan janjinya juga. Kedua, perkara yang memutuskan rezekinya, seperti yang akan datang mara dan maut, hendak mengetahuikan dia dan hendaklah jangan kamu tentukan bumi tempat kematiannya, melainkan kesudahannya dengan janji Allah jua. Ketiga, perkaranya jodo pertemuan satu-satu makhluknya; jikalau berhimpunlah seisi alam dunia ini daripada segala bangsa yang dijadikan Allah Ta’ala, hendak mencheraikannya, melainkan dengan kehendak Tuhan yang menjadikan sekalian alam jua, dengan janjinya. Keempat, perkara pencheraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itupun dengan janjinya jua.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 23) 

2.5 Nilai Ilmu dalam Hikayat Merong Mahawangsa 

Maksud nilai menurut Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010) adalah merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama. Pertama, sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Kedua, nilai diistilahkan sebagai 'al-qimah' dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Ketiga, nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai merupakan satu prinsip atau garis panduan yang menyediakan seseorang untuk menjalani kehidupan. Dalam hal ini, nilai menjadi asas atau dasar dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat (Seri Lanang Hj. Rohani et al., 2016). 

Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Sememangnya, masyarakat Melayu cukup mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Penerapan nilai-nilai murni haruslah bersifat menyeluruh dan melibatkan setiap individu kerana nilai individu turut mencerminkan nilai keseluruhan anggota masyarakat tersebut. Nilai dan etika masyarakat Melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu merupakan hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2016). Ilmu dan maklumat yang terdapat dalam karya agung termasuklah ilmu perdukunan, ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu dan adat istiadat Melayu. Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat beberapa nilai ilmu yang telah dikenal pasti dalam perbincangan yang berikut. 

2.5.1 Ilmu Firasat 

Menurut Kamus Edisi Dewan (2010), firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Sulastin Sutrisno dalam Seri Lanang Hj. Rohani et al., (2016) pula berpendapat bahawa orang yang mempunyai ilmu firasat dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Tilikan atau ramalan daripada ahli nujum juga dianggap berkaitan dengan ilmu firasat. Hal ini bermakna, ilmu firasat merupakan ramalan tentang sesuatu perkara. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, ilmu firasat dapat dilihat sewaktu Raja Seri Mahawangsa melarang anakandanya, Raja Seri Maha Inderawangsa untuk berkahwin dengan cucu perempuan Nang Miri Gergasi yang berketurunan gergasi. Raja Seri Mahawangsa melarang keras anakandanya mengahwini keturunan gergasi tersebut kerana mempunyai firasat yang tidak baik tentang keturunan bangsa gergasi. Contohnya dapat dilihat dalam petikan di bawah: 

Maka oleh Raja Seri Mahawangsa beberapa ditegahkan anakanda baginda itu daripada beristeri akan budak perempuan itu, mengatakan, “Tiada sama bangsanya dengan kita, kalau-kalau siapa tahu akhirnya beroleh anak dengan perempuan itu menurut hawa nafsu kaumnya, iaitu gergasi, masuk fitnah makannya itu.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 45) 

Akan tetapi, atas kedegilan Raja Seri Maha Inderawangsa, maka berkahwin juga baginda dengan perempuan berbangsa gergasi tersebut. Keadaan ini membuatkan Raja Seri Mahawangsa begitu malu sehingga mangkat dalam kekecewaan. Hal ini secara tidak langsung menjelaskan sebab putera daripada hasil perkahwinan Raja Seri Mahawangsa dengan perempuan keturunan gergasi yakni Raja Ong Maha Perita Daria bergelar Raja Bersiung menjadi zalim dan kehilangan takhta kerajaannya. Ramalan Raja Seri Mahawangsa memang tepat kerana waris Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya sendiri dan akhirnya tersingkir dari takhta. Peristiwa ini sememangnya memberi pengajaran kepada pembaca agar patuh pada nasihat ibu bapa kerana dikhuatiri sesuatu hal yang buruk akan berlaku sekiranya mengingkari nasihat mereka. 

2.5.2 Ilmu Perdukunan 

Dukun membawa maksud orang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang, manakala perdukunan pula membawa maksud mengenai atau berkaitan dengan perubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Pada awalnya, kepercayaan orang Melayu adalah berbentuk aminisme yakni, menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Maka, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-ganang dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya. Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya.

Menurut Seri Lanang Hj. Rohani et al. (2016), dalam Hikayat Merong Mahawangsa, keturunan raja Kedah yang memerintah Benua Siam meminta ahli nujumnya mencari pengganti raja Kedah setelah Raja Bersiung hilang dalam perdu buluh betung. Ahli nujum itu melepaskan gajah sakti untuk mencari raja yang baru. Dalam hal ini, ilmu perdukunan yang dipaparkan dalam hikayat ini dapat dilihat melalui ahli nujum yang menghubungi kuasa ghaib yang ada pada gajah sakti yakni Gemala Johari. Hal ini demikian kerana semasa negeri Kedah tidak beraja akibat kehilangan Raja Bersiung, menteri keempat mengutus surat kepada raja di Benua Siam memohon untuk dihantar raja bagi memerintah negeri Kedah. Namun, hasil tilikan membuatkan raja Benua Siam menghantar gajah Gemala Johari untuk mencari raja yang sepatutnya beraja di negeri Kedah. Contohnya dapat dilihat dalam petikan di bawah: 

Setelah demikian maka datanglah fikir hemat yang memberi sempurna di dalam hati raja Benua Siam. Maka adalah pesanan datuk neneknya, adalah seekor gajah dalam negeri Kedah atau Patani yang bernama Gemala Johari, kalau-kalau ialah dapat mengetahui orang yang hendak dirajakan daripada yang berasal itu. Maka titah raja Benua Siam kepada orang membawa surat itu, “Adakah engkau sekalian ketahui gajah kesaktian itu?” Maka sembah orang itu, “Ada, tuanku, dia berulang alik antara Kedah dengan Patani. Baharu ini juga ia memberi mimpi kepada penghulu patik menteri keempat, tuanku.” Maka titah raja Benua Siam kepada seorang menteri yang tua, “Hendaklah tuan hamba perbuat sepucuk surat hantarkan ke negeri Kedah pada menteri itu. Hendaklah suruh ia sekalian hiasi dengan alat gajah Gemala Johari itu dengan sepertinya, kemudian lepaskan ia pergi mencari raja yang patut. Barang siapa yang diambilnya, itulah raja negeri Kedah itu. Kemudian kita dari sini pun bolehlah suruh menteri yang besar pergi rajakan dia.”
 (Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 62) 

Berdasarkan peristiwa ini, Gemala Johari ialah binatang yang mempunyai kuasa ghaib untuk mencari raja keturunan Raja Merong Mahawangsa. Seperti yang telah dinyatakan pada awal penceritaan dalam hikayat, gajah Gemala Johari merupakan gajah kesaktian kenaikan baginda Raja Merong Mahawangsa. Gajah sakti ini dipercayai dapat membantu mencari waris takhta raja Kedah kerana hanya ia sahaja yang mengetahui orang yang layak dijadikan raja pada ketika itu. Sememangnya Gemala Johari berjaya mendapatkan anak Raja Bersiung yang lahir melalui hubungan antara Raja Bersiung dengan anak pengusaha padi huma sewaktu melarikan diri akibat penentangan para menteri dan rakyat Kedah terhadap kekejamannya. 

2.5.3 Ilmu Jampi 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), jampi bermaksud kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit. Mana Sikana (1996) pula menghuraikan bahawa jampi serapah bukan sekadar penglahiran perasaan seperti puisi tetapi mempunyai hubungan dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Pembaca jampi atau dikenali sebagai pawang merupakan manusia luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantara mahkluk dengan khaliq atau supernatural. Oleh itu, mereka tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Hal ini demikian kerana kebimbangan jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi. 

W.W Skeat dalam Mana Sikana (1996) menjelaskan bahawa masayarakat tradisional Melayu amat akrab dengan unsur mistik dan jampi lahir daripada interaksi antara alam luaran dengan dalaman. Di dalam sesebuah jampi terdapat unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih-sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Mana Sikana (1996) menyatakan bahawa terdapat tiga jenis jampi, iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar biasa dan jampi pendinding. Jampi-jampi ini sangat dominan dalam kalangan masyarakat Melayu kerana jampi jenis ini boleh dipelajari dan dipakai oleh kebanyakan orang Melayu sebagai pengebal, perubatan dan perkara-perkara lain. 

Perkara berkaitan jampi turut disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Hal ini dapat dilihat semasa Raja Benua Siam memberi titah kepada ahli nujum untuk menilik pengganti raja Kedah yang sebenar. Ahli nujum tersebut menggunakan ilmu jampi yang dimilikinya untuk mengetahui keberadaan pengganti raja Kedah. Hasil tilikan ahli nujum mendapati bahawa ada kanak-kanak berumur antara enam hingga tujuh tahun yang boleh dijadikan raja. Namun begitu, kanak-kanak tersebut tidak dapat diketahui oleh manusia melainkan dengan bantuan ‘mergastua’. Contohnya dapat dilihat dalam petikan di bawah: 

Maka ahlu’l nujum pun menyembah lalu membuka surat nujumnya ditilik seketika. Maka ia datang sembah, “Ampun tuanku, adapun yang hendak dirajakan di dalam negeri Kedah itu janganlah dicari raja yang lain, nescaya tidak boleh kekal dan tetap, sekadar dua tiga tahun sahaja tentu mati atau menjadi haru-hara.” Maka titah pula baginda, “Sekarang bagaimana juga kita hendak ketahui asal rajanya yang dapat kita rajakan dia?” Maka ahlu’l nujum pun menilik nujumnya pula, seketika berdatang sembah, “Ampun tuanku, ada lagi ia kanak-kanak di dalam umur enam tujuh tahun juga. Adapun hendak mengetahui akan dia itu tiadalah boleh manusia ketahui, melainkan dengan mergastua juga.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 61-62)

Meskipun ilmu jampi tidak dinyatakan secara jelas dalam hikayat ini, namun berdasarkan peristiwa di atas jelaslah bahawa ahli nujum tersebut menggunakan kuasa dalaman untuk mencari pengganti raja Kedah yang sebenar. Dengan itu, ilmu jampi juga turut diceritakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa. 

Adat dan Istiadat 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun temurun sejak dahulu kala di dalam sesuatu masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Adat berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kebiasaan. Dalam konteks masyarakat Melayu, makna adat menjadi khusus merujuk kepada adat istiadat atau upacara tradisional dalam peredaran hidup seseorang dan dalam pengertian undang-undang adat (Seri Lanang Hj. Rohani et al., 2016). Hal ini sejajar dengan pendapat H.M. Sidin, (1964) yang mengatakan bahawa adat bermaksud satu kebiasaan daripada satu perbuatan yang diulang-ulang dan telah diterima oleh masyarakat sebagai satu peraturan hidup yang mesti dipatuhi oleh setiap anggota masyarakat. Ringkasnya, adat ialah peraturan yang telah diamalkan sejak dahulu lagi dalam sesebuah masyarakat dan peraturan tersebut menjadi hukum yang harus dipatuhi selain menjadi kebiasaan dan sifat dalam masyarakat tersebut. 

Istiadat pula membawa maksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, adat kebiasaan, atau resam (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Pengertian istiadat ini mempunyai kaitan dengan adat. Menurut Seri Lanang Hj. Rohani et al. (2016), menyebut tentang adat isiadat, ia membawa dua maksud, iaitu pelbagai adat dan upacara termasuk peraturan pelaksanaannya. Harun Daud (1989) berpendapat bahawa istiadat ini meliputi aturan negeri dan peraturan dalam sesuatu upacara. Sehubungan dengan itu, istiadat berbeza dengan undang-undang kerana istiadat ini boleh dikatakan tidak melibatkan hukuman atau denda tertentu. Masyarakat Melayu khususnya di Negeri Sembilan beranggapan bahawa adat Melayu itu terdiri daripada dua jenis adat iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat Perpatih ialah adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan dan Naning di Melaka, manakala Adat Temenggung pula diamalkan oleh orang-orang Melayu di semua negeri di semenanjung Malaysia kecuali Negeri Sembilan. 

Adat Temenggung mempunyai beberapa ciri utama iaitu hukuman bersifat pembalasan, pemerintahan bersifat autokratik, pewarisan harta lebih kepada nasab lelaki dan perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar hukum syarak. Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, adat temenggung secara jelas dipaparkan melalui pertabalan raja. Seperti yang kita sedia maklum, dalam adat temenggung, nasab lelaki lebih diutamakan. Contohnya dalam petikan di bawah: 

Maka titah Raja Merong Mahawangsa kepada menteri Rom, “Sudahlah beta rajakan anakanda ini. Maka sekarang akan negeri ini patutlah kita namakan sesuatu akan dia.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 34) 

Berdasarkan petikan di atas, Raja Merong Mahawangsa telah menabalkan puteranya, Raja Merong Mahadipusat untuk menggantikan baginda memerintah negeri Kedah. Pertabalan putera raja ini juga diteruskan dalam jurai keturunan raja-raja kedah dalam hikayat ini. Seseorang putera raja akan mendapat keistimewaan tersebut berbanding puteri raja. Hal ini sama seperti yang terdapat dalam Adat Temenggung yang lebih mengutamakan pihak lelaki berbanding wanita. Jelaslah bahawa dalam Hikayat Merong Mahawangsa menunjukkan seorang raja akan menabalkan puteranya untuk memerintah sebuah negeri. 

Seterusnya, adat istiadat yang dipaparkan dapat dilihat melalui upacara meraikan kelahiran anak dan pelantikan raja. Pengarang hikayat ini ada menggambarkan hubungan erat antara negeri Kedah dengan negeri Siam. Hal ini demikian kerana putera sulung kepada Raja Merong Mahadipusat telah diarahkan membuka negeri Siam. Putera bongsu yang menjadi raja di negeri Kedah yakni Raja Seri Mahawangsa berasa wajar sekali memulakan tradisi mempersembahkan hantaran bunga emas dan perak sebagai hadiah meraikan kelahiran putera-putera raja Siam. Sejak peristiwa ini, Raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hinggan ke akhir zaman setiap kali mendapat putera. Meskipun upacara ini tidak dilaksanakan dalam kalangan masyarakat Melayu, namun istiadat ini telah dimulakan oleh raja Kedah bagi memperlihatkan perhubungan kekeluargaan yang erat antara adik bongsu dengan abang sulungnya yang memerintah di Benua Siam. Sesungguhnya, adat meraikan kelahiran anak dalam hikayat ini merupakan upacara yang tidak melibatkan hukuman tetapi menjadi tatacara yang harus dipatuhi dan menjadi kebiasaan. Keadaan ini dapat dilihat melalui contoh petikan di bawah: 

‘Apa juga yang baik aku hendak membalaskan akan anak saudaraku itu ... biarlah jangan lagi tersebut nama kejahatan pada seisi alam dunia ini, supaya jangan jadi berputusan daripada umur aku ini boleh sampai pada anak cucu hingga sampai pada kemudian harinya, datang pada akhir zaman jangan tersebut nama kejahatan pada segala raja-raja dan pada khalayak sekalian.’ 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 42) 

“Hendaklah tuan hamba sekalian sembahkan pada saudarai kita, jika ia beroleh anak beri jua khabar ke negeri Kedah ini, demikianlah kita hantarkan. Jikalau kita tiada sekalipun, kita pesan taruh kepada anak cucu kita biar sampai kepada akhir zaman, nescaya tersebutlah nama kita pada alam dunia ini tanda kira berkasih-kasihan
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 43)

Seterusnya, upacara pelantikan atau pertabalan raja turut dipaparkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Merong Mahawangsa telah memerintahkan sekiranya Raja Merong Mahapudisat memperoleh anak, maka baginda perlulah merajakan setiap anaknya di setiap bahagian dalam negeri Kedah ini iaitu sebelah selatan utara barat-laut, sebelah selatan tenggara dan sebelah matahari naik antara timur-laut. Semasa pelantikan anakanda Raja Merong Mahapudisat yang ketiga, baginda menitahkan supaya menteri keempat mengambil gajah sakti yakni Gemala Johari untuk membawa anakandanya menuju ke sebelah matahari naik antara timur-laut iaitu tempat raja itu akan bersemayam dan memerintah. Gemala Johari mesti dialatkan dengan takhta kerajaan serta dihiasi sintuk limau pada badannya, manakala rakyat dihimpunkan bersama-sama bala tentera dan menteri keempat untuk mengiringi anakanda tersebut. Upacara pertabalan ini hanya dikhususkan kepada anakanda perempuan kerana anakanda-anakanda lelaki yang lain tidak diiringi oleh Gemala Johari dalam usaha pembukaan negeri baru seperti yang telah diperintahkan oleh Raja Merong Mahawangsa. Peristiwa ini dapat dilihat melalui contoh petikan di bawah: 

Syahadan, maka titah Raja Merong Mahapudisat pada menteri keempat, “Hendaklah saudaraku ambil gajah kesaktian kenaikan ayahanda baginda Raja Merong Mahawangsa itu, yang bernama Gemala Johari itu, alatkan dengan takhta kerajaan dengan kedab serta langit-langit tirainya dan taburnya dengan dihiasi dan sintuk limau pula badannya. Kita naikkan anak kita yang perempuan, serta menghimpunkan rakyat, bala tentera dan tuan hamba keempat mengiringkan bersama-sama anak kita sebelah matahari hidup kita ini, hendaklah dirajakan. Setelah tetaplah sudah menjadi raja anak kita ini, hendaklah saudaraku keempat kembali kepada beta, biarlah tinggal gajah Gemala Johari bertunggu tuannya, lagipun pantas ia memberi khabar kehalan anak kita.” 
(Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 39-40) 

Pengaruh Islam 

Pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu seperti yang digambarkan dalam karya agung dapat dilihat dari dua aspek utama iaitu pengaruh bahasa asing dan pengaruh gaya hidup masyarakat. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, pengarangnya banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Beliau telah memulakan bahagian pendahuluan dengan ayat Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillahirabbil'alamin yang bermaksud dengan nama Allah, Tuhan yang Amat Murah lagi yang Amat Mengasihani akan sekalian hambanya, segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam dan menyatakan selawat ke atas nabi Muhammad SAW (Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 3). Selain itu, penggunaan kata Arab juga dapat dilihat dalam semasa diceritakan proses pengislaman raja Kedah. Semasa pengislaman Raja Phra Ong Mahawangsa, Syeikh Abdullah mengajarkan membaca kalimah dua sayahadat iaitu Ash-hadu Alla Ilaaha Illa Allah wahdahulaa sharikalah, wa ash hadu anna Mohammadan abduhu wa rasuluh (Hikayat Merong Mahawangsa, 1998: 109) 

Pengaruh gaya hidup Islam juga terserlah dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Menurut Siti Hawa Hj. Salleh (1998), pengarang Hikayat Merong Mahawangsa telah memilih cara yang amat berkesan untuk menerangkan bagaimana Islam tiba ke negeri Kedah. Dalam hikayat ini diceritakan bahawa sebelum datangnya Islam, penduduk negeri Kedah menyembah berhala dan meminum arak, malah rajanya adalah seorang peminum arak. Tujuannya bercerita adalah untuk membuktikan bahawa Islam adalah agama yang menghapuskan unsur kejahatan dan membawa cara hidup yang suci, teratur dan adil. Pengarang memperlihatkan perbezaan kehidupan sebelum menganuti Islam dan selepasnya. Semasa pengembaraan Syeikh Abdullah bersama penghulu syaitan berakhir di bilik peraduan Raja Phra Ong Mahawangsa, Syeikh Abdullah menegur perbuatan syaitan kencing ke dalam arak minuman Raja Phra Ong Mahawangsa menyebabkan penghulu syaitan terlalu marah dan meninggalkan syeikh itu di bilik peraduan raja Kedah. Bermula dari saat itu, raja Kedah dan penduduknya mendapat bimbingan tentang agama Islam daripada Syeikh Abdullah. Syeikh Abdullah telah mengislamkan Raja Phra Ong Mahawangsa dan menukarkan namanya kepada Sultan Muzalfal Syah. Selepas itu, Syeikh Abdullah mengaturkan usaha seperti pembinaan masjid, menetapkan sembahyang jumaat, menetapkan sembahyang lima waktu, mengajar ilmu syariat dan hal-hal berkaitan agama Islam. 

Pengaruh Islam bukan sahaja dapat dilihat melalui kedatangan Islam ke negeri Kedah malah turut diceritakan dalam kehadiran Nabi Allah Sulaiman dan peranannya dalam kisah perkahwinan putera raja Rom dengan puteri raja China. Menerusi nasihat Nabi Allah Sulaiman kepada burung geroda dan makhluk-makhluk lain di balai penghadapannya, pengarang dari awal lagi memberikan hikayat ini suatu paksi yang teguh tentang perkembangan cerita selanjutnya (Siti Hawa Hj. Salleh, 1998). 

 3.0 KESIMPULAN 

Kesimpulannya, Hikayat Merong Mahawangsa mempunyai pemikiran, falsafah, estetika dan kepengarangan, nilai budaya, pandangan hidup dan nilai imu yang digunakan oleh golongan pemerintah dan golongan bawahan. Dapat disimpulkan juga bahawa berdasarkan konsep penulisan sejarah Melayu tradisional, hikayat ini menjalankan peranannya sebagai sebuah penulisan sejarah yang penting dalam peradaban Melayu. Hikayat Merong Mahawangsa ini tidak dikarang dengan semata-mata berdasarkan khayalan dan dongeng tetapi terdapat banyak rahsia budaya dan nilai hidup pada zaman dulu yang tersirat dalam himpunan perlambangan, mitos dan lagenda. Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa merupakan hikayat yang mempunyai nilainya tersendiri dengan memiliki ciri-ciri karya yang dapat dikaitkan dengan keunggulan atau kebijaksanaan akal budi bangsa Melayu di samping mempunyai beberapa aspek yang dapat dijadikan teladan, bahan rujukan, nilai budaya, pegangan hidup, teknik penghasilan karya, gaya bahasa dan sebagainya. Seterusnya, karya ini merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya sehingga telah diangkat menjadi karya agung dalam masyarakat Melayu. 


BIBLIOGRAFI

Awang Sariyan  (2007). Falsafah dan Logika Melayu. Selangor: Synergymate

Dzulkifli bin Mohd Salleh (penyelenggara) (1973). Hikayat Merong Mahawangsa, Kuala   Lumpur:          Dewan Bahasa dan Pustaka.

H.M. Sidin (1964). Asal Usul Adat Resan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana (1996). Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

S. Othman Kelantan (1997). Pemikiran Satira dalam Novel Melayu. Kuala Lumpur: Dewan                        Bahasa dan Pustaka.

Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris (2016). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Siti Hawa Hj. Salleh (1998). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Terbitan Bersama                     Yayasan Karyawan dan Penerbit Universiti Malaya.

Zaini Abdullah (2001). Pengantar Etika Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

myKedah.com (2002). Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa. Diperoleh pada April 11, 2015                daripada http://www.mykedah2.com/10heritage/111_3.html