JUARA

1.0  PENGENALAN

Menurut Seri Lanang Hj. Rohani et al. (2016), karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Berdasarkan konsep ini, karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu (Mohd Rashid Hj. Md Idris et al. ,2014). Oleh hal yang demikian, karya agung Melayu dapat dianggap sebagai sebuah karya ulung keranan ciri-ciri yang ada dalam karya tersebut membentuk budaya dan tamadun sesuatu bangsa yang kekal sepanjang zaman.

            Juara (1976) adalah salah satu daripada novel yang telah dihasilkan oleh S. Othman Kelantan. Menurut Sumarjo (2010), novel boleh ditakrifkan sebagai produk masyarakat. Hal ini demikian kerana novel dibentuk oleh anggota masyarakat berdasarkan desakan-desakan emosi atau rasional dalam masyarakat.Manakala dalam istilah novel berasal daripada perkataan novella iaitu daripada bahasa Itali yang membawa maksud ‘perkhabaran baru’. Novel dalam konteks ini dimaksudkan sebagai kisah rekaan atau fiksyen yang panjang berbanding cerpen yang merupakan kategori cerita rekaan yang bersifat prosa.Perkara atau pokok utama dalam menghasilkan karya ialah keupayaan penulis mengungkapkan isi atau persoalan mengenai tema yang ingin dicorakkan.



            Dalam novel Juara karya S,Othman Kelantan ini, penelitian akan dibuat dan dinilai berdasarkan aspek-aspek  pemikiran, estetika dan kepengarangan karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu serta falsafah dalam karya agung bagi membuktikan bahawa karya ini mempunyai nilai dan manfaat untuk dijadikan pengajaran dalam kehidupan masyarakat sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, sesebuah karya tidak hanya dilihat dari aspek tersebut kerana setiap karya yang dihasilkan terdiri daripada latar, pemikiran dan budaya berbeza.

1.1  Sinopsis Novel Juara

Novel Juara (1976) adalah sebuah karya S. Othman Kelantan yang merupakan kisah tentang seorang lelaki bernama Mamat dan anak-anak buahnya iaitu Mat San, Seli, Jal, dan Salim. Rakan seperjuangannya iaitu Abang Lazim, ayah kepada Sani dan Salim telah mati kerana dibunuh dan ditembak selepas menjuarai satu pertandingan laga lembu. Abang Lazim telah dibunuh oleh Pak Isa, Dollah Munduk dan beberapa konconya yang lain disebabkan oleh hasad dengki dan cemburu akan kehebatan lembu Abang Lazim yang diberi nama sebagai Calet. Mereka sangat tidak berpuas hati dengan Calet kerana lembu mereka iaitu Langsat dikalahkan olehnya.

Novel ini berlatarbelakangkan negeri Siam bersempadan dengan negeri Kelantan. Mamat merupakan seorang ahli politik dan dia telah pun meletakkan jawatannya kerana telah gagal sebanyak dua kali dalam pilihan raya yang berlangsung di kawasan itu. Mamat juga merupakan tulang belakang kemerdekaan Tanah Melayu pada ketika itu. Namun begitu, Mamat tetap meletakkan jawatannya kerana jiwanya merasakan bahawa khidmatnya tidak diperlukan lagi oleh masyarakat setempat di situ dan terdapat juga faktor-faktor lain seperti saingan hebat daripada parti lain mendorong dirinya untuk melakukan perkara itu.

Berdasarkan penyataan itu, terdapat suatu persamaan antara kehidupan Mamat dengan perjuangannya dalam bidang politik. Mamat juga sering melibatkan diri dalam pertandingan laga lembu dan dia juga sering memenangi pertandingan tersebut. Mamat menganggap kalah dan menang itu adalah adat pertandingan dan menjadi lumrah kehidupan sama seperti dirinya ketika melibatkan diri dalam pilihan raya. Pertandingan laga lembu merupakan aktiviti yang melibatkan sejumlah wang yang sebagai taruhan. Pertandingan ini boleh dikatakan sebagai judi kerana pemilik lembu yang menang dalam perlawanan akan memperoleh wang pertaruhan.

Mamat melibatkan diri dengan perlawanan laga lembu ini setelah dia sering kali kalah dalam pilihan raya di Kelantan. Ketika itu, Mamat banyak menerima laga lembu daripada Abang Lazim. Mamat membuat keputusan untuk berpindah ke Siam untuk memberi lebih fokus dalam perlawanan laga lembu tersebut. Kelebihan Mamat iaitu boleh menilai dan memilih lembu yang terbaik untuk menyertai perlawanan itu amatlah disegani oleh mereka yang menggemari pertandingan laga lembu. Setelah kematian Calet akibat dibunuh oleh Pak Isa dan konco-konconya, Mamat telah melatih seekor lembu muda yang diberi nama Aral. Aral telah dilatih dengan baik sehingga lembu itu sering memenangi dan menjadi juara dalam setiap pertandingan laga lembu. Tetapi, kematian Dollah Munduk telah menyebabkan Mamat disoal siasat dan perkara tersebut telah menyebabkan pencarian terhadap Pak Isa yang telah membunuh Abang Lazim setahun yang lalu terbantut.

Kemudian, setahun selepas Mamat disoal siasat berkaitan dengan kematian Dollah Munduk, lembunya si Aral telah menjadi semakin terkenal. Aral pernah berlawan dengan seekor lembu dari Pulau Lonel. Sebenarnya, lembu itu merupakan lembu milik Pak Isa yang dicari-cari oleh Mamat selama ini. Tnaduk lembu tersebut disalut dengan besi supaya menjadi lebih tajam. Tujuannya adalah untuk membunuh Aral. Sewaktu pertandingan berlangsung, kelihatan perlawanan yang berlaku adalah sebuah pertarungan yang hebat kerana bukan sahaja lembu-lembu yang berentap di ruang laga lembu, malah juga melibatkan perlawanan antara Mamat dengan Pak Isa. Mereka saling berdendam dimana Pak Isa ingin membalas dendam atas kekalahannya manakala Mamat pula ingin menuntut bela atas kematian Abang Lazim yang dibunuh oleh Pak Isa. Akhirnya, Pak Isa mati dek kerana ditembak olah Mamat dihadapan penyokong perlawanan lembu tersebut ketika itu.

2.0  CIRI-CIRI NOVEL JUARA

Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung adalah berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan. Berdasarkan Novel Juara, beberapa ciri-ciri khusus yang ada pada karya tersebut telah dikaji, meliputi aspek pemikiran, falsafah, nilai budaya dan pandangan hidup, estetika dan seni kepengarangan dan nilai ilmu.

2.1  Pemikiran dalam Novel Juara

S. Othman Kelantan (1997) mendefinisikan pemikiran sebagai idea yang wujud daripada golongan intelektual yang menggunakan fakulti kritikal dalam mindanya untuk memikirkan sesuatu masalah dalam masyarakatnya.Pemikiran itu disebarkan di dalam lingkungan masyarakatnya atau keluar daripada masyarakatnya.Mungkin oleh sebab memikirkan ancaman yang muncul pada zamannya, golongan intelektual ini merakamkan ketidaksenangan dan kegelisahannya dalam bentuk novel. Pemikiran yang tersembunyi dalam novel ini dikaji untuk melihat keupayaan dan keunggulan pengarang Melayu meluahkan perasaan mereka yang beragam dan komplek itu.Justeru, pemikiran dalam novel juga dapat dilihat melalui watak-watak yang beraneka ragam.

            Kemampuan dan keluasan berfikir tidak akan menjadikan seseorang itu stereotaip dalam tindakan dan amalannya. Konsep pemikiran pernah dijelaskan oleh Zainal Kling (1993) sebagai kegiatan untuk membentuk sesuatu sistem tanggapan yang akan menjadi rangka berfikir yang wajar bagi semua anggota masyarakat. Menurut Asmah Haji Omar (1986) pula, beliau memberikan pendapat seperti yang terdapat dalam petikan dibawah.

“Adapun definisi yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi untuk pemikiran, untuk tujuan kajian, kita  akan mentafsirkannya sebagai kegiatan-kegiatan yang berlaku dalam otak kita apabila menghadapi sesuatu keadaan, perbuatan, dan sebagainya. Hasil daripada pemikiran itu adalah fikiran.”

Novel Juara karya S. Othman Kelantan menjadi tumpuan ramai pembaca. Kemunculan novel ini sememangnya telah mengangkat namanya dalam dunia kesusasteraan. Dalam novel ini jelas memperlihatkan pemikiran mengenai politik, perjuangan orang Melayu, sikap pemimpin Melayu, budaya melaga lembu dan juga nilai kasih sayang yang diterapkan dalam institusi kekeluargaan. Pemikiran itu tertera dengan jelas dalam novel Juara ini sekaligus novel ini menjadi refleksi politik Melayu pada masa itu. Hal ini berikutan dengan situasi yang berlaku pada masa itu iaitu terdapatnya pergolakkan politik di negara ini.

2.1.1 Perjuangan Melayu

Perjuangan yang dimaksudkan adalah bagaimana usaha-usaha yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin dalam novel Juara ini untuk sama-sama berdemokrasi bagi membantu kemerdekaan orang Melayu. Kelantangan Mahamud Larin, Yahya Hasan dan Mamat menyuarakan hak sebagai rakyat asal tanah Melayu kepada kerajaan British. Ini menyebabkan mereka menjadi perhatian masyarakat untuk membantu menyuarakan hak mereka serta rakyat menyokong mereka dengan sepenuh hati. Peristiwa di dalam novel ini seolah-olah menggambarkan kembali peristiwa pengenalan demokrasi di tanah Melayu semasa pasca merdeka dan bagaimana masyarakat Melayu bertungkus-lumus untuk mengembalikan hak mereka di tanah Melayu. Pemikiran ini dapat dilihat menerusi petikan dalam novel.

Kemudian apa yang diperjuangkan itu mendapat kejayaan yang cemerlang. Pilihanraya pertama diadakan. Ini sebagai batu uji untuk melihat hasrat rakyat mahu merdeka. …walaupun kejayaan itu merupakan kejayaan yang separuh kerana wakil-wakil rakyat masih ada yang dilantik, akan tetapi usahanya untuk mendapatkan kemerdekaan telah menjalar dan berakar…
                                                                                                (Juara, 1976:55)

            Watak Mamat yang diperkenalkan oleh S Othman Kelantan berperanan menjadi pemimpin utama dalam Parti Persatuan Melayu. Sebagai pemimpin Parti Persatuan Melayu yang sederhana dalam segala tindak tanduknya, Mamat amat tegas dalam mencapai matlamatnya. Dia pernah memimpin perarakan untuk menuntut pilihan raya daripada pemerintah Inggeris. Bagi Mamat, ‘harga manusia ialah kemerdekaan’ serta ‘bangsa Melayu sendiri memerintah negeri’. Dari aspek kepimpinan, Mamat merupakan tokoh pemimpin yang ideal pada mata masyarakat. Jiwanya kaya dengan semangat bangsa dan nasionalisme. Daripada sekian lama perjuangannya dan penglibatan dalam politik, Mamat memang boleh dianggap  sebagai  nasionalis  serta  harapan  bangsa  yang  membantu  kemerdekaan. Semangat juang tinggi dan untuk mencapai hala tujunya, dia sanggup berkorban jiwa dan raga. Namun kegagalan demi kegagalan menyebabkan Mamat berputus asa dan mula mengundur diri dalam politik. Lebih-lebih lagi isu kemerdekaan telah dilupakan memandangkan pembentukan sistem baru iaitu demokrasi diperkenalkan.

2.1.2 Perbandingan  Politik dan Laga Lembu

Persoalan politik sempadan orang-orang Melayu dalam novel Juara menjadi sesuatu yang tersirat. Walaupun hakikat ini dinyatakan secara sepintas lalu, tetapi ia mempunyai makna yang cukup besar bagi dunia masyarakat Melayu. Dalam novel Juara ini, Mamat digambarkan kalah dalam pilihan raya dan seterusnya membawa diri ke Kelantan. Dia memilih daerah Bangnara bagi memulakan kehidupan untuk melupakan perjuangan politiknya semasa di Kelantan. Di situ Mamat bersahabat dengan Abang Lazim yang sama-sama berjuang dengan prinsip masing-masing.

            Namun semasa berada di perantauan, semangat politik itu rupa-rupanya tidak pernah luntur dalam diri Mamat. Mamat terus dengan idealismenya, yang kadang kala kedengaran sangat sempurna dan tiada cacat celanya. Bertitik tolak dari fahaman watak Mamat ini, S. Othman Kelantan cuba untuk menyelak sisi hodoh politik dalam masyarakat. Beliau cuba menilai senario politik dan sikap sesetengah pemimpin pasca merdeka yang baginya berjuang tidak lagi atas landasan suci dan kukuh untuk kepentingan bangsa, agama, dan negara tetapi lebih kepada kepentingan diri (Hizari Othman, 2000). Menerusi watak Mamat, banyak aspek politik yang didebatkan. Kegagalannya sebagai bekas ahli politik di Kelantan, kemudian membawa diri ke Bangnara dan di situ beliau menunjukkan gelojak rasa yang dahsyat untuk menjadi yang teratas. Rasa mahu berkuasa itu sangat kuat hingga menjadikan beliau seakan kabur akan tanggungjawab sebenarnya sebagai suami, sebagai bapa dan sebagai seorang Islam. Mamat misalnya meminta isterinya memastikan Aral mendapat makanan yang elok, tetapi keluarganya pula terpaksa mencatu makanan dan minuman. Hal ini memaparkan kecelaan pada watak Mamat yang sepatutnya menjadi pemimpin atau ketua kepada orang bawahannya.

            Pengarang memasukkan pemikirannya dalam novel ini dengan menunjukkan kepada pembaca bahawa melaga lembu dan mengumpul pengikut untuk memperbanyakkan taruhan dengan pilihanraya, menabur janji dan kemudian senyap setelah menang tidak mempunyai perbezaan. Inilah pemikiran mendalam pengarang yang harus difahami oleh seseorang pembaca. Kedua-duanya mencari kemenangan, kepuasan sementara yang palsu, yang sering pula diatasi oleh serakahnya nafsu. Kalah menang, tawa sendu dalam “mencari diri” di gelanggang laga lembu juga tidak banyak berbeza dengan kalah menang dan tawa sendu mereka yang berjuang di atas platform politik moden dengan lesen demokrasi. Dalam juara, laga lembu ialah politik, politik ialah lembu, sebagaimana yang ditegaskan oleh novelisnya. Contohnya dalam petikan di bawah.

“gelanggang politk dengan gelanggang lembu itu tidak jauh bezanya dengan praktik. Lembu itu pun sama dengan politik, sama-sama diperjudikan. Kalau lembu itu kalah, orangnya pun kalah.Kalau politk kalah, orangnya pun kalah.Politik itu lembu.Dan lembu itu politik!”
                                                                                                                     (Juara, 1976:74)

Unsur ini menyebabkan juara seolah-olah mempunyai dua plot yang selari iaitu kisah Mamat seorang pejuang politik yang tewas dan kisah laga lembu yang menjadi budaya masa lapang masyarakat sekatan siam. Pengarang menyiratkan makna pemikiran yang mendalam tentang hakikat politik melayu yang hodoh di sebalik metafora laga lambu tersebut. Namun, dalam masa yang sama pengarang turut ghairah menghantar tema utama ini secara langsung menerusi contoh petikan diatas. Sekiranya ayat-ayat seperti “politik itu lembu dan lembu itu politik” itu tidak diberitahu atau diulang, pembaca sastera yang kritis masih dapat menyaring pemikiran beliau. Fenomena laga lembu dan latar belakang Mamat sebagai ahli politik yang kalah dan merajuk ke tempat orang dan menemui dirinya semula di gelanggang yang lain adalah analogi yang sedia jelas dan tidak perlu diberitahu secara langsung lagi.

2.1.3 Sikap Pemimpin yang Tidak Menjadikan Dirinya Sebagai Role Model

Dalam novel ini juga, pengarang cuba menyampaikan pemikirannya mengenai sikap pemimpin setempat pada masa itu. Ketiadaan ilmu menjadikan masyarakat Bangnara hidup terpinggir dalam kelompok kecil. Inilah juga masalah masyarakat Melayu apabila pemimpin sendiri tidak menjadikan dirinya sebagai role model, menunjukkan teladan yang baik supaya pengikut dapat berubah menjadi manusia yang lebih baik. Sebagai contoh, Mamat yang sepatutnya menjadi ketua keluarga yang memberikan contoh keperibadiaan dan akhlak yang baik kepada keluarganya tidak terjadi dalam novel ini. Walau bagaimanapun, Mamat bukanlah seorang yang buta keseluruhan mengenai situasi yang membelit dirinya itu. Dia meletakkan harapan pada Jusuh. Anak lelaki bongsunya ini dihantar belajar ke sekolah agama di Kelantan. Secara sedar atau tidak, tindakan menghantar anaknya belajar di tempat yang membuang dirinya dahulu itu, barangkali merupakan refleksi bahawa jauh di lubuk hatinya, Kelantan masih segar dalam diri Mamat. Tanah asal masih menjadi pilihan walaupun hujan batu di situ. Hal ini ditegaskan menerusi prinsip mamat seperti di bawah.

“Jusuh adalah diri dia sendiri.Kegagalan dia memberi pelajaran, ertinya kegagalan jusuh untuk menjadi manusia. Kegagalan dia menanam otak ke dalam anak laki-lakinya yang seorang ini, akan hilang semua keturunan yang selamanya dikenal sebagai pejuang. Sekalipun perjuangannya tidak pernah dikenang walau seurat benang pun.”
                                                                                                                 (Juara, 1976:39)

2.1.4 Laga Lembu Sebagai Budaya Hidup

Kegiatan laga lembu dianggap sebagai sebuah kegiatan judi. Laga lembu merupakan satu pertandingan lawan antara dua ekor lembu dalam bong iaitu tempat lembu dilagakan. Lembu yang dapat mengalahkan lawan iaitu membunuh lawan atau dapat bertahan lebih lama berbanding lawan akan dikira sebagai pemenang. Dalam perlawanan ini, terdapat sejumlah wang yang dipertaruhkan oleh peserta. Novel Juara membawa pembaca untuk menyelusuri kehidupan masyarakat di Bangnara, Thailand. Di sini, budaya melaga lembu masih diamalkan. Bahkan, tiada undang-undang yang menegah perbuatan tersebut. Malahan, aktiviti melaga lembu ini boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada pemilik lembu laga yang menang.

        Dalam novel ini telah diceritakan bahawa watak Abang Lazim orang yang begitu handal dalam soal laga lembu. Begitu juga Mamat. Ketika Calet iaitu lembu kepada Abang Lazim dipertandingkan, Mamat telah menjadi juara. Calet akan dilagakan dengan lembu Pak Isa yang bernama Langsat. Dalam pertandingan ini, mamat telah menggunakan tipu helah bagi memenangkan Calet. Akhirnya, dengan wang pertaruhan sebanyak 200 ribu bath, Langsat telah berjaya dikalahkan. Perkara ini telah membuatkan Pak Isa dan konco-konconya termasuk Dolah Munduk tidak berpuas hati dan akhirnya telah menembak Abang Lazim dan Calet. Peristiwa ini dapat dilihat menerusi petikan di bawah.

Pagi ini Calet akan diadukan ! Malam semalam keputusan akhir telah dicapai. Pertaruhan ini paling besar dalam sejarah pertarungan lembu. Pak Isa telah menetapkan dua-ratus ribu bhat. Abang Lazim menyanggupinya. Ada dua-puluh orang-dalam… “Pakcik Lazim ditembak!’’ Dia seperti terpukau mendengar itu, tidak percaya sama sekali..
                                                                                                              (Juara, 1976:67-80)

Namun begitu, minat Mamat terhadap laga lembu tidak terhenti di situ. Mamat dan konco-konconya iaitu Jali, Sani, Semail dan Mat San masih memiliki lembu yang masih muda yang dinamakan Aral. Aral adalah lembu pemberian Dolah Munduk. Walaupun Mamat pernah dicederakan oleh Aral atas perbuatan kianat Dolah Munduk, dia masih gigih untuk melatih aral serta yakin bahawa Aral akan menjadi seekor Calet yang baharu. Akhirnya, suatu hari Aral telah di bawa ke Bandar Bangnara untuk dilagakan buat kali pertama. Dalam perlawanan itu Aral telah dilagakan dengan lembu yang bernama Nibung. Tanduk Aral telah menujah-nujah leher Nibung sehinggakan lembu itu rebah dan Aral telah dinobatkan sebagai pemenang.

2.1.5 Kasih Sayang terhadap Keluarga

Walaupun novel Juara membawa nilai-nilai yang lebih bersifat agresif, S. Othman Kelantan tetap memasukkan nilai kasih sayang dalam novelnya. Kasih sayang terhadap keluarga begitu dititikberatkan oleh pengarang. Lalu beliau, membangunkan watak-watak dan babak-babak yang mampu membuatkan pembaca berfikir tentang indahnya mempunyai sebuah keluarga yang saling menyayangi dan mempercayai.

            Watak-watak dalam keluarga Mamat, digambarkan sebagai watak-watak yang cukup penyayang. Mamat mempunyai seorang isteri iaitu Minah dan tiga orang anak perempuan serta seorang anak lelaki bernama Jusuh. Kehidupan keluarga ini aman dan damai. Buktinya, mereka masih setia walaupun Mamat telah kalah dalam pilihanraya dan ikut sama-sama melarikan diri ke Siam. Selain itu, kasih sayang mereka juga dipamerkan ketika Mamat menghadapi musibah. Sebagai contoh, Mamat telah cedera parah setelah ditanduk oleh Arah. Namun mereka tetap setia merawat Mamat. Contoh  petikan yang dapat dilihat tentang kasih sayang isterinya adalah seperti berikut.

Demo dah makan ubat” suara Minah separuh berbisik ke telinganya. Dia menggeleng sedikit. Minah mengambil ubat butir di dalam bekas nescafe. Mencurahkannya dalam tapak tangan. Membawanya ke mulut mamat.
                                                                                                                         (Juara, 1976 : 111)

Nilai kasih sayang yang digambarkan dalam novel ini banyak mempengaruhi emosi pembaca. Kehidupan keluarga yang bahagia mencerminkan bahawa penulis masih cuba membawa pembaca untuk menilai sejauh mana nilai kasih sayang mampu membentuk manusia dalam nilaian yang berbeza.

2.2 Falsafah dalam Novel Juara

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), falsafah ialah pengetahuan mengenai pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu lain. Falsafah atau Philosophia telah digunakan oleh Pythagoras. Philo dan Sophia membawa maksud cinta akan kebijaksanaan. Menurut Plato pula, Philosophia bermaksud ilmu. Menurut Seri Lanang et.al (2016), falsafah boleh didefinisikan sebagai cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah mempunyai beberapa ciri seperti pemikiran yang tinggi dan bertujuan bagi mendapatkan kebenaran dalam sesebuah karya sama ada karya klasik atau karya moden. Oleh itu, falsafah boleh merujuk kepada suatu kesenian berfikir secara waras, bernas, mendalam dan mempunyai unsur estetik dan artistik. Falsafah dari segi  penulisan karya agung merujuk kepada pemikiran atau pandangan hidup yang diketengahkan oleh pengkarya yang boleh menarik minat khalayak bagi  meneruskan pembacaan.

            Dalam sesebuah karya, falsafah menjadi penuturan dan huraian yang tersusun oleh pengkarya dalam karyanya. Persoalan mengenai falsafah perlu dalam sesebuah karya kerana dengan cara tersebut dapat dirungkakan bahawa kebenaran disebalik persoalan tersebut. Menurut Seri Lanang et.al (2016), bidang falsafah mempunyai beberapa aspek iaitu etika, metafizka, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Bidang tersebut akan dianalisis dalam karya moden Juara bagi mendapatkan kebenaran bahawa falsafah-falsafah tersebut terkandung dalam karya tersebut.

2.2.1 Falsafah Politik

Falsafah politik merupakan falsafah yang menjurus kepada aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan yang diutarakan oleh Seri Lanang et. al (2016). Dalam novel ini aspek falsafah politik merupakan aspek yang paling banyak diutarakan oleh S.Othman Kelantan. Dalam novel ini, mengisahkan tentang watak Mamat sebagai watak utama yang memainkan peranan sebagai orang politik yang meletak jawatan atau dalam erti kata lain melarikan diri setelah dua kali gagal dalam pilihan raya walaupun beliau adalah salah seorang yang kuat dalam mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

2.2.1.1 Sistem Politik dalam Perlawanan Laga Lembu

Dalam novel Juara ini, penulis telah menyelitkan falsafah politik yang menjurus kepada perjuangan laga lembu dan perjuangan dalam politik tidak mempunyai banyak perbezaannya. Walaupun Mamat telah mengalami kekalahan dalam bidang politik, namun dalam pertandingan laga lembu, Mamat ialah juara. Mamat merasa bahawa kepuasan semasa memenangi perlawanan berlaga lembu seolah-olah sama seperti kemenangan dalam bidang politik. Tindakan Mamat yang berlaga lembu berkemungkinan besar salah satu cara untuk menunjukkan protesnya dalam kancah politk. Berikut merupakan petikan yang berkaitan :

Gelanggang politik dengan gelanggang lembu itu tidak jauh bezanya dalam praktik. Lembu itu pun sama dengan politik. Sama-sama diperjudikan. Kalau lembu kalah, orangnya pun kalah. Kalau politik kalah, orangnya pun kalah. Politik itu lembu. Dan lembu itu pun politik!
(Juara, 1976 : 56)

Oleh yang demikian, Penulis seolah-olah ingin menggambarkan yang bahawa dunia politik dengan perjudian melaga lembu ini setaraf dan tiada perbezaannya yang ketara.

2.2.1.2 Pemimpin yang Berpaling Tadah Terhadap Parti Politik

Dalam novel ini, diselitkan juga kisah mengenai Hassan yang telah menyertai parti yang lain seterusnya berjaya memenangi pilihan raya. Hassan telah menyertai parti lain kerana telah menentang perjuangan oleh bapa mertuanya. Dalam hal ini falsafah politik yang ditonjolkan adalah seseorang yang ingin memperoleh kejayaan dalam hidupnya sanggup melakukan apa-apa termasuklah sanggup mengkhianati keluarnya sendiri. Berikut merupakan bukti yang berkaitan:

Kemudian Faisah keluar kerana pertunangannya dengan seorang orang politik partinya sendiri, Hassan. Kemudian Hassan berpaling tadah dalam politik. Menantunya menentangnya dengan memasuki parti lain.
(Juara 1976:38)

            Salah satu falsafah politik yang ingin digambarkan oleh penulis dalam novel ini adalah terdapat sebilangan pemimpin yang tidak tetap kepada pendiriannya. Sikap yang diambil oleh invidividu tersebut seolah-olah hanya mementingkan diri sendiri sahaja tanpa memikirkan masyarakat sekeliling khususnya orang bawahan. Hal demikian dapat disimpulkan bahawa terdapat individu sama ada pada zaman novel ini ditulis mahupun pad zaman sekarang, mempunyai sebilangan pemimpin yang bukan ingin memperjuangkan hak rakyatnya malah hanya mahu memenuhi kepentingan diri sendiri.

2.2.2 Falsafah Sosial

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan sosial merupakan segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Dalam bidang falsafah sosial pula ia merupakan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Terdapat banyak falsafah sosial yang diselitkan dalam novel ini. Antaranya berkaitan dengan aktiviti masyarakat kampung, pergaulan semasa novel tersebut ditulis dan sebagainya.

2.2.2.1 Budaya Laga Lembu dalam Kalangan Masyarakat Melayu

Dalam novel ini, banyak mengisahkan masyarakat Melayu yang menetap di sempadan Siam dan Kelantan. Di sana, orang lelaki akan mengisi masa lapang mereka dengan berlaga lembu. Dalam watak Mamat, beliau juga sering menyertai aktiviti laga lembu sehingga mendapat gelaran ‘Pahlawan Lembu’. Mamat seorang yang memberi perhatian kepada lembu berbanding kepada isteri dan anak-anaknya. Hal demikian dapat dilihat melalui petikan yang berikut ;

Jali diam. Mamat diam. Masing-masing mengagak betapa kecewanya seseorang yang kalah dalam perjudian lembu begitu.
  (Juara 1976:26)
     
Mamat segera melihat keberangan dan kehandalan Calet memenangi pertarungan pagi tadi.
 (Juara, 1976:11)
     
            Budaya yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ada ketika itu masih lagi dipengaruhi dengan budaya-budaya nenek moyang. Walaupun sudah terang lagi bersuluh budaya tersebut terpesong jauh dari agama, namun budaya yang sudah lama diamalkan sukar untuk tidak diamalkan kerana menjadi sebahagian daripada aktiviti  kehidupan masyarakat Melayu pada ketika itu.


2.2.2.2 Masyarakat yang Menyalahi Undang-undang Memberi Kesan Buruk

Dalam novel Juara, terdapat peristiwa yang menceritakan tentang masyarakat kampung yang menyalahi undang. Bagi mereka, membalas dendam merupakan perkara yang biasa. Dalam hal tersebut dapat dibuktikan apabila Abang Lazim, Pak Is dan Dolah Munduk dibunuh. Setelah itu, pihak berkuasa Siam telah berjaya menangkap Mamat iaitu suspek dalam kes tersebut namun setelah 15 hari, Mamat dibebaskan. Peristiwa ini dapat dilihat semasa mayat Abang Lazim diusung ke rumah.

“Dua orang lelaki anak Abang Lazim membasahi mayat ayahnya dengan air mata. Kemudian, tegak seperti seekor tedung. Mencapai ladingnya. Mencapai kelewang, pistolnya. Akan tetapi kedua-dua beradik itu disabarkan juga.”
 ( Juara, 1976:6)
     
Perbuatan membalas dendam tidak sepatutnya berlaku kerana mereka merupakan masyarakat yang beragama Islam dan terikat dengan peraturan dan undang-undang di sesebuah kerajaan khususnya di Malaysia. Hal demikian kerana, akan mendatangkan kesan buruk kepada perilaku tersebut disamping memberi kesan yang mendalam terhadap mangsa tersebut. Seharusnya, perbuatan yang menyalahi undang-undang haruslah dielakkan supaya tidak mendatangkan kesan yang buruk bukan sahaja kepada diri malah masyarakat sekeliling.

2.2.3 Falsafah Ekonomi    

Ekonomi merupakan salah satu bidang ilmu sains sosial yang mengkaji mengenai individu dan masyarakat dalam membuat pilihan yang betul dengan menggunakan sumber ekonomi seperti tanah, buruh, modal dan usahawan untuk memenuhi kehendak manusia yang tiada had. Dalam novel Juara ini falsafah ekonomi yang digarapkan menjurus kepada keadaan ekonomi masyarakat Melayu di luar bandar seperti perniagaan kecil-kecilan, pertanian, perniagaan secara haram dan sebagainya.

2.2.3.1 Pendapatan yang Menyalahi Undang-undang

Dari aspek falsafah ekonomi pula, dalam novel ini turut menggambarkan keadaan Mamat yang bergantung kepada pendapatan dengan cara yang menyalahi undang-undang iaitu wang kemenangan dari judi berlaga lembu. Hal tersebut dapat dilihat melalui petikan yang berikut :

“Dia (Mamat) bangga dengan kemenangannya sebagai pahlawan lembu. Julukan itu  tidak ada apa-apa hinanya di daerah ini. Nama julukan itu memudahkan dia mendapat wang  dari mana sahaja. Bila-bila!”                                                                         
                                                                                                          (Juara, 1976 :30-31)

Sebagai seorang yang beragama Islam Mamat tidak seharusnya mencari rezeki dengan sumber yang haram iaitu dengan berjudi laga lembu. Dalam aspek ketua keluarga pula, dia juga tidak seharusnya menunjukkan teladan yang tidak baik untuk anak-anaknya dan perlu menyediakan nafkah yang halal untuk mereka.

2.2.3.2 Berbakti kepada Tanah

Sebagai masyarakat yang tinggal di luar bandar, kebanyakan akiviti ekonomi mereka lebih menjurus kepada pertanian. Oleh itu, dalam novel Juara ini, penulis telah memasukkan cerita mengenai Jali, Mat San dan Semail yang telah kehilangan bapanya. Oleh yang demikian, mereka telah mengambil alih terhadap enam ekar tanah yang mempunyai pokok-pokok getah. Hal demikian dapat dilihat melalui petikan yang berikut ;

Dia tiba-tiba teringat kepada anak-anak muda yang setia; Jali, Mat San dan Semail. Jali yang dibesarkan di sini, anak jati Bangnara, kehilangan bapa sejak kecil. Hidupnya bersama ibunya yang sudah tua, bergantung kepada pokok getah enam ekar pesaka bapanya.
 (Juara, 1976:35)
     
            Aktiviti berbakti kepada tanah sebenarnya mendatangkan banyak manfaat kepada pengusahanya. Hal demikian kerana, pendapatan yang diperoleh agak lumayan kerana tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikannnya dalam satu hari atau tidak perlu berkerja selama lapan jam sehari seperti di pejabat. Dalam masa yang sama juga, pengusaha bukan sahaja dapat mengusahakan sejenis sahaja tanaman malah boleh melakukan aktiviti yang lain seperti menjaga lembu.

2.2.4 Falsafah Etika

Etika atau ethos yang membawa maksud adat kebiasaan. Falsafah etika bersifat teori, menyelidik, memikir dan mempertimbangkan mengenai baik atau buruk. Etika lahir daripada budaya sesuatu masyarakat. Banyak falsafah etika yang diterapkan dalam novel Juara ini.

2.2.4.1 Hidup Hendaklah Berpegang pada Janji

Sikap menepati janji merupakan salah satu sifat keperibadian yang mulia. Jika terdapat individu yang mempunyai sikap seperti itu dia merupakan individu yang cemerlang kerana apabila membuat perjanjian dan perjanjian tersebut ditetapi. Sikap ini dapat dilihat pada Pak Mat yang berjanji akan bersara  dalam bidang poltik sekiranya mengalami kekalahan dalam pilihan raya dan akhirnya dia menunaikan janjinya.  Hal tersebut dapat dilihat dalam petikan yang berikut ;

 “Saya akan  bersara dari politik kalau saya kalah dalam pilihan raya ini!
(Juara, 1976:8)
  

Dan keputusannya? Dia kalah lagi!!!
Dia jatuh terjelepok di atas kerusinya di dalam dewan pembukaan undi di Maktab Ismail. Beberapa orang kawannya memegangnya.Dia dipapah kembali ke rumahnya. Semalam-malaman itu dia tidak tidur sepicing pun!
Lawannya yang dianggap mentah dan tolol dalam perjuangan itu menjadi pahlawan atas kekalahannya. Dan, dengan ingatan yang kukuh dan azam yang kuat, dia mengingati akan sumpahnya- dia akan bersara daripada politik.
Dengan perasaan yang sangat terharu dan dukacita yang tidak terperikan, dia pun bersara daripada politik!
 (Juara, 1976: 9)
                                                                                                                             

            Sikap yang ditunjukkan oleh Pak Tam merupakan sikap yang perlu diikuti oleh masyarakat. Hal demikian kerana, sikap tersebut amat mulia dan bertepatan dengan ajaran agama Islam. Dari segi budaya pula, sikap tersebut dapat melahirkan masyarakat yang  bersatu padu dan tiada persengkatan antara satu sama lain jika memgamalkan sikap bertepati janji.

2.2.4.2 Pertolongan Perlu diberikan Kepada yang Memerlukan      
Dalam novel ini juga, diselitkan peristiwa individu yang menolong orang dalam kesusahan. Sikap ini merupakan salah satu amalan yang sangat mulia. Falsafah etika tersebut harus ada  dalam diri setiap manusia. Dalam novel Juara ini, watak Jali telah menyelamatkan Pak Mat daripada lembu yang sedang naik minyak. Pak Mat mungkin akan mengalami kecelakaan jika Jali tidak menolong Pak Mat. Berikut merupakan petikan yang menceritakan tentang peristiwa tersebut ;

Mamat tersedu dalam hatinya. Dia diselamatkan oleh Jali. Ketika dia sedang diterjah oleh Aral iu, Jali baru tiba untuk menyambung menoreh getah di situ. Baru Mamat ingat. Hutan-hutan kecil itu di dalam getah Jali. Jali mendengar dia menyeru nama Sani. Jali segera menerkam ke tempat suara itu. Jali melihat Aral sedang mengerjakan dia. Jali mula-mulanya menyangka suatu permainan. Apabila, melihat itu sungguh-sungguh lalu masuk cuba menetak lembu itu. Akan tetapi, mujurlah Jali agak panjang akalnya. Dicapainya sebatang kayu. Dengan pukulan yang kuat ke atas tubuh lembu yang sedang mengamuk itu, telah melepaskan dia daripada tikamannya yang bertubi-tubi. Waktu itu juga turun Sani dan Salim. Kemudian, beberapa orang lagi datang. Aral cuba menerkam lagi. Akan tetapi, segera diberkas.
                                                                                                                            (Juara, 1976: 69)

Sikap yang ditunjukkan oleh Jali hendaklah dijadikan sebagai panduan dalam hidup kepada masyarakat kini. Kita hendaklah berbuat baik antara satu salam lain. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat hanya mementingkan diri sendiri sahaja dan tidak mahu mengambil tahu akan masyarakatnya sekeliling. Oleh yang demikian, sikap tidak mahu menjaga tepi kain orang perlu dibuang oleh masyarakat kini.

2.2.5 Falsafah Metafizika

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), metafizika atau metafizik iaitu falsafah atau ilmu pengetahuan mengenai segala yang di luar alam biasa atau yang tidak kelihatan. Menurut Seri Lanang et. al (2016), metafizika ialah bidang falsafah yang mempunyai kaitan dengan  kewujudan dan keberadaan. Bidang metafizika ini boleh dipecahkan kepada tiga aspek iaitu ketuhanan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal.

2.2.5.1 Percaya kepada takdir Allah S.W.T

Sebagai masyarakat yang beragama Islam harus percaya terhadap takdir yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Allah telah menetapkan ajal maut dan hal ini  terdapat dalam novel Juara. Pak Mat percaya bahawa setiap manusia mempunyai takdir yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. berikutan dengan peristiwa Pak Mat yang hampir-hampir kehilangan nyawa sebanyak dua kali iaitu pada kali pertama selepas perlawanan laga lembu yang berkemungkinan dia akan ditembak seperti Pak Lazim tetapi  Pak Mat telah pulang terlebih dahulu. Dia bersyukur bahawa dia masih hidup dan berpeluang untuk memelihara anak dan isterinya. Kali kedua pula semasa dia ditikam oleh lembunya sendiri ketika lembunya naik minyak.

Mamat memamah giginya sendiri. Dia mulai sedar. Ada usaha hendak membunuhnya. Tuhan yang menyelamatkannya. Tuhan masih melihat kebaikannya hendak memelihara anak isterinya. Kebaikan dia hendak menjadikan Jusuh anak yang berguna itulah memeliharanya. Dan, itulah dua kali dia terlepas daripada bahaya. Abang Lazim ditembak. Dia pulang awal. Aral menikamnya. Jali menyelamatkannya. Ya Tuhan! Mamat berseru dalam hatinya. Dia merasakan dirinya dalam kawalan Tuhan. Kawalan itu kerana doa anak-anaknya.
(Juara, 1976:6)
        
Walaupun ujian yang Allah s.w.t berikan kepada umatnya terasa berat untuk dihadapi oleh mereka. Walau bagaimanapun, setiap umatnya tetap jua menghadapinya dengan baik dan redha dengan apa-apa yang dikurnikan oleh Allah s.w.t. Sikap yang ditonjolkan oleh watak Pak Tam menggambarkan bahawa beliau percaya bahawa ujian yang diberikan kepadanya, beliau terima dengan hati yang terbuka. Sikap tersebut hendaklah diamalkan kepada semua masyarakat supaya tidak berlakuknya masalah emosi dan  kecelaruan minda. 

2.3  Nilai Budaya dan Pandangan Hidup

Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md Idris (2016), nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu budayyah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Budaya amat berkait rapat dengan kehidupan masyarakat kerana budaya dibentuk berdasarkan pegangan atau kepercayaan sesebuah masyarakat.

Nilai budaya ialah konsep-konsep umum yang telah disusun dan  mempengaruhi perbuatan yang berhubung dengan alam, kedudukan manusia dengan alam, hubungan sesama manusia dan sebagainya. Sistem nilai ini dijadikan panduan dalam melaksanakan sesuatu. Nilai budaya ini terhasil daripada amalan yang menjadi pegangan sesuatu kelompok masyarakat. Nilai budaya ini akan menjadi panduan dan rujukan dalam kehidupan masyarakat dalam hal-hal tertentu seperti tingkah laku yang berlandaskan budaya. Secara ringkasnya, nilai budaya merupakan nilai yang disepakati oleh masyarakat.

Pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Terdapat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam novel Juara karya S.Othman Kelantan.

2.3.1 Semangat Setia Kawan

Kawan merupakan antara individu yang boleh menjadi pemangkin semangat kita. Islam tidak menggalakkan manusia memutuskan silaturahim antara satu sama lain. Semangat setia kawan ditunjukkan dalam diri mamat terhadap kawannya Abang Lazim. Mamat tidak dapat menahan dirinya apabila melihat rakannya dibunuh di hadapan matanya sendiri. Mamat amat menghormati dan menyayangi rakannya. Oleh sebab itu, Pak Mat tidak dapat menahan rasa sedih dan sebak apabila melihat tubuh rakannya terbujur kaku di hadapannya dengan dua lubang menembusi kepala dan perut abang Lazim. Bukti dapat dilihat dengan jelas dalam contoh berikut.

Dia dipaksa bersabar dalam seluruh kehancuran dadanya. Dia tahu, tindakan segera tidak akan tidak akan menghasilkan apa-apa. Tapi hati manakah dapat melihat kawan mati di depan mata?Bentaknya.
        (Juara, 1976 : 1)

Pandangan hidup yang ingin diketengahkan melalui nilai budaya ini adalah mengenai kasih sayang yang wujud dalam persahabatan mampu menjadikan seseorang itu sentiasa bersedia untuk mempertahankan persahabatanya. Persahabatan yang baik secara tidak langsung dapat melahirkan kasih sayang yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

2.3.2 Tidak Mudah Berputus Asa

Nilai budaya ini dapat dilihat melalui watak Mamat dan Abang Lazim.  Walaupun bidang perjuangan mereka berbeza, namun mereka tidak mudah berputus asa. Perjuangan Pak Mat adalah untuk memenangi kemerdekaan bagi orang ramai. Manakala, Abang Lazim berjuang untuk orang-orang yang bertaruh dalam perjudiaan laga lembu. Selain itu,  Pak Mat berjuang habis-habisan dalam mencari Pak Isa yang telah membunuh Abang Lazim. Dia sanggup pergi ke Kelantan dalam usaha menjejaki Pak Isa bagi misi membalas dendam. Sebagai contoh:

Dia dan abang Lazim menerima nasib yang sama. Perjuangan yang sama.  Hanya berbeza lapangan. Abang Lazim berjuang untuk orang-orang yang bertaruh dalam perjudian  laga-lembu. Dia berjuang untuk memenangi kemerdekaan bagi orang-orang  yang anti dan separuh anti-kemerdekaan.
(Juara, 1976 : 6)

Jelas dapat dilihat dalam diri  Mamat dan Abang Lazim yang sentiasa berjuang dalam bidang lapangan mereka. Biarpun  terdapat pelbagai rintangan dan dugaan, mereka tidak mudah berputus asa. Sikap tidak mudah berputus asa akan menjadikan setiap manusia sentiasa berusaha dalam mencapai impian mereka. Pandangan hidup ini yang menjadikan mereka sentiasa dihormati. Kematian Abang Lazim diratapi dan dibela oleh rakan-rakannya serta keluarga.

2.3.3 Perjuangan dalam Diri

Nilai budaya ini ditonjolkan melalui watak  Mamat atau lebih dikenali sebagai Pak Mat.  Semangat perjuangan dalam diri Pak Mat dilihat apabila dia betul-betul berjuang untuk menuntut pembelaan atas kematian Abang Lazim. Pak Mat mencari Pak Isa hingga ke Kelantan. Walaupun dia gagal menemui Pak Isa di Kelantan, dia tetap meneruskan usaha sehingga ke Selatan Thailand pula. Pak Mat ingin menuntut bela atas kematian Abang Lazim yang dikatakan dibunuh oleh Pak Isa. Berikut merupakan contoh yang terdapat dalam novel.

Mamat kemudian kembali ke dalam dadanya. Ke dalam ingatannya. Dia sedang berjuang sekarang. Perjalanannya juga adalah perjalanan orang yang sedang berjuang. Tapi kepulangannya ke Kelantan bukanlah kepulangan pejuang kemerdekaan. Bukan. Dia dapat merasakan itu bukan. Bukan sama-sekali. Tapi dia pulang untuk mengesan musuhnya.
(Juara, 1976 : 19)

Pandangan hidup yang ingin diketengahkan melalui nilai ini  adalah semangat perjuangan dalam diri akan mendorong individu tersebut dalam mencapai hasrat yang diingini. Pak Mat berjuang berhabis-habisan untuk menuntut bela atas kematian Abang Lazim.

2.3.4 Berpandangan Jauh

Pengarang telah  menonjolkan watak seorang ayah yang berpandangan jauh dalam novel ini. Pak Mat telah menghantar anaknya ke sekolah Inggeris yang terletak di Pasir Mas kerana dia mahu anaknya mengubah nasib mereka sekeluarga. Jusuh dihantar tinggal bersama saudara Pak Mat di Kelantan. Anak-anak Pak Mat yang lain tidak mempunya pendidikan tinggi dan sama sepertinya. Pak Mat amat yakin bahawa Jusuh tidak akan mengikut jejaknya mengadu lembu kerana Jusuh pernah menyatakan bahawa perbuatan itu salah di sisi agama. Contoh dalam novel adalah seperti berikut.

Jusuh masih belajar di sebuah sekolah Inggeris di Pasir Mas. Dia mengharapkan anak laki-lakinya ini akan beroleh tempat tegaknya yang baik di Kelantan. Dia mengharapkan Jusuh akan tetap naik dengan pelajarannya.
(Juara, 1976 : 13)

Pandangan hidup yang ingin diketengahkan ialah ilmu pelajaran amat penting bagi seseorang individu. Selain itu, ilmu pelajaran juga mampu mengubah nasib keluarga serta membezakan antara baik dan buruk. Jusuh mampu membezakan antara perkara yang halal dan haram dalam agama kerana dia berpendidikan. Jusuh berikrar ingin belajar bersungguh-sungguh dan Pak Mat amat yakin dengan kebolehan Jusuh.

2.3.5 Tepati janji

Nilai budaya ini jelas dilihat melalui watak Pak Mat yang berjanji akan bersara sekiranya dia kalah dalam pilihan raya. Pak Mat telah berucap dalam satu majlis perpisahan parti yang dibuat khusus untuknya. Contoh dapat dilihat dalam petikan teks berikut.

Mamat masih ingat. Dia bersumpah dengan perjuangan politiknya. Kalau dia kalah pilihanraya (yang juga dihadiahkan kawasan yang sangat bahaya), dia akan berhenti politik.
(Juara, 13:1976)

            Selain itu, nilai ini juga dapat dilihat melalui watak Jusuh. Jusuh bersungguh-sungguh belajar kerana dia telah berjanji dengan ayahnya. Harapan Pak Mat untuk melihat Jusuh mencapai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Harapan itu juga yang membuatkan Jusuh bersemangat ingin belajar bersungguh-sungguh keran dia sedar usaha ayahnya untuk menempatkannya di Sekolah Inggeris itu. Contoh dalam novel adalah seperti berikut.

“Jusuh akan belajar bersungguh-sungguh, ayah.” Dia hamper-hampir meraung mendengar ikrar tidak sengaja anaknya yang bongsu itu. Tunggal laki-laki.
(Juara, 38:1976)

Menepati janji merupakan satu sifat yang melambangkan peribadi yang baik. Individu yang cemerlang merupakan individu yang menepati janji dalam membuat satu perjanjian. Sikap sentiasa menepati janji akan menjadikan sesuatu hubungan atau persahabatan akan bertambah kukuh. Jusuh dan Pak Mat telah membuktikan bahawa mereka amat menepati janji. Peribadi mereka yang baik telah menyebabkan orang di sekeliling mereka amat menyenangi mereka.

2.3.6 Kesetiaan

Nilai kesetiaan ini dapat dilihat dalam diri anak-anak muda yang tetap setia dengan Pak Mat walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan. Anak-anak muda tersebut ialah Jali, Mat San, Semail, Sani dan Salim. Mereka tetap bersama-sama dengan Pak Mat walaupun setelah kehilangan Abang Lazim. Mereka bersama-sama dengan Pak Mat dalam menuntut pembelaan atas kematian Abang Lazim. Pak Mat mengakui tentang kesetiaan mereka. Contoh dalam novel adalah seperti berikut.

Dia tiba-tiba teringat kepada anak-anak muda yang setia: Jali, Mat San dan Semail.
                                    (Juara, 1976 : 35)

Inilah puncanya. Inilah. Orang-orang yang setia seperti Jali, Mat San, Semail, malah Sani dan Salim adalah orang-orang yang gagal dalam pelajaran.
(Juara, 1976 : 40)

Kesetiaan merupakan nilai budaya yang amat mulia. Hubungan yang terbina akan menjadi lebih kukuh dengan adanya kesetiaan. Dasar utama kekalnya sesebuah hubungan itu adalah kesetiaan. Setia terhadap pemimpin. Setia terhadap persahabatan. Oleh itu, kesetiaan merupakan pandangan hidup yang mendasari sesebuah hubungan.

2.3.7 Akidah Islam

Terdapat nilai budaya Islam yang diketengahkan dalam novel juara. Budaya akidah Islam ini dapat dilihat melalui watak Mamat. Mamat telah menuliskan kalimah Allah pada mayat Abang Lazim sebelum dikapankan dengan sempurna. Selain itu, watak Lebai Syukur turut menunjukkan bahawa akidah Islam turut diterapkan dalam novel ini. Bukti tentang akidah Islam yang disandarkan dalam novel ini dapat dilihat dalam petikan teks di bawah:

Kemudian, Lebai Syukur memulakan zikir. Mamat ikut berzikir sungguh-sungguh. Dia mengharapkan pahala zikir dan bacaan ayat-ayat suci Al-Qurannya akan diterima Allah seratus persen untuk aruah Abang Lazim. Biarlah aruah sahabatnya akan bersenang lenang dalam kuburnya.
(Juara, 1976 : 4)

Kemudian tiga orang anak-anaknya mengucupi mayat itu seorang demi seorang. Mamat menuliskan kalimat Lailaha  illallah melintang dahi mayat abang Lazim dengan telunjuk kanannya dengan tulisan isyarat.
(Juara, 1976 : 5)

Akidah Islam sewajarnya diterapkan dan diamalkan oleh setiap umat Islam. Akidah ini mampu mengawal diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok. Umat Islam sewajarnya menitikberatkan tentang ilmu akidah dalam diri sendiri supaya kekal dalam landasan agama yang sebenar. Watak Pak Mat dilihat mula kembali kepada akidah Islam selepas kematian Abang Lazim. Dia seolah-olah tersedar tentang perbuatannya apabila mula berfikir tentang halal dan haram.

2.4  Estetika dan Kepengarangan

Nilai estetika dalam sesuatu karya yang digarap akan menimbulkan kesan yang baik dan indah kepada pembaca. Setiap karya sastera seperti novel, cerpen, puisi, sajak dan sebagainya lagi pasti diselitkan dengan nilai-nilai yang indah. Perkara ini bertujuan untuk menarik minat pembaca dalam menghayati sesuatu yang hendak disampaikan oleh penulis. Estetika pada dasarnya merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘aesthesis’ yang membawa maksud tanggapan. Umumnya, estetika adalah cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan. Khususnya, estetika sebenarnya merupakan bidang ilmu yang membahaskan keindahan, cara sesuatu seni itu terhasil dan penghayatan oleh pembaca.

Kita juga dapat melihat nilai estetika melalui penggunaan gaya bahasa. Gaya bahasa dalam karya memainkan peranan dalam menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Gaya bahasa juga mampu mempengaruhi dan merangsang pemikiran pembaca. Penggunaan gaya bahasa menjadi unsur estetika dalam karya kerana penulisan tersebut mempunyai gaya yang tersendiri. Lazimnya, gaya bahasa yang sering digunakan oleh penulis adalah seperti metafora, personifikasi, sinkof, simile, hiperbola dan banyak lagi.

2.4.1 Gaya Bahasa

        i.            Metafora

Metafora merupakan gaya bahasa kiasan atau perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan yang lazim terdapat dalam puisi. Sifat gaya bahasa metafora ini ringkas, padat, tersusun rapi dan kebiasaanya terdiri daripada dua patah perkatan. Terdapat beberapa jenis metafora iaitu metafora implisit, metafora rancu, dan metafora usang. Metafora implisit ialah pengucapan yang mengandungi unsur-unsur bandingan yang memang tersirat sifatnya. Metafora rancu pula ialah penggunaan atau percampuran dua atau lebih unsur metafora dalam sesuatu perkataan. Manakala metafora usang pula ialah kiasan yang tidak lagi mempunyai keaslian penyairnya.

Dia meniti di atas mayat itu dengan matanya yang dipenuhi air hening.
(Juara, 1976 : 2)

Malam sudah berlabuh. Di sana sini tentera malam menyerkup perkampungan       sekitar
(Juara, 1976 : 11)

Sudah bertahun-tahun Mamat tidak menjejakkan kakinya di tanah Kelantan, darah  nanahnya.
(Juara, 1976 : 17)

Dalam deretan fikirannya, dia melihat wajah Semail.
(Juara, 1976 : 36)

Dadanya diterkami segugus debaran yang berdetak serentak dengan penglihatan   matanya yang jatuh di situ.
(Juara, 1976 : 43)

Sebuah gunung kesangsian terbangun tegak dalam dada Jali.
(Juara, 1976 : 118)

Minah menjonggolkan kepalanya di bibir pintu.
(Juara, 1976 : 127)

      ii.            Personifikasi

Personifikasi ialah pemberian atau penyerapan sifat-sifat manusia kepada benda yang tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak untuk mendapatkan kesan sastera dan berseni. Personifikasi juga merupakan perlambangan atau pengemukaan benda yang tidak bernyawa sebagai mempunyai sifat-sifat manusia. Penggunaan personifikasi dalam karya dapat menggerakkan imaginasi pembaca. Berikut adalah contoh personifikasi yang terdapat dalam novel Juara.

Seluruh kehingar-bingaran yang menyodok-nyodok setiap sudut rumah, mencekik hatinya.
(Juara, 1976 : 2)

Seolah-olah seluruh kawasan diselubungi dan dicekik kesepian.
(Juara, 1976 : 2)

Segumpal kerisauan dan keheranan terbangun dalam dadanya.
(Juara, 1976 : 3)

Malam sudah berlabuh. Di sana sini tentera malam menyerkup perkampungan       sekitar.
(Juara, 1976 : 11)

Sebuah debaran terbangun dalam dada Jali.
(Juara, 1976 :17)

Dengan tiba-tiba, tiba-tiba, dada Mamat dihujani debaran.
(Juara, 1976 : 43)

Dikerahnya fikirannya untuk berbicara.
(Juara, 1976 : 45)

Perlahan-lahan, ya perlahan-lahan, seperti bulan yang berjalan, seperti mentari,    ingatannya kembali ke dalam kepalanya.
(Juara, 1976 : 46)

Ingatan itu perlahan-lahan berbaris dan berjalan masuk ke dalam kepalanya.
                        (Juara, 1976 : 47)

Hari masih pagi. Sinar mentari pagi kelihatan menyembul garang.
(Juara, 1976 : 51)

    iii.            Simile

Simile ialah gaya bahasa yang menunjukkan perbandingan secara langsung dengan sesuatu benda. Tujuannya adalah untuk menimbulkan kesan penegasan maksud atau menimbulkan keadaan berirama. Penggunaan simile ini mudah dikesan kerana gaya bahasa ini menggunakan kata bandingan iaitu seperti, bagai, umpama, laksana dan sebagainya. Dalam novel Juara, penggunaan simile dapat dilihat seperti berikut.

Tapi kaupun garang seperti Calet apabila berlawan.
(Juara, 1976 : 121)

Batang lehernya seperti perdu kelapa. Kuku kakinya membengkok mencengkam     tanah. Betis dan paha Calet penuh isi dan kelihatan berketul-ketul. Kulit dan       bulunya bersih dan berkilat-kilat menangkap cahaya. Badannya yang gempal agak    memanjang bulat padat penuh kegagahan. Pergerakannya pantas seperti seladang. Kalau tanduk Calet cakah seperti tanduk Aral, dia seratus peratus yakin, Calet tidak         akan kalah seumur hidup.
(Juara, 1976 : 63)

Perlahan-lahan, ya, perlahan-lahan, seperti menarik sesuatu yang sangat berat di dalam lumpur, dia cuba menarik kesanggupan fikirannya.
(Juara, 1976 : 45)

Lumat-lamit seperti debu.
(Juara, 1976 : 46)

Perlahan-lahan, ya perlahan-lahan, seperti bulan yang berjalan , seperti mentari, ingatannya kembali ke dalam kepalanya.
(Juara, 1976 : 46)

    iv.            Sinkof/sinkop

Sinkof merupakan gaya bahasa yang menggunakan singkatan kata. Dalam novel ini, banyak singkatan kata yang digunakan. Antaranya ialah kau, tak, tu, dan pelbagai lagi. Contoh yang terdapat dalam novel Juara adalah seperti berikut.

“Kalau kau sanggup membuat segala-galanya, mengapa aku tak berani?” Abang Lazim menegaskan.
(Juara, 1976 : 65)

“Tak habis-habis kau mengusik kakakmu.” Minah separuh mengomel.
(Juara, 1976 : 85)

“Sani usul. Budak tu diupah.”
(Juara, 1976 : 88)

“Kawannya tu bukan untuk mati bersama-sama Dolah,” sela Mat San. Dia tu        datang nak melihat perlagaan lembu saja.
(Juara, 1976 : 115)

Kau pembunuh. Tapi kau berhak membunuh musuhmu.
(Juara, 1976 : 120)

“Ngapa tangkap ayah kita? Orang lain kan ramai yang ada hari adu-lembu tu?     Tekan Faisah dengan berani.
(Juara, 1976 : 132)

      v.            Hiperbola

Gaya bahasa ini membawa maksud penyataan yang dibuat secara berlebih-lebihan dan melampau. Dengan kata lain, gaya bahasa ini melebih-lebihkan sesuatu perkara dengan maksud untuk memperhebat, meningkatkan kesan dan daya pengaruh dari segi ukuran, jumlah dan sifat-sifatnya. Berikut adalah contoh penggunaan hiperbola dalam novel Juara.

Walaupun sudah berkali-kali dia melihat darah dan badan berkecai oleh     pergaduhan-pergaduhan di kawasan ini.
(Juara, 1976 : 21)

Mamat merenung muka Jaafar. Muka itu hitam terbakar.
(Juara, 1976 : 23)

Dengan matanya yang separuh kabur dalam udara pagi yang meruap oleh tutupan kabus yang masih ada tetapi menipis, dia memerhatikan ke sekitar.
(Juara, 1976 : 43)

Dia merasakan semua tulang-tulangnya sudah hancur lebur.
(Juara, 1976 : 46)

Kulit dan bulunya bersih dan berkilat-kilat menangkap cahaya.
(Juara, 1976 : 63)

    vi.            Bahasa dialek

Dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial yang berbeza dengan bahasa standard. Dialek merupakan loghat khas bagi daerah itu. Umumnya, kebanyakan negeri di Malaysia ini mengamalkan dialek yang tersendiri. Melalui novel Juara, dapat dilihat penulis menggunakan dialek kelantan memandangkan cerita ini adalah berlatarbelakangkan Siam yang merupakan sempadan negeri tersebut.

“Demo dah makan ubat?” Suara Minah separuh berbisik ditelinganya.
(Juara, 1976 : 83)

“Biar ambo balik.” Kata Mat San.
(Juara, 1976 : 87)

“Aku tak lih kata gitu” jawab Mamat dengan perlahan.
(Juara, 1976 : 88)

“Ambo ke sana petang tadi jual getah. Kawan Dolah tu bukan orang Munduk. Dia orang sini juga,” Seli menjelaskan dan mendekati Jali.
(Juara, 1976 : 118)

Secara ringkasnya, unsur estetika dan seni bahasa yang terdapat dalam karya dapat menarik minat pembaca untuk menghayatinya. Penggunaan unsur-unsur estetika yang dimainkan dalam jalan cerita mampu menguji dan merangsang pemikiran pembaca. Keseluruhannya, novel Juara ini banyak digarapkan dengan unsur estetika oleh pengarang yang menjadikan kronologi penceritaannya lebih menarik.

2.4.2 Teknik Kepengarangan Novel Juara

Dalam menghasilkan sebuah karya yang bernilai, pengarang seharusnya menguasai tahap penulisan seperti pengalaman artistik yang mampu mempengaruhi kreativiti dalam mengarang. Pengalaman kebiasaanya lahir daripada pemerhatian, bayangan, pembacaan, dan pengaruh. Kepengarangan merupakan aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang iaitu kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Dalam menghasilkan karya yang unggul dalam mencipta keperibadian masing-masing, pengarang haruslah mempunyai prinsip keperibadian yang tersendiri.

Karya-karya penulisan S. Othman Kelantan banyak menunjukkan kemampuannya dalam meneroka pemikiran dan permasalahan dalam konteks pembangunan negara dan masyarakat serta pergolakan politik tanah air. Kepengarangannya adalah berdasarkan prinsip ‘bukan cerita yang diutamakan tetapi mesej yang dipentingkan.’ Berdasarkan prinsip ini, pengarang banyak menulis dengan menonjolkan ciri-ciri kritikan halus yang membina. Dalam novel Juara, pengarang mengemukakan kiasan dan ibarat dalam teks karyanya. Kiasan adalah hikmah atau pengajaran daripada kejadian yang digambarkan manakala ibarat pula akan diperoleh dalam bahagian akhir sesebuah cerita yang diterapkan. Kiasan muncul pada metafora atau perbandingan yang dipilih manakala ibarat pula adalah kesan pengajaran fungsi yang dipilih.

Dalam novel Juara, pengarang memaparkan perlawanan laga lembu yang juga dilihat sebagai perlambangan perjuangan dalam politik. Di sini menunjukkan pemikiran pengarang dalam menggarap jalan penceritaan yang lebih menarik di mana pengarang melambangkan perlawanan laga lembu sebagai simbolik kepada perjuangan politik yang diketengahkan. Sebagai mana dunia perlagaan lembu, pengikut yang bertaruh menjadi mangsa kepada juara lembu. Dapat dirumuskan bahawa perlakuan laga lembu adalah seperti perlakuan politik. Dua plot ini dijalinkan bersama iaitu memperjuangkan politik sebagai perintis kemerdekaan dan perlawanan laga lembu sebagai kegiatan masa lapang

Mamat yang sebelum ini merupakan salah seorang ahli politik yang telah kalah. Mamat merupakan watak utama dalam penceritaan ini. Dalam perlawanan laga lembu, Mamat secara psikologinya telah merasa menjadi juara semula apabila memperoleh kemenangan dalam perlawanan tersebut seolah-olah dapat menebus kekalahan dalam parti politiknya yang lalu. Contohnya dalam petikan di bawah.

Mamat tiba-tiba teringat kepada perjuangan politiknya. Gelanggang politik dengan gelanggang lembu tidak jauh bezanya dalam praktik. Lembu itu pun sama dengan politik. Sama-sama diperjudikan. Kalau lembu kalah orangnya pun kalah. Kalau politik kalah orangnya pun kalah. Politik itu lembu. Dan, lembu itu politik, fikir Mamat sebentar.
(Juara, 1976 : 101)

Pengarang turut menggunakan teknik imbas kembali. Pengarang jelas memaparkan Mamat dengan mengimbas kembali saat-saat perjuangan politiknya dalam pilihan raya dan kekalahannya sehingga menyebabkan dia bersara.

“Lawannya yang dianggap mentah dan tolol dalam perjuangan itu menjadi pahlawan atas kekalahannya.Dan, dengan ingatan yang kukuh dan azam yang kuat, dia mengingati akan sumpahnya – dia akan bersara daripada politik.”
“Dengan perasaan yang sangat terharu dan dukacita yang tidak terperikan dia pun bersara daripada politik!”
(Juara, 1976 : 85)

Selain itu, teknik imbas kembali juga dilihat apabila pengarang cuba mengetengahkan semangat persahabatan. Semangat ini dipaparkan oleh watak Abang Lazim dan Mamat yang merupakan sahabat karib yang tinggal berjiran. Berikut adalah contoh petikan daripada novel.

“Berbaringlah kau tenang-tenang, Lazim, di dalam kuburmu, dia berseru dalam hatinya. Dan, satu-satu detak jantungya berguguran jatuh ke dalam ingatannya selama hampir-hampir sepuluh tahun dia bersahabat dengan Abang Lazim di Selatan Siam ini.Alangkah serunya pengalaman.Alangkah!”
(Juara, 1976 : 6&7)

2.5  Nilai Ilmu dalam Novel Juara

Setiap karya mempunyai nilai ilmu yang tersendiri lebih-lebih bagi sesebuah karya yang telah diangkat menjadi karya agung. Hassan Ahmad (2000), menyatakan bahawa terdapat gambaran menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Gambaran ini diperoleh dalam tradisi orang Melayu yang ada kaitannya dengan pengalaman (praktik), abad dan budi. Ilmu yang berdasarkan pengalaman dan pemerhatian ini sebenarnya merupakan ilmu yang lebih penting berbanding dengan ilmu abstrak. Nilai ini digambarkan dalam sastera Melayu melalui istilah ‘pandai’ seperti pandai besi, pandai keris, pandai emas dan sebagainya. Petua orang tua-tua yang dianggap sudah diuji zaman atau pengalaman sangat dihormati dan dijadikan rujukan  ilmu sehingga kini juga penting untuk memelihara adat dan warisan bersama.

            Konsep nilai menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) adalah merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan tara, manakala ilmu pula dirujuk sebagai ilmu pengetahuan dalam dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ringkasnya, nilai ilmu ialah pengetahuan yang mempunyai nilai dan berguna kepada penerima maklumat atau pembaca teks tersebut. Berdasarkan novel Juara karya S. Othman Kelantan, terdapat beberapa nilai ilmu yang telah dikenal pasti khususnya ilmu yang berkaitan dengan masyarakat Melayu. Antara nilai ilmu yang terdapat dalam novel ini ialah ilmu politik, ilmu berlawan, ilmu mengenai lembu, ilmu keagamaan dan ilmu rumahtangga.

2.5.1 Ilmu Politik

Menurut Heywood (2004), politik ialah penggunaan kekuasaan atau kewenangan, suatu proses pembuatan keputusan secara kolektif, suatu alokasi sumberdaya yang langka (the allocation of scarce resources), atau sebagai arena pertarungan kepentingan yang penuh muslihat. Politik merupakan (pengetahuan) bukan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dll), ilmu siasah, dan ilmu kenegaraan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Berdasarkan novel Juara, pengarang menggambarkan watak Mamat sebagai seorang tokoh politik yang terlibat secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan tanah air. Setelah negara mencapai kemerdekaan, Mamat mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam pilihan raya dengan tujuan untuk terus kekal menjadi pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat. Namun begitu, perjuangannya dalam bidang politik terhenti setelah beliau gagal dalam pilihan raya tersebut. Contohnya dapat dilihat melalui petikan di bawah.

Mamat masih ingat. Dia bersumpah dengan perjuangan politiknya. Kalau dia kalah pilihanraya (yang juga dihadiahkan kawasan yang sangat bahaya), dia akan berhenti politik. Kemudian dia kalah. Dia pun bersara: setelah dua puluh tahun berjuang dalam politik.

Saya sudah sangat tua dalam perjuangan. Sebab itu saya lemah. Kerana lemah, tenaga saya tidak diperlukan lagi. Rakyat telah menolak saya. Perjuangan masih perlu. Tapi apa boleh buat. Rakyat sendiri menetukan kedudukan. Masing-masing kita haruslah mengucapkan selamat jalan kepada politik apabila rakyat membuktikan bahawa mereka tidak mahu!”
(Juara, 1976 : 13)

            Berdasarkan contoh petikan di atas, Mamat merupakan seorang ahli politik yang telah pun meletakkan jawatan setelah gagal dalam dua kali pilihan raya yang berlangsung di kawasan itu. Beliau menjadi tulang belakang kepada kemerdekaan Tanah Melayu sewaktu itu kerana khidmatnya telah mencecah dua puluh tahun. Perletakan jawatan yang dilakukan oleh Mamat adalah disebabkan oleh jiwanya yang merasakan bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh rakyat atau masyarakat setempat dan juga beberapa faktor lain seperti saingan hebat daripada parti lain. Dalam hal ini, jelas bahawa negara ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi kerana setiap rakyat mempunyai hak untuk memilih pemimpin. Mamat yang merasakan dirinya tidak diperlukan oleh masyarakat setempat akhirnya membawa diri ke sempadan Siam dan memilih untuk menjadi pelaga lembu.

            Tujuan Mamat terlibat dalam bidang politik turut dinyatakan oleh pengarang dalam novel ini. Beliau mengambil bahagian dalam politik atas dasar kesedaran yang inginkan kebebasan. Hal ini demikian kerana Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi dijajah oleh kuasa asing. Atas kesedaran ini, Mamat berjuang dalam bidang politik untuk membebaskan negara daripada penjajahan. Meskipun perjuangan beliau dalam bidang ini terhenti setelah kalah dalam pilihan raya, namun semangat beliau tidak pernah luntur kerana beliau sedar dalam perjuangannya ada kejayaan dan kegagalan. Keadaan ini dapat kita lihat dalam contoh petikan di bawah.

            “Tapi ayah masuk politik,” Faisah menyampuk.
            “Tentu, kata dengan tenang dan sungguh-sungguh
            “Belajar setakat itupun boleh masuk politik,” Jusuh seolah-olah kagum dengan ayahnya.
           “Bukan soal pelajaran Suh. Bukan.” Dia cuba menerangkan semudah mungkin. “Politik ialah              soal kesedaran mahu kebebasan. Mau kemerdekaan tanah air.”
(Juara, 1976: 37)

Contoh di atas merupakan perbualan antara Mamat dan anak-anaknya yakni Jusuh dan Faisah. Mamat memberitahu anak-anaknya bahawa meskipun tahap pelajarannya rendah tetapi beliau terlibat dalam politik kerana mahu memerdekakan tanah air. Dalam hal ini, pelajaran seseorang itu bukanlah ukuran untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air sebaliknya semangat dan kesedaran memperjuangkan kemerdekaan penting untuk dipupuk dalam diri.

2.5.2 Ilmu Keagamaan

Ilmu keagamaan ialah ilmu pengetahuan tentang ajaran agama. Ilmu ini sangat penting dalam mengatur dan merencanakan kehidupan seseorang manusia. Misalnya agama Islam memberi petunjuk cara manusia mengadakan hubungan antara manusia dengan manusia, manusia  dengan alam, dan manusia dengan Tuhan. Islam telah menggabungkan agama dan juga ilmu dan kedua-dua perkara ini sangat berkait. Tiada penentangan antara agama dan ilmu dalam Islam malah  agama itu sendiri dianggap sebagai ilmu, dan ilmu adalah agama. Ilmu dalam konteks agama Islam merangkumi pelbagai perkara termasuklah Al-Quran, Syariah, Sunnah Iman dan lain-lain. Penekanan terhadap ilmu jelas terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah. Berdasarkan novel Juara, ilmu keagamaan ini dapat dilihat semasa mengendalikan dan mengurus jenazah Abang Lazim yang telah dibunuh selepas memenangi acara laga lembu. Contohnya dalam petikan di bawah.

        Kemudian mayat itu dibasuh. Dimandikan. Orang di bawah berpusu-pusu. Mereka menumpangi kerusuhan keluarga yang kehilangan kepala itu.
      Mamat memerhati lagi mayat Abang Lazim. Kapas telah menenggelamkan semuanya. Dan saat akhir, isteri Abang Lazim menanamkan matanya habis-habis ke atas muka suaminya yang pejam pucat. Kemudian tiga orang anak-anaknya mengucupi mayat itu seorang demi seorang. Mamat menuliskan kalimat lailahaillallah melintang dahi mayat Abang Lazim dengan telunjuk kanannya dengan bahasa isyarat. Dia menggigit bibir bawahnya. Menyepetkan sedikit matanya. Dia sedih melihat keberangkatan sahabatnya secara trajik. Dan dia merasakan bahwa itulah saat yang teragung dalam hidupnya, selepas dia meninggalkan perjuangan politik sejak hampir sepuluh tahun yang lalu.
(Juara, 1976 : 5)

            Berdasarkan peristiwa di atas, pengarang novel ini turut memasukkan ilmu menguruskan jenazah dalam Islam. Mayat Abang Lazim dibasuh dan dimandikan sebelum dikebumikan. Dalam contoh ini, dinyatakan bahawa proses pertama adalah memandikan mayat tersebut, proses meletakkan kapas pada bahagian yang mempunyai lubang, proses mengecupi mayat buat kali terakhir, menuliskan kalimah pada dahi, mengusung mayat ke tempat pengebumian, dan proses membaringkan dan menimbus mayat secara perlahan-lahan. Hal ini sejajar dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Syariat Islam telah menentukan bahawa jenazah hendaklah dikebumikan iaitu selepas dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

2.5.3 Ilmu Mengenai Lembu

Perlawanan laga lembu dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya di Kelantan pada masa itu sangat terkenal. Oleh sebab itu, novel Juara banyak menceritakan hal mengenai lembu. Watak utama dalam novel ini mempunyai ilmu mengenai lembu. Beliau banyak menerima ilmu laga lembu daripada Abang Lazim. Kelebihan Mamat yang boleh menilai dan memilih lembu yang terbaik untuk perlawanan amatlah disegani oleh golongan yang gemarkan perlawanan laga lembu ini apatah lagi anak buahnya sendiri. Beliau dapat mengetahui sama ada lembu tersebut boleh dibawa masuk untuk bertanding ataupun tidak serta dapat menilai kekuatan yang ada pada lembu. Berbekalkan ilmu mengenai lembu ini menjadikannya juara dalam setiap pertandingan laga lembu. Contohnya dapat kita lihat dalam petikan di bawah:

“Tanda ini mudah tertipu”, kata Mamat lagi. “Kadang-kadang pusaran tanda kijang itu dibuat-buat sahaja. Waktu kita membeli senang tertipu. Pusaran boleh dibuat dengan pelepah pisang. Dikerat dan dipolet dua tiga kali. Pusaran kijang itu tidak akan hilang dalam sehari dua.”
            Sani diam saja. Jali juga diam. Salim juga. Mereka tidak begitu jelas tentang ilmu lembu. Memang mereka akui kepakaran Mamat dalam hal ini. Gemulah Abang Lazim sayangkan Mamat kerana ilmu lembu inilah. Fikir Jali.
 “Kalaupun Aral ini nak kalah, dia boleh menipu dengan berpusing dua kali. Lawannya akan keliru. Dia boleh menikam maut,” Mamat berkata sambil menggosok-gosok di bawah pusat lembu muda yang sasa itu.
(Juara, 1976 : 31-32)

Sesungguhnya, pengetahuan mengenai lembu ini merupakan suatu ilmu yang baik. Namun begitu, ilmu ini disalahgunakan bagi tujuan yang salah yakni dalam perlawanan laga lembu. Perbuatan melaga lembu boleh dianggap sebagai penganiayaan terhadap haiwan dan perbuatan ini tidak sepatutnya diamalkan. Tambahan pula, laga lembu ini biasanya diadakan untuk tujuan perjudian yang sememangnya haram di sisi agama.

2.5.4 Ilmu Pertahanan Diri

Ilmu pertahanan diri merupakan satu kaedah yang wujud bagi seseorang mempertahankan diri daripada serangan musuh. Ia merupakan kaedah berlawan secara tradisi sama ada dengan senjata atau tanpa menggunakan senjata. Ilmu pertahanan diri ini telah lama wujud sejak berkurun abad dahulu. Pada zaman dahulu, pertahanan diri menjadi satu amalan bagi setiap orang terutamanya kaum lelaki harus mempelajari dan mempunyai ilmu pertahanan diri. Pada mulanya ilmu mempertahankan diri berkembang di medan peperangan sahaja dan secara perlahan-lahan apabila peperangan telah berkurangan dan penggunaan senjata moden mula digunakan secara berleluasa maka ilmu bela diri mula berkembang dalam kalangan mereka yang bukannya anggota tentera tetapi merupakan orang awam.

            Berdasarkan novel ini, ilmu pertahanan diri dapat kita lihat dalam peristiwa Jali, Sani dan Mat San berlawan dengan Dolah. Mamat, Jali, Mat San, Sani serta konco-konco lain amat memusuhi Dolah kerana telah menembak Calet yakni lembu laga peliharaan Mamat dan memberi minum arak tuak kepada Aral. Pertemuan mereka dalam satu perlawanan laga lembu telah menyebabkan satu pergaduhan antara mereka. Dolah yang cuba menyerang terlebih dahulu berjaya dihalang oleh Jali dan akhirnya berlaku pertelingkahan yang menyebabkan Dolah mati. Dalam hal ini, pengarang menggarapkan ilmu pertahanan diri dalam watak Jali, Mat San dan Sani semasa berlawan dengan Dolah. Setiap pergerakan dan perlawanan tersebut dapat dilihat dalam contoh peristiwa berikut:

            Dolah menoleh cepat-cepat. Juga kawannya. Mereka agak heran dengan kemunculan Sani yang tiba-tiba itu. Dolah segera menyedari kehadiran Sani yang mendadak demikian. Dia cuba memasukkan tangannya ke dalam bajunya. Tapi dengan tiba-tiba muncul Jali. Jali terus saja melayangkan kelewangnya ke kepada Dolah. Kawannya cuba mengeluarkan senjatanya. Mat San segera menyambar tulang rusuknya. Kawan Dolah terkokol-kokol. Bila Mat San cuba membuat tikaman sekali lagi, kawan Dolah tidak membiarkan keadaan yang tidak seimbang itu terjadi. Dia terus berlari sepantas-pantasnya. Menyelinap di celah-celah pokok getah. Mat San cuba mengejarnya. Tapi dia segera mengerit.
(Juara, 1976 : 110-111)

2.5.5 Ilmu Rumahtangga

Sebuah pelayaran memerlukan seorang nakhoda dan pembantu nakhoda untuk memimpin pelayaran tersebut. Nakhoda perlu tahu destinasi yang ingin dituju supaya tidak terumbang-ambing di tengah lautan tanpa tujuan. Perlu ada persediaan ilmu pelayaran, supaya pelayaran berjalan lancar. Hal ini sama dengan kehidupan berumahtangga yakni perlu ada ilmu rumahtangga dalam menjalani kehidupan bersama pasangan. Perkara yang paling penting dalam menjamin hubungan sesebuah perkahwinan agar terus kekal ialah suami dan isteri perlu tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.

            Tanggungjawab suami dan isteri dalam sebuah keluarga termasuklah menjaga anak, menyedia dan mengurus segala keperluan rumahtanga, mendidik anak-anak dengan memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan menyelanggara hal rumahtangga seperti memasak, menjahit, mengemas rumah dan sebagaianya. Berpegang pada prinsip urusan rumahtangga adalah tanggungjawab suami isteri secara bersama merupakan prinsip yang terbaik. Berdasarkan novel yang dikaji pula, ilmu ini turut dipersembahkan oleh pengarang dalam rumahtangga Mamat dan Minah. Keluarga Mamat digambarkan sebagai watak yang cukup harmoni dan saling menghormati. Mamat mempunyai seorang isteri iaitu Minah dan tiga orang anak perempuan serta seorang anak lelaki bernama Jusuh. Kehidupan keluarga ini aman dan damai walaupun Mamat telah kalah dalam pilihanraya dan ikut sama-sama melarikan diri ke Siam. 

       “Kemerdekaan itu seperti juga kita berumahtangga,” katanya dengan senyum. Menenggelamkan matanya ke dalam wajah isterinya yang berbedak tipis. Menyambung. “Sesuatunya mesti kita cari sendiri. Kalau tidak, anak-anak yang akan dilahirkan tidak sempurna. Persediaannya tidak ada. Rumah itu tidak selesa.”
      Minah membungkam juga. Minah lebih suka mendengar daripada berkata-kata. Inilah kelebihan Minah, fikirnya. Minah tidak banyak cakap. Minah cepat bertindak dan setia dalam hidup. Minah sebenarnya adalah perempuan sejati. Kesetiaannya kepada suami dan anak-anak tidak terhingga. Kalau dia menangis, tangisannya kerana memikirkan hal-hal anak-anaknya. Kalau Minah gembira, kegembiraannya kerana anak-anaknya juga. Seratus persen Minah dilahirkan untuk suami dan anak-anaknya.
(Juara, 1976 : 56)

Berdasarkan contoh petikan di atas, Mamat sememangnya seorang ketua keluarga yang tahu tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anaknya. Beliau dengan cara berhemah memberitahu isterinya bahawa dalam sebuah rumahtangga perlu persediaan dan menyediakan rumah yang selesa. Minah pula sangat menghormati suaminya serta keperluan suami dan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Dalam hal ini, Minah ialah seorang isteri yang sangat taat terhadap suaminya. Beliau sebagai isteri, setia menuruti segala kehendak suaminya kerana tanpa ketaatan seorang isteri, kehidupan berumahtangga pasti akan menjadi porak peranda. Dengan demikian, jelaslah bahawa kehidupan berumahtangga yang dipaparkan dalam keluarga Mamat dapat dikekalkan dengan harmoni dan penuh kasih sayang kerana ilmu rumahtangga yang dimiliki oleh kedua-dua watak dalam novel ini.

3.0  KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, novel Juara karya S. Othman Kelantan merupakan anologi kepada isu politik di negeri Kelantan. Beliau telah mengaitkan perlawanan laga lembu dan dunia politik merupakan salah satu permainan dalam dunia yang melibatkan kemenangan, kekalahan dan perjudian bagi mendapatkan nama, pangkat dan gelaran. Dalam karya ini juga menyelitkan kehidupan dunia politik yang sanggup membunuh demi mendapatkan apa-apa yang dihajati. Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa politik yang ingin dibawa oleh penulis adalah politik yang penuh dengan kekotoran dan kekekajaman semata-mata.

            Selain itu, melalui novel ini juga pelbagai mesej yang boleh membantu masyarakat bagi menerapkan nilai murni dalam diri pembaca. Oleh itu, S. Othman Kelantan memberi sumbangan yang besar dalam bidang penulisan novel tanah air. Karya-karya yang dihasilkan amat bermutu tinggi termasuklah novel Juara. Dengan menyelitkan unsur-unsur patriotisme dan latar belakang negeri Kelantan dapat dijadikan tatapan kepada para pembaca.


BIBLIOGRAFI

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


S. Othman Kelantan (1997). Pemikiran Satira dalam Novel Melayu. Kuala Lumpur: Dewan                             Bahasa dan Pustaka.


S. Othman Kelantan (2005). Juara. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


S.Othman Kelantan (1976). Juara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris (2016). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.