1.0 PENGENALAN
Menurut Seri Lanang Hj. Rohani
et al. (2016), karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya,
pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama
sesuatu bangsa. Berdasarkan konsep ini, karya ulung ialah karya yang berjaya
meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal
dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang
sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya
hadir dalam karya seperti itu (Mohd Rashid Hj. Md Idris et al. ,2014). Oleh hal
yang demikian, karya agung Melayu dapat dianggap sebagai sebuah karya ulung
keranan ciri-ciri yang ada dalam karya tersebut membentuk budaya dan tamadun
sesuatu bangsa yang kekal sepanjang zaman.
Juara (1976) adalah salah satu daripada novel yang telah
dihasilkan oleh S. Othman Kelantan. Menurut Sumarjo (2010), novel boleh
ditakrifkan sebagai produk masyarakat. Hal ini demikian kerana novel dibentuk
oleh anggota masyarakat berdasarkan desakan-desakan emosi atau rasional dalam
masyarakat.Manakala dalam istilah novel berasal daripada perkataan novella
iaitu daripada bahasa Itali yang membawa maksud ‘perkhabaran baru’. Novel dalam
konteks ini dimaksudkan sebagai kisah rekaan atau fiksyen yang panjang berbanding
cerpen yang merupakan kategori cerita rekaan yang bersifat prosa.Perkara atau
pokok utama dalam menghasilkan karya ialah keupayaan penulis mengungkapkan isi
atau persoalan mengenai tema yang ingin dicorakkan.
Dalam novel Juara karya S,Othman Kelantan ini, penelitian
akan dibuat dan dinilai berdasarkan aspek-aspek
pemikiran, estetika dan kepengarangan karya agung, nilai budaya dan
pandangan hidup, nilai ilmu serta falsafah dalam karya agung bagi membuktikan
bahawa karya ini mempunyai nilai dan manfaat untuk dijadikan pengajaran dalam
kehidupan masyarakat sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, sesebuah karya
tidak hanya dilihat dari aspek tersebut kerana setiap karya yang dihasilkan
terdiri daripada latar, pemikiran dan budaya berbeza.
1.1 Sinopsis Novel Juara
Novel Juara (1976) adalah
sebuah karya S. Othman Kelantan yang merupakan kisah tentang seorang lelaki
bernama Mamat dan anak-anak buahnya iaitu Mat San, Seli, Jal, dan Salim. Rakan
seperjuangannya iaitu Abang Lazim, ayah kepada Sani dan Salim telah mati kerana
dibunuh dan ditembak selepas menjuarai satu pertandingan laga lembu. Abang
Lazim telah dibunuh oleh Pak Isa, Dollah Munduk dan beberapa konconya yang lain
disebabkan oleh hasad dengki dan cemburu akan kehebatan lembu Abang Lazim yang
diberi nama sebagai Calet. Mereka sangat tidak berpuas hati dengan Calet kerana
lembu mereka iaitu Langsat dikalahkan olehnya.
Novel
ini berlatarbelakangkan negeri Siam bersempadan dengan negeri Kelantan. Mamat
merupakan seorang ahli politik dan dia telah pun meletakkan jawatannya kerana
telah gagal sebanyak dua kali dalam pilihan raya yang berlangsung di kawasan
itu. Mamat juga merupakan tulang belakang kemerdekaan Tanah Melayu pada ketika
itu. Namun begitu, Mamat tetap meletakkan jawatannya kerana jiwanya merasakan
bahawa khidmatnya tidak diperlukan lagi oleh masyarakat setempat di situ dan
terdapat juga faktor-faktor lain seperti saingan hebat daripada parti lain
mendorong dirinya untuk melakukan perkara itu.
Berdasarkan
penyataan itu, terdapat suatu persamaan antara kehidupan Mamat dengan
perjuangannya dalam bidang politik. Mamat juga sering melibatkan diri dalam
pertandingan laga lembu dan dia juga sering memenangi pertandingan tersebut.
Mamat menganggap kalah dan menang itu adalah adat pertandingan dan menjadi
lumrah kehidupan sama seperti dirinya ketika melibatkan diri dalam pilihan
raya. Pertandingan laga lembu merupakan aktiviti yang melibatkan sejumlah wang
yang sebagai taruhan. Pertandingan ini boleh dikatakan sebagai judi kerana
pemilik lembu yang menang dalam perlawanan akan memperoleh wang pertaruhan.
Mamat
melibatkan diri dengan perlawanan laga lembu ini setelah dia sering kali kalah
dalam pilihan raya di Kelantan. Ketika itu, Mamat banyak menerima laga lembu
daripada Abang Lazim. Mamat membuat keputusan untuk berpindah ke Siam untuk
memberi lebih fokus dalam perlawanan laga lembu tersebut. Kelebihan Mamat iaitu
boleh menilai dan memilih lembu yang terbaik untuk menyertai perlawanan itu
amatlah disegani oleh mereka yang menggemari pertandingan laga lembu. Setelah
kematian Calet akibat dibunuh oleh Pak Isa dan konco-konconya, Mamat telah
melatih seekor lembu muda yang diberi nama Aral. Aral telah dilatih dengan baik
sehingga lembu itu sering memenangi dan menjadi juara dalam setiap pertandingan
laga lembu. Tetapi, kematian Dollah Munduk telah menyebabkan Mamat disoal
siasat dan perkara tersebut telah menyebabkan pencarian terhadap Pak Isa yang
telah membunuh Abang Lazim setahun yang lalu terbantut.
Kemudian,
setahun selepas Mamat disoal siasat berkaitan dengan kematian Dollah Munduk,
lembunya si Aral telah menjadi semakin terkenal. Aral pernah berlawan dengan
seekor lembu dari Pulau Lonel. Sebenarnya, lembu itu merupakan lembu milik Pak
Isa yang dicari-cari oleh Mamat selama ini. Tnaduk lembu tersebut disalut
dengan besi supaya menjadi lebih tajam. Tujuannya adalah untuk membunuh Aral.
Sewaktu pertandingan berlangsung, kelihatan perlawanan yang berlaku adalah
sebuah pertarungan yang hebat kerana bukan sahaja lembu-lembu yang berentap di
ruang laga lembu, malah juga melibatkan perlawanan antara Mamat dengan Pak Isa.
Mereka saling berdendam dimana Pak Isa ingin membalas dendam atas kekalahannya
manakala Mamat pula ingin menuntut bela atas kematian Abang Lazim yang dibunuh
oleh Pak Isa. Akhirnya, Pak Isa mati dek kerana ditembak olah Mamat dihadapan
penyokong perlawanan lembu tersebut ketika itu.
2.0 CIRI-CIRI NOVEL JUARA
Sesebuah karya kesusasteraan
diangkat sebagai karya agung adalah berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya
berkenaan. Berdasarkan Novel Juara, beberapa ciri-ciri khusus yang ada pada
karya tersebut telah dikaji, meliputi aspek pemikiran, falsafah, nilai budaya
dan pandangan hidup, estetika dan seni kepengarangan dan nilai ilmu.
2.1 Pemikiran dalam Novel Juara
S. Othman Kelantan (1997)
mendefinisikan pemikiran sebagai idea yang wujud daripada golongan intelektual
yang menggunakan fakulti kritikal dalam mindanya untuk memikirkan sesuatu
masalah dalam masyarakatnya.Pemikiran itu disebarkan di dalam lingkungan
masyarakatnya atau keluar daripada masyarakatnya.Mungkin oleh sebab memikirkan
ancaman yang muncul pada zamannya, golongan intelektual ini merakamkan
ketidaksenangan dan kegelisahannya dalam bentuk novel. Pemikiran yang
tersembunyi dalam novel ini dikaji untuk melihat keupayaan dan keunggulan
pengarang Melayu meluahkan perasaan mereka yang beragam dan komplek
itu.Justeru, pemikiran dalam novel juga dapat dilihat melalui watak-watak yang
beraneka ragam.
Kemampuan dan keluasan berfikir tidak akan menjadikan
seseorang itu stereotaip dalam tindakan dan amalannya. Konsep pemikiran pernah
dijelaskan oleh Zainal Kling (1993) sebagai kegiatan untuk membentuk sesuatu
sistem tanggapan yang akan menjadi rangka berfikir yang wajar bagi semua
anggota masyarakat. Menurut Asmah Haji Omar (1986) pula, beliau memberikan
pendapat seperti yang terdapat dalam petikan dibawah.
“Adapun definisi yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi
untuk pemikiran, untuk tujuan kajian, kita
akan mentafsirkannya sebagai kegiatan-kegiatan yang berlaku dalam otak
kita apabila menghadapi sesuatu keadaan, perbuatan, dan sebagainya. Hasil
daripada pemikiran itu adalah fikiran.”
Novel
Juara karya S. Othman Kelantan menjadi tumpuan ramai pembaca. Kemunculan novel
ini sememangnya telah mengangkat namanya dalam dunia kesusasteraan. Dalam novel
ini jelas memperlihatkan pemikiran mengenai politik, perjuangan orang Melayu,
sikap pemimpin Melayu, budaya melaga lembu dan juga nilai kasih sayang yang
diterapkan dalam institusi kekeluargaan. Pemikiran itu tertera dengan jelas
dalam novel Juara ini sekaligus novel ini menjadi refleksi politik Melayu pada
masa itu. Hal ini berikutan dengan situasi yang berlaku pada masa itu iaitu
terdapatnya pergolakkan politik di negara ini.
2.1.1 Perjuangan Melayu
Perjuangan yang dimaksudkan
adalah bagaimana usaha-usaha yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin dalam novel
Juara ini untuk sama-sama berdemokrasi bagi membantu kemerdekaan orang Melayu.
Kelantangan Mahamud Larin, Yahya Hasan dan Mamat menyuarakan hak sebagai rakyat
asal tanah Melayu kepada kerajaan British. Ini menyebabkan mereka menjadi
perhatian masyarakat untuk membantu menyuarakan hak mereka serta rakyat
menyokong mereka dengan sepenuh hati. Peristiwa di dalam novel ini seolah-olah
menggambarkan kembali peristiwa pengenalan demokrasi di tanah Melayu semasa
pasca merdeka dan bagaimana masyarakat Melayu bertungkus-lumus untuk
mengembalikan hak mereka di tanah Melayu. Pemikiran ini dapat dilihat menerusi
petikan dalam novel.
Kemudian
apa yang diperjuangkan itu mendapat kejayaan yang cemerlang. Pilihanraya
pertama diadakan. Ini sebagai batu uji untuk melihat hasrat rakyat mahu
merdeka. …walaupun kejayaan itu merupakan kejayaan yang separuh kerana
wakil-wakil rakyat masih ada yang dilantik, akan tetapi usahanya untuk
mendapatkan kemerdekaan telah menjalar dan berakar…
(Juara,
1976:55)
Watak Mamat yang diperkenalkan oleh S Othman Kelantan
berperanan menjadi pemimpin utama dalam Parti Persatuan Melayu. Sebagai
pemimpin Parti Persatuan Melayu yang sederhana dalam segala tindak tanduknya,
Mamat amat tegas dalam mencapai matlamatnya. Dia pernah memimpin perarakan
untuk menuntut pilihan raya daripada pemerintah Inggeris. Bagi Mamat, ‘harga
manusia ialah kemerdekaan’ serta ‘bangsa Melayu sendiri memerintah negeri’. Dari
aspek kepimpinan, Mamat merupakan tokoh pemimpin yang ideal pada mata
masyarakat. Jiwanya kaya dengan semangat bangsa dan nasionalisme. Daripada
sekian lama perjuangannya dan penglibatan dalam politik, Mamat memang boleh
dianggap sebagai nasionalis
serta harapan bangsa
yang membantu kemerdekaan. Semangat juang tinggi dan untuk
mencapai hala tujunya, dia sanggup berkorban jiwa dan raga. Namun kegagalan
demi kegagalan menyebabkan Mamat berputus asa dan mula mengundur diri dalam
politik. Lebih-lebih lagi isu kemerdekaan telah dilupakan memandangkan pembentukan
sistem baru iaitu demokrasi diperkenalkan.
2.1.2 Perbandingan Politik dan Laga Lembu
Persoalan politik sempadan
orang-orang Melayu dalam novel Juara menjadi sesuatu yang tersirat. Walaupun
hakikat ini dinyatakan secara sepintas lalu, tetapi ia mempunyai makna yang
cukup besar bagi dunia masyarakat Melayu. Dalam novel Juara ini, Mamat
digambarkan kalah dalam pilihan raya dan seterusnya membawa diri ke Kelantan.
Dia memilih daerah Bangnara bagi memulakan kehidupan untuk melupakan perjuangan
politiknya semasa di Kelantan. Di situ Mamat bersahabat dengan Abang Lazim yang
sama-sama berjuang dengan prinsip masing-masing.
Namun semasa berada di perantauan, semangat politik itu
rupa-rupanya tidak pernah luntur dalam diri Mamat. Mamat terus dengan idealismenya,
yang kadang kala kedengaran sangat sempurna dan tiada cacat celanya. Bertitik
tolak dari fahaman watak Mamat ini, S. Othman Kelantan cuba untuk menyelak sisi
hodoh politik dalam masyarakat. Beliau cuba menilai senario politik dan sikap
sesetengah pemimpin pasca merdeka yang baginya berjuang tidak lagi atas
landasan suci dan kukuh untuk kepentingan bangsa, agama, dan negara tetapi
lebih kepada kepentingan diri (Hizari Othman, 2000). Menerusi watak Mamat,
banyak aspek politik yang didebatkan. Kegagalannya sebagai bekas ahli politik
di Kelantan, kemudian membawa diri ke Bangnara dan di situ beliau menunjukkan
gelojak rasa yang dahsyat untuk menjadi yang teratas. Rasa mahu berkuasa itu
sangat kuat hingga menjadikan beliau seakan kabur akan tanggungjawab sebenarnya
sebagai suami, sebagai bapa dan sebagai seorang Islam. Mamat misalnya meminta
isterinya memastikan Aral mendapat makanan yang elok, tetapi keluarganya pula
terpaksa mencatu makanan dan minuman. Hal ini memaparkan kecelaan pada watak
Mamat yang sepatutnya menjadi pemimpin atau ketua kepada orang bawahannya.
Pengarang memasukkan pemikirannya dalam novel ini dengan
menunjukkan kepada pembaca bahawa melaga lembu dan mengumpul pengikut untuk
memperbanyakkan taruhan dengan pilihanraya, menabur janji dan kemudian senyap
setelah menang tidak mempunyai perbezaan. Inilah pemikiran mendalam pengarang
yang harus difahami oleh seseorang pembaca. Kedua-duanya mencari kemenangan,
kepuasan sementara yang palsu, yang sering pula diatasi oleh serakahnya nafsu.
Kalah menang, tawa sendu dalam “mencari diri” di gelanggang laga lembu juga
tidak banyak berbeza dengan kalah menang dan tawa sendu mereka yang berjuang di
atas platform politik moden dengan lesen demokrasi. Dalam juara, laga lembu
ialah politik, politik ialah lembu, sebagaimana yang ditegaskan oleh
novelisnya. Contohnya dalam petikan di bawah.
“gelanggang politk dengan
gelanggang lembu itu tidak jauh bezanya dengan praktik. Lembu itu pun sama
dengan politik, sama-sama diperjudikan. Kalau lembu itu kalah, orangnya pun
kalah.Kalau politk kalah, orangnya pun kalah.Politik itu lembu.Dan lembu itu
politik!”
(Juara, 1976:74)
Unsur
ini menyebabkan juara seolah-olah mempunyai dua plot yang selari iaitu kisah
Mamat seorang pejuang politik yang tewas dan kisah laga lembu yang menjadi
budaya masa lapang masyarakat sekatan siam. Pengarang menyiratkan makna
pemikiran yang mendalam tentang hakikat politik melayu yang hodoh di sebalik
metafora laga lambu tersebut. Namun, dalam masa yang sama pengarang turut
ghairah menghantar tema utama ini secara langsung menerusi contoh petikan
diatas. Sekiranya ayat-ayat seperti “politik itu lembu dan lembu itu politik”
itu tidak diberitahu atau diulang, pembaca sastera yang kritis masih dapat
menyaring pemikiran beliau. Fenomena laga lembu dan latar belakang Mamat
sebagai ahli politik yang kalah dan merajuk ke tempat orang dan menemui dirinya
semula di gelanggang yang lain adalah analogi yang sedia jelas dan tidak perlu
diberitahu secara langsung lagi.
2.1.3 Sikap Pemimpin yang Tidak
Menjadikan Dirinya Sebagai Role Model
Dalam novel ini juga, pengarang
cuba menyampaikan pemikirannya mengenai sikap pemimpin setempat pada masa itu.
Ketiadaan ilmu menjadikan masyarakat Bangnara hidup terpinggir dalam kelompok
kecil. Inilah juga masalah masyarakat Melayu apabila pemimpin sendiri tidak
menjadikan dirinya sebagai role model, menunjukkan teladan yang baik supaya
pengikut dapat berubah menjadi manusia yang lebih baik. Sebagai contoh, Mamat
yang sepatutnya menjadi ketua keluarga yang memberikan contoh keperibadiaan dan
akhlak yang baik kepada keluarganya tidak terjadi dalam novel ini. Walau
bagaimanapun, Mamat bukanlah seorang yang buta keseluruhan mengenai situasi
yang membelit dirinya itu. Dia meletakkan harapan pada Jusuh. Anak lelaki
bongsunya ini dihantar belajar ke sekolah agama di Kelantan. Secara sedar atau
tidak, tindakan menghantar anaknya belajar di tempat yang membuang dirinya
dahulu itu, barangkali merupakan refleksi bahawa jauh di lubuk hatinya,
Kelantan masih segar dalam diri Mamat. Tanah asal masih menjadi pilihan walaupun
hujan batu di situ. Hal ini ditegaskan menerusi prinsip mamat seperti di bawah.
“Jusuh adalah diri dia
sendiri.Kegagalan dia memberi pelajaran, ertinya kegagalan jusuh untuk menjadi
manusia. Kegagalan dia menanam otak ke dalam anak laki-lakinya yang seorang
ini, akan hilang semua keturunan yang selamanya dikenal sebagai pejuang.
Sekalipun perjuangannya tidak pernah dikenang walau seurat benang pun.”
(Juara, 1976:39)
2.1.4 Laga Lembu Sebagai Budaya
Hidup
Kegiatan laga lembu dianggap
sebagai sebuah kegiatan judi. Laga lembu merupakan satu pertandingan lawan
antara dua ekor lembu dalam bong iaitu tempat lembu dilagakan. Lembu yang dapat
mengalahkan lawan iaitu membunuh lawan atau dapat bertahan lebih lama
berbanding lawan akan dikira sebagai pemenang. Dalam perlawanan ini, terdapat
sejumlah wang yang dipertaruhkan oleh peserta. Novel Juara membawa pembaca
untuk menyelusuri kehidupan masyarakat di Bangnara, Thailand. Di sini, budaya
melaga lembu masih diamalkan. Bahkan, tiada undang-undang yang menegah
perbuatan tersebut. Malahan, aktiviti melaga lembu ini boleh mendatangkan
pendapatan yang lumayan kepada pemilik lembu laga yang menang.
Dalam novel ini telah diceritakan
bahawa watak Abang Lazim orang yang begitu handal dalam soal laga lembu. Begitu
juga Mamat. Ketika Calet iaitu lembu kepada Abang Lazim dipertandingkan, Mamat
telah menjadi juara. Calet akan dilagakan dengan lembu Pak Isa yang bernama
Langsat. Dalam pertandingan ini, mamat telah menggunakan tipu helah bagi
memenangkan Calet. Akhirnya, dengan wang pertaruhan sebanyak 200 ribu bath,
Langsat telah berjaya dikalahkan. Perkara ini telah membuatkan Pak Isa dan
konco-konconya termasuk Dolah Munduk tidak berpuas hati dan akhirnya telah
menembak Abang Lazim dan Calet. Peristiwa ini dapat dilihat menerusi petikan di
bawah.
Pagi ini Calet akan diadukan !
Malam semalam keputusan akhir telah dicapai. Pertaruhan ini paling besar dalam
sejarah pertarungan lembu. Pak Isa telah menetapkan dua-ratus ribu bhat. Abang
Lazim menyanggupinya. Ada dua-puluh orang-dalam… “Pakcik Lazim ditembak!’’ Dia
seperti terpukau mendengar itu, tidak percaya sama sekali..
(Juara, 1976:67-80)
Namun
begitu, minat Mamat terhadap laga lembu tidak terhenti di situ. Mamat dan
konco-konconya iaitu Jali, Sani, Semail dan Mat San masih memiliki lembu yang
masih muda yang dinamakan Aral. Aral adalah lembu pemberian Dolah Munduk.
Walaupun Mamat pernah dicederakan oleh Aral atas perbuatan kianat Dolah Munduk,
dia masih gigih untuk melatih aral serta yakin bahawa Aral akan menjadi seekor
Calet yang baharu. Akhirnya, suatu hari Aral telah di bawa ke Bandar Bangnara
untuk dilagakan buat kali pertama. Dalam perlawanan itu Aral telah dilagakan
dengan lembu yang bernama Nibung. Tanduk Aral telah menujah-nujah leher Nibung
sehinggakan lembu itu rebah dan Aral telah dinobatkan sebagai pemenang.
2.1.5 Kasih Sayang terhadap
Keluarga
Walaupun novel Juara membawa
nilai-nilai yang lebih bersifat agresif, S. Othman Kelantan tetap memasukkan
nilai kasih sayang dalam novelnya. Kasih sayang terhadap keluarga begitu
dititikberatkan oleh pengarang. Lalu beliau, membangunkan watak-watak dan
babak-babak yang mampu membuatkan pembaca berfikir tentang indahnya mempunyai
sebuah keluarga yang saling menyayangi dan mempercayai.
Watak-watak dalam keluarga Mamat,
digambarkan sebagai watak-watak yang cukup penyayang. Mamat mempunyai seorang
isteri iaitu Minah dan tiga orang anak perempuan serta seorang anak lelaki
bernama Jusuh. Kehidupan keluarga ini aman dan damai. Buktinya, mereka masih
setia walaupun Mamat telah kalah dalam pilihanraya dan ikut sama-sama melarikan
diri ke Siam. Selain itu, kasih sayang mereka juga dipamerkan ketika Mamat
menghadapi musibah. Sebagai contoh, Mamat telah cedera parah setelah ditanduk
oleh Arah. Namun mereka tetap setia merawat Mamat. Contoh petikan yang dapat dilihat tentang kasih
sayang isterinya adalah seperti berikut.
Demo dah makan ubat” suara
Minah separuh berbisik ke telinganya. Dia menggeleng sedikit. Minah mengambil
ubat butir di dalam bekas nescafe. Mencurahkannya dalam tapak tangan.
Membawanya ke mulut mamat.
(Juara, 1976 : 111)
Nilai kasih sayang yang
digambarkan dalam novel ini banyak mempengaruhi emosi pembaca. Kehidupan
keluarga yang bahagia mencerminkan bahawa penulis masih cuba membawa pembaca
untuk menilai sejauh mana nilai kasih sayang mampu membentuk manusia dalam
nilaian yang berbeza.
2.2 Falsafah dalam Novel Juara
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), falsafah ialah pengetahuan mengenai
pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada
ilmu-ilmu lain. Falsafah atau Philosophia telah digunakan oleh Pythagoras.
Philo dan Sophia membawa maksud cinta akan kebijaksanaan. Menurut Plato pula,
Philosophia bermaksud ilmu. Menurut Seri Lanang et.al (2016), falsafah boleh
didefinisikan sebagai cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah mempunyai
beberapa ciri seperti pemikiran yang tinggi dan bertujuan bagi mendapatkan
kebenaran dalam sesebuah karya sama ada karya klasik atau karya moden. Oleh
itu, falsafah boleh merujuk kepada suatu kesenian berfikir secara waras,
bernas, mendalam dan mempunyai unsur estetik dan artistik. Falsafah dari segi penulisan karya agung merujuk kepada pemikiran
atau pandangan hidup yang diketengahkan oleh pengkarya yang boleh menarik minat
khalayak bagi meneruskan pembacaan.
Dalam sesebuah karya, falsafah
menjadi penuturan dan huraian yang tersusun oleh pengkarya dalam karyanya.
Persoalan mengenai falsafah perlu dalam sesebuah karya kerana dengan cara
tersebut dapat dirungkakan bahawa kebenaran disebalik persoalan tersebut.
Menurut Seri Lanang et.al (2016), bidang falsafah mempunyai beberapa aspek
iaitu etika, metafizka, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan
logik. Bidang tersebut akan dianalisis dalam karya moden Juara bagi mendapatkan
kebenaran bahawa falsafah-falsafah tersebut terkandung dalam karya tersebut.
2.2.1 Falsafah Politik
Falsafah
politik merupakan falsafah yang menjurus kepada aplikasi dan tujuan sistem
pemerintahan yang diutarakan oleh Seri Lanang et. al (2016). Dalam novel ini
aspek falsafah politik merupakan aspek yang paling banyak diutarakan oleh
S.Othman Kelantan. Dalam novel ini, mengisahkan tentang watak Mamat sebagai
watak utama yang memainkan peranan sebagai orang politik yang meletak jawatan
atau dalam erti kata lain melarikan diri setelah dua kali gagal dalam pilihan
raya walaupun beliau adalah salah seorang yang kuat dalam mendapatkan
kemerdekaan Tanah Melayu.
2.2.1.1
Sistem Politik dalam Perlawanan Laga Lembu
Dalam
novel Juara ini, penulis telah menyelitkan falsafah politik yang menjurus
kepada perjuangan laga lembu dan perjuangan dalam politik tidak mempunyai
banyak perbezaannya. Walaupun Mamat telah mengalami kekalahan dalam bidang politik,
namun dalam pertandingan laga lembu, Mamat ialah juara. Mamat merasa bahawa kepuasan
semasa memenangi perlawanan berlaga lembu seolah-olah sama seperti kemenangan
dalam bidang politik. Tindakan Mamat yang berlaga lembu berkemungkinan besar
salah satu cara untuk menunjukkan protesnya dalam kancah politk. Berikut
merupakan petikan yang berkaitan :
Gelanggang politik dengan
gelanggang lembu itu tidak jauh bezanya dalam praktik. Lembu itu pun sama
dengan politik. Sama-sama diperjudikan. Kalau lembu kalah, orangnya pun kalah.
Kalau politik kalah, orangnya pun kalah. Politik itu lembu. Dan lembu itu pun
politik!
(Juara, 1976 : 56)
Oleh
yang demikian, Penulis seolah-olah ingin menggambarkan yang bahawa dunia
politik dengan perjudian melaga lembu ini setaraf dan tiada perbezaannya yang
ketara.
2.2.1.2
Pemimpin yang Berpaling Tadah Terhadap Parti Politik
Dalam
novel ini, diselitkan juga kisah mengenai Hassan yang telah menyertai parti
yang lain seterusnya berjaya memenangi pilihan raya. Hassan telah menyertai
parti lain kerana telah menentang perjuangan oleh bapa mertuanya. Dalam hal ini
falsafah politik yang ditonjolkan adalah seseorang yang ingin memperoleh
kejayaan dalam hidupnya sanggup melakukan apa-apa termasuklah sanggup
mengkhianati keluarnya sendiri. Berikut merupakan bukti yang berkaitan:
Kemudian Faisah keluar kerana
pertunangannya dengan seorang orang politik partinya sendiri, Hassan. Kemudian
Hassan berpaling tadah dalam politik. Menantunya menentangnya dengan memasuki
parti lain.
(Juara 1976:38)
Salah satu falsafah politik yang
ingin digambarkan oleh penulis dalam novel ini adalah terdapat sebilangan
pemimpin yang tidak tetap kepada pendiriannya. Sikap yang diambil oleh invidividu
tersebut seolah-olah hanya mementingkan diri sendiri sahaja tanpa memikirkan
masyarakat sekeliling khususnya orang bawahan. Hal demikian dapat disimpulkan
bahawa terdapat individu sama ada pada zaman novel ini ditulis mahupun pad
zaman sekarang, mempunyai sebilangan pemimpin yang bukan ingin memperjuangkan
hak rakyatnya malah hanya mahu memenuhi kepentingan diri sendiri.
2.2.2 Falsafah Sosial
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan sosial merupakan segala yang
berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Dalam
bidang falsafah sosial pula ia merupakan gambaran kehidupan realiti manusia
yang kontekstual. Terdapat banyak falsafah sosial yang diselitkan dalam novel
ini. Antaranya berkaitan dengan aktiviti masyarakat kampung, pergaulan semasa
novel tersebut ditulis dan sebagainya.
2.2.2.1
Budaya Laga Lembu dalam Kalangan Masyarakat Melayu
Dalam
novel ini, banyak mengisahkan masyarakat Melayu yang menetap di sempadan Siam
dan Kelantan. Di sana, orang lelaki akan mengisi masa lapang mereka dengan
berlaga lembu. Dalam watak Mamat, beliau juga sering menyertai aktiviti laga
lembu sehingga mendapat gelaran ‘Pahlawan Lembu’. Mamat seorang yang memberi
perhatian kepada lembu berbanding kepada isteri dan anak-anaknya. Hal demikian
dapat dilihat melalui petikan yang berikut ;
Jali diam. Mamat diam.
Masing-masing mengagak betapa kecewanya seseorang yang kalah dalam perjudian
lembu begitu.
(Juara 1976:26)
Mamat segera melihat keberangan dan
kehandalan Calet memenangi pertarungan pagi tadi.
(Juara, 1976:11)
Budaya yang diamalkan oleh
masyarakat Melayu ada ketika itu masih lagi dipengaruhi dengan budaya-budaya
nenek moyang. Walaupun sudah terang lagi bersuluh budaya tersebut terpesong
jauh dari agama, namun budaya yang sudah lama diamalkan sukar untuk tidak
diamalkan kerana menjadi sebahagian daripada aktiviti kehidupan masyarakat Melayu pada ketika itu.
2.2.2.2
Masyarakat yang Menyalahi Undang-undang Memberi Kesan Buruk
Dalam
novel Juara, terdapat peristiwa yang menceritakan tentang masyarakat kampung
yang menyalahi undang. Bagi mereka, membalas dendam merupakan perkara yang
biasa. Dalam hal tersebut dapat dibuktikan apabila Abang Lazim, Pak Is dan
Dolah Munduk dibunuh. Setelah itu, pihak berkuasa Siam telah berjaya menangkap
Mamat iaitu suspek dalam kes tersebut namun setelah 15 hari, Mamat dibebaskan.
Peristiwa ini dapat dilihat semasa mayat Abang Lazim diusung ke rumah.
“Dua orang lelaki anak Abang Lazim
membasahi mayat ayahnya dengan air mata. Kemudian, tegak seperti seekor tedung.
Mencapai ladingnya. Mencapai kelewang, pistolnya. Akan tetapi kedua-dua beradik
itu disabarkan juga.”
( Juara, 1976:6)
Perbuatan
membalas dendam tidak sepatutnya berlaku kerana mereka merupakan masyarakat
yang beragama Islam dan terikat dengan peraturan dan undang-undang di sesebuah
kerajaan khususnya di Malaysia. Hal demikian kerana, akan mendatangkan kesan
buruk kepada perilaku tersebut disamping memberi kesan yang mendalam terhadap
mangsa tersebut. Seharusnya, perbuatan yang menyalahi undang-undang haruslah
dielakkan supaya tidak mendatangkan kesan yang buruk bukan sahaja kepada diri
malah masyarakat sekeliling.
2.2.3 Falsafah Ekonomi
Ekonomi
merupakan salah satu bidang ilmu sains sosial yang mengkaji mengenai individu
dan masyarakat dalam membuat pilihan yang betul dengan menggunakan sumber
ekonomi seperti tanah, buruh, modal dan usahawan untuk memenuhi kehendak
manusia yang tiada had. Dalam novel Juara ini falsafah ekonomi yang digarapkan
menjurus kepada keadaan ekonomi masyarakat Melayu di luar bandar seperti
perniagaan kecil-kecilan, pertanian, perniagaan secara haram dan sebagainya.
2.2.3.1
Pendapatan yang Menyalahi Undang-undang
Dari
aspek falsafah ekonomi pula, dalam novel ini turut menggambarkan keadaan Mamat
yang bergantung kepada pendapatan dengan cara yang menyalahi undang-undang
iaitu wang kemenangan dari judi berlaga lembu. Hal tersebut dapat dilihat
melalui petikan yang berikut :
“Dia (Mamat) bangga dengan
kemenangannya sebagai pahlawan lembu. Julukan itu tidak ada apa-apa hinanya di daerah ini. Nama
julukan itu memudahkan dia mendapat wang
dari mana sahaja. Bila-bila!”
(Juara, 1976 :30-31)
Sebagai
seorang yang beragama Islam Mamat tidak seharusnya mencari rezeki dengan sumber
yang haram iaitu dengan berjudi laga lembu. Dalam aspek ketua keluarga pula, dia
juga tidak seharusnya menunjukkan teladan yang tidak baik untuk anak-anaknya
dan perlu menyediakan nafkah yang halal untuk mereka.
2.2.3.2
Berbakti kepada Tanah
Sebagai
masyarakat yang tinggal di luar bandar, kebanyakan akiviti ekonomi mereka lebih
menjurus kepada pertanian. Oleh itu, dalam novel Juara ini, penulis telah
memasukkan cerita mengenai Jali, Mat San dan Semail yang telah kehilangan
bapanya. Oleh yang demikian, mereka telah mengambil alih terhadap enam ekar
tanah yang mempunyai pokok-pokok getah. Hal demikian dapat dilihat melalui
petikan yang berikut ;
Dia tiba-tiba teringat kepada
anak-anak muda yang setia; Jali, Mat San dan Semail. Jali yang dibesarkan di
sini, anak jati Bangnara, kehilangan bapa sejak kecil. Hidupnya bersama ibunya
yang sudah tua, bergantung kepada pokok getah enam ekar pesaka bapanya.
(Juara, 1976:35)
Aktiviti berbakti kepada tanah sebenarnya mendatangkan
banyak manfaat kepada pengusahanya. Hal demikian kerana, pendapatan yang
diperoleh agak lumayan kerana tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama
untuk menyelesaikannnya dalam satu hari atau tidak perlu berkerja selama lapan
jam sehari seperti di pejabat. Dalam masa yang sama juga, pengusaha bukan sahaja
dapat mengusahakan sejenis sahaja tanaman malah boleh melakukan aktiviti yang
lain seperti menjaga lembu.
2.2.4 Falsafah Etika
Etika
atau ethos yang membawa maksud adat kebiasaan. Falsafah etika bersifat teori,
menyelidik, memikir dan mempertimbangkan mengenai baik atau buruk. Etika lahir
daripada budaya sesuatu masyarakat. Banyak falsafah etika yang diterapkan dalam
novel Juara ini.
2.2.4.1
Hidup Hendaklah Berpegang pada Janji
Sikap
menepati janji merupakan salah satu sifat keperibadian yang mulia. Jika
terdapat individu yang mempunyai sikap seperti itu dia merupakan individu yang cemerlang
kerana apabila membuat perjanjian dan perjanjian tersebut ditetapi. Sikap ini
dapat dilihat pada Pak Mat yang berjanji akan bersara dalam bidang poltik sekiranya mengalami kekalahan
dalam pilihan raya dan akhirnya dia menunaikan janjinya. Hal tersebut dapat dilihat dalam petikan yang
berikut ;
“Saya akan
bersara dari politik kalau saya kalah dalam pilihan raya ini!
(Juara, 1976:8)
Dan keputusannya? Dia kalah lagi!!!
Dia jatuh terjelepok di atas
kerusinya di dalam dewan pembukaan undi di Maktab Ismail. Beberapa orang
kawannya memegangnya.Dia dipapah kembali ke rumahnya. Semalam-malaman itu dia
tidak tidur sepicing pun!
Lawannya yang dianggap mentah dan
tolol dalam perjuangan itu menjadi pahlawan atas kekalahannya. Dan, dengan
ingatan yang kukuh dan azam yang kuat, dia mengingati akan sumpahnya- dia akan
bersara daripada politik.
Dengan perasaan yang sangat terharu
dan dukacita yang tidak terperikan, dia pun bersara daripada politik!
(Juara, 1976: 9)
Sikap yang ditunjukkan oleh Pak Tam
merupakan sikap yang perlu diikuti oleh masyarakat. Hal demikian kerana, sikap
tersebut amat mulia dan bertepatan dengan ajaran agama Islam. Dari segi budaya
pula, sikap tersebut dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan tiada persengkatan antara
satu sama lain jika memgamalkan sikap bertepati janji.
2.2.4.2
Pertolongan Perlu diberikan Kepada yang Memerlukan
Dalam
novel ini juga, diselitkan peristiwa individu yang menolong orang dalam
kesusahan. Sikap ini merupakan salah satu amalan yang sangat mulia. Falsafah
etika tersebut harus ada dalam diri
setiap manusia. Dalam novel Juara ini, watak Jali telah menyelamatkan Pak Mat
daripada lembu yang sedang naik minyak. Pak Mat mungkin akan mengalami
kecelakaan jika Jali tidak menolong Pak Mat. Berikut merupakan petikan yang
menceritakan tentang peristiwa tersebut ;
Mamat tersedu dalam hatinya. Dia diselamatkan
oleh Jali. Ketika dia sedang diterjah oleh Aral iu, Jali baru tiba untuk
menyambung menoreh getah di situ. Baru Mamat ingat. Hutan-hutan kecil itu di
dalam getah Jali. Jali mendengar dia menyeru nama Sani. Jali segera menerkam ke
tempat suara itu. Jali melihat Aral sedang mengerjakan dia. Jali mula-mulanya
menyangka suatu permainan. Apabila, melihat itu sungguh-sungguh lalu masuk cuba
menetak lembu itu. Akan tetapi, mujurlah Jali agak panjang akalnya. Dicapainya
sebatang kayu. Dengan pukulan yang kuat ke atas tubuh lembu yang sedang
mengamuk itu, telah melepaskan dia daripada tikamannya yang bertubi-tubi. Waktu
itu juga turun Sani dan Salim. Kemudian, beberapa orang lagi datang. Aral cuba
menerkam lagi. Akan tetapi, segera diberkas.
(Juara, 1976: 69)
Sikap
yang ditunjukkan oleh Jali hendaklah dijadikan sebagai panduan dalam hidup
kepada masyarakat kini. Kita hendaklah berbuat baik antara satu salam lain.
Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat hanya mementingkan diri
sendiri sahaja dan tidak mahu mengambil tahu akan masyarakatnya sekeliling.
Oleh yang demikian, sikap tidak mahu menjaga tepi kain orang perlu dibuang oleh
masyarakat kini.
2.2.5 Falsafah Metafizika
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), metafizika atau metafizik iaitu falsafah atau
ilmu pengetahuan mengenai segala yang di luar alam biasa atau yang tidak
kelihatan. Menurut Seri Lanang et. al (2016), metafizika ialah bidang falsafah yang
mempunyai kaitan dengan kewujudan dan
keberadaan. Bidang metafizika ini boleh dipecahkan kepada tiga aspek iaitu
ketuhanan, manusia dan benda-benda yang tidak berakal.
2.2.5.1
Percaya kepada takdir Allah S.W.T
Sebagai
masyarakat yang beragama Islam harus percaya terhadap takdir yang ditetapkan
oleh Allah s.w.t. Allah telah menetapkan ajal maut dan hal ini terdapat dalam novel Juara. Pak Mat percaya
bahawa setiap manusia mempunyai takdir yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. berikutan
dengan peristiwa Pak Mat yang hampir-hampir kehilangan nyawa sebanyak dua kali
iaitu pada kali pertama selepas perlawanan laga lembu yang berkemungkinan dia
akan ditembak seperti Pak Lazim tetapi
Pak Mat telah pulang terlebih dahulu. Dia bersyukur bahawa dia masih
hidup dan berpeluang untuk memelihara anak dan isterinya. Kali kedua pula semasa
dia ditikam oleh lembunya sendiri ketika lembunya naik minyak.
Mamat memamah giginya sendiri. Dia
mulai sedar. Ada usaha hendak membunuhnya. Tuhan yang menyelamatkannya. Tuhan
masih melihat kebaikannya hendak memelihara anak isterinya. Kebaikan dia hendak
menjadikan Jusuh anak yang berguna itulah memeliharanya. Dan, itulah dua kali
dia terlepas daripada bahaya. Abang Lazim ditembak. Dia pulang awal. Aral
menikamnya. Jali menyelamatkannya. Ya Tuhan! Mamat berseru dalam hatinya. Dia
merasakan dirinya dalam kawalan Tuhan. Kawalan itu kerana doa anak-anaknya.
(Juara, 1976:6)
Walaupun
ujian yang Allah s.w.t berikan kepada umatnya terasa berat untuk dihadapi oleh
mereka. Walau bagaimanapun, setiap umatnya tetap jua menghadapinya dengan baik
dan redha dengan apa-apa yang dikurnikan oleh Allah s.w.t. Sikap yang
ditonjolkan oleh watak Pak Tam menggambarkan bahawa beliau percaya bahawa ujian
yang diberikan kepadanya, beliau terima dengan hati yang terbuka. Sikap
tersebut hendaklah diamalkan kepada semua masyarakat supaya tidak berlakuknya
masalah emosi dan kecelaruan minda.
2.3 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
Menurut Seri Lanang Jaya Hj.
Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md Idris (2016), nilai juga bersifat
aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan
manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Oleh itu,
nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga
menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu budayyah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau
akal. Budaya amat berkait rapat dengan kehidupan masyarakat kerana budaya
dibentuk berdasarkan pegangan atau kepercayaan sesebuah masyarakat.
Nilai
budaya ialah konsep-konsep umum yang telah disusun dan mempengaruhi perbuatan yang berhubung dengan
alam, kedudukan manusia dengan alam, hubungan sesama manusia dan sebagainya.
Sistem nilai ini dijadikan panduan dalam melaksanakan sesuatu. Nilai budaya ini
terhasil daripada amalan yang menjadi pegangan sesuatu kelompok masyarakat.
Nilai budaya ini akan menjadi panduan dan rujukan dalam kehidupan masyarakat
dalam hal-hal tertentu seperti tingkah laku yang berlandaskan budaya. Secara
ringkasnya, nilai budaya merupakan nilai yang disepakati oleh masyarakat.
Pandangan
hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu,
bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan
dengan Tuhan, manusia dan alam. Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib
al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi
hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah
pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia
mengenai kewujudan seluruh alam. Terdapat beberapa nilai budaya dan pandangan
hidup yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam novel Juara karya S.Othman
Kelantan.
2.3.1 Semangat Setia Kawan
Kawan merupakan antara individu
yang boleh menjadi pemangkin semangat kita. Islam tidak menggalakkan manusia
memutuskan silaturahim antara satu sama lain. Semangat setia kawan ditunjukkan
dalam diri mamat terhadap kawannya Abang Lazim. Mamat tidak dapat menahan
dirinya apabila melihat rakannya dibunuh di hadapan matanya sendiri. Mamat amat
menghormati dan menyayangi rakannya. Oleh sebab itu, Pak Mat tidak dapat
menahan rasa sedih dan sebak apabila melihat tubuh rakannya terbujur kaku di
hadapannya dengan dua lubang menembusi kepala dan perut abang Lazim. Bukti
dapat dilihat dengan jelas dalam contoh berikut.
Dia dipaksa bersabar dalam seluruh kehancuran dadanya.
Dia tahu, tindakan segera tidak akan tidak akan menghasilkan apa-apa. Tapi hati
manakah dapat melihat kawan mati di depan mata?Bentaknya.
(Juara, 1976 : 1)
Pandangan
hidup yang ingin diketengahkan melalui nilai budaya ini adalah mengenai kasih
sayang yang wujud dalam persahabatan mampu menjadikan seseorang itu sentiasa
bersedia untuk mempertahankan persahabatanya. Persahabatan yang baik secara
tidak langsung dapat melahirkan kasih sayang yang tidak mampu dibeli dengan
wang ringgit.
2.3.2 Tidak Mudah Berputus Asa
Nilai budaya ini dapat dilihat
melalui watak Mamat dan Abang Lazim.
Walaupun bidang perjuangan mereka berbeza, namun mereka tidak mudah
berputus asa. Perjuangan Pak Mat adalah untuk memenangi kemerdekaan bagi orang
ramai. Manakala, Abang Lazim berjuang untuk orang-orang yang bertaruh dalam
perjudiaan laga lembu. Selain itu, Pak
Mat berjuang habis-habisan dalam mencari Pak Isa yang telah membunuh Abang
Lazim. Dia sanggup pergi ke Kelantan dalam usaha menjejaki Pak Isa bagi misi
membalas dendam. Sebagai contoh:
Dia dan abang Lazim menerima
nasib yang sama. Perjuangan yang sama.
Hanya berbeza lapangan. Abang Lazim berjuang untuk orang-orang yang
bertaruh dalam perjudian laga-lembu. Dia
berjuang untuk memenangi kemerdekaan bagi orang-orang yang anti dan separuh anti-kemerdekaan.
(Juara, 1976 : 6)
Jelas
dapat dilihat dalam diri Mamat dan Abang
Lazim yang sentiasa berjuang dalam bidang lapangan mereka. Biarpun terdapat pelbagai rintangan dan dugaan,
mereka tidak mudah berputus asa. Sikap tidak mudah berputus asa akan menjadikan
setiap manusia sentiasa berusaha dalam mencapai impian mereka. Pandangan hidup
ini yang menjadikan mereka sentiasa dihormati. Kematian Abang Lazim diratapi dan
dibela oleh rakan-rakannya serta keluarga.
2.3.3 Perjuangan dalam Diri
Nilai budaya ini ditonjolkan
melalui watak Mamat atau lebih dikenali
sebagai Pak Mat. Semangat perjuangan
dalam diri Pak Mat dilihat apabila dia betul-betul berjuang untuk menuntut
pembelaan atas kematian Abang Lazim. Pak Mat mencari Pak Isa hingga ke
Kelantan. Walaupun dia gagal menemui Pak Isa di Kelantan, dia tetap meneruskan
usaha sehingga ke Selatan Thailand pula. Pak Mat ingin menuntut bela atas
kematian Abang Lazim yang dikatakan dibunuh oleh Pak Isa. Berikut merupakan contoh
yang terdapat dalam novel.
Mamat kemudian kembali ke dalam
dadanya. Ke dalam ingatannya. Dia sedang berjuang sekarang. Perjalanannya juga
adalah perjalanan orang yang sedang berjuang. Tapi kepulangannya ke Kelantan
bukanlah kepulangan pejuang kemerdekaan. Bukan. Dia dapat merasakan itu bukan.
Bukan sama-sekali. Tapi dia pulang untuk mengesan musuhnya.
(Juara, 1976 : 19)
Pandangan
hidup yang ingin diketengahkan melalui nilai ini adalah semangat perjuangan dalam diri akan
mendorong individu tersebut dalam mencapai hasrat yang diingini. Pak Mat
berjuang berhabis-habisan untuk menuntut bela atas kematian Abang Lazim.
2.3.4 Berpandangan Jauh
Pengarang telah menonjolkan watak seorang ayah yang
berpandangan jauh dalam novel ini. Pak Mat telah menghantar anaknya ke sekolah
Inggeris yang terletak di Pasir Mas kerana dia mahu anaknya mengubah nasib
mereka sekeluarga. Jusuh dihantar tinggal bersama saudara Pak Mat di Kelantan.
Anak-anak Pak Mat yang lain tidak mempunya pendidikan tinggi dan sama
sepertinya. Pak Mat amat yakin bahawa Jusuh tidak akan mengikut jejaknya
mengadu lembu kerana Jusuh pernah menyatakan bahawa perbuatan itu salah di sisi
agama. Contoh dalam novel adalah seperti berikut.
Jusuh masih belajar di sebuah
sekolah Inggeris di Pasir Mas. Dia mengharapkan anak laki-lakinya ini akan
beroleh tempat tegaknya yang baik di Kelantan. Dia mengharapkan Jusuh akan
tetap naik dengan pelajarannya.
(Juara, 1976 : 13)
Pandangan
hidup yang ingin diketengahkan ialah ilmu pelajaran amat penting bagi seseorang
individu. Selain itu, ilmu pelajaran juga mampu mengubah nasib keluarga serta
membezakan antara baik dan buruk. Jusuh mampu membezakan antara perkara yang
halal dan haram dalam agama kerana dia berpendidikan. Jusuh berikrar ingin
belajar bersungguh-sungguh dan Pak Mat amat yakin dengan kebolehan Jusuh.
2.3.5 Tepati janji
Nilai budaya ini jelas dilihat
melalui watak Pak Mat yang berjanji akan bersara sekiranya dia kalah dalam
pilihan raya. Pak Mat telah berucap dalam satu majlis perpisahan parti yang
dibuat khusus untuknya. Contoh dapat dilihat dalam petikan teks berikut.
Mamat masih ingat. Dia
bersumpah dengan perjuangan politiknya. Kalau dia kalah pilihanraya (yang juga
dihadiahkan kawasan yang sangat bahaya), dia akan berhenti politik.
(Juara, 13:1976)
Selain itu, nilai ini juga dapat dilihat melalui watak
Jusuh. Jusuh bersungguh-sungguh belajar kerana dia telah berjanji dengan
ayahnya. Harapan Pak Mat untuk melihat Jusuh mencapai taraf pelajaran yang
lebih tinggi. Harapan itu juga yang membuatkan Jusuh bersemangat ingin belajar
bersungguh-sungguh keran dia sedar usaha ayahnya untuk menempatkannya di
Sekolah Inggeris itu. Contoh dalam novel adalah seperti berikut.
“Jusuh akan belajar
bersungguh-sungguh, ayah.” Dia hamper-hampir meraung mendengar ikrar tidak
sengaja anaknya yang bongsu itu. Tunggal laki-laki.
(Juara, 38:1976)
Menepati
janji merupakan satu sifat yang melambangkan peribadi yang baik. Individu yang
cemerlang merupakan individu yang menepati janji dalam membuat satu perjanjian.
Sikap sentiasa menepati janji akan menjadikan sesuatu hubungan atau
persahabatan akan bertambah kukuh. Jusuh dan Pak Mat telah membuktikan bahawa
mereka amat menepati janji. Peribadi mereka yang baik telah menyebabkan orang di
sekeliling mereka amat menyenangi mereka.
2.3.6 Kesetiaan
Nilai kesetiaan ini dapat
dilihat dalam diri anak-anak muda yang tetap setia dengan Pak Mat walaupun
menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan. Anak-anak muda tersebut ialah Jali,
Mat San, Semail, Sani dan Salim. Mereka tetap bersama-sama dengan Pak Mat
walaupun setelah kehilangan Abang Lazim. Mereka bersama-sama dengan Pak Mat
dalam menuntut pembelaan atas kematian Abang Lazim. Pak Mat mengakui tentang
kesetiaan mereka. Contoh dalam novel adalah seperti berikut.
Dia tiba-tiba teringat kepada
anak-anak muda yang setia: Jali, Mat San dan Semail.
(Juara, 1976
: 35)
Inilah puncanya. Inilah.
Orang-orang yang setia seperti Jali, Mat San, Semail, malah Sani dan Salim
adalah orang-orang yang gagal dalam pelajaran.
(Juara, 1976 : 40)
Kesetiaan
merupakan nilai budaya yang amat mulia. Hubungan yang terbina akan menjadi
lebih kukuh dengan adanya kesetiaan. Dasar utama kekalnya sesebuah hubungan itu
adalah kesetiaan. Setia terhadap pemimpin. Setia terhadap persahabatan. Oleh
itu, kesetiaan merupakan pandangan hidup yang mendasari sesebuah hubungan.
2.3.7 Akidah Islam
Terdapat nilai budaya Islam
yang diketengahkan dalam novel juara. Budaya akidah Islam ini dapat dilihat
melalui watak Mamat. Mamat telah menuliskan kalimah Allah pada mayat Abang
Lazim sebelum dikapankan dengan sempurna. Selain itu, watak Lebai Syukur turut
menunjukkan bahawa akidah Islam turut diterapkan dalam novel ini. Bukti tentang
akidah Islam yang disandarkan dalam novel ini dapat dilihat dalam petikan teks
di bawah:
Kemudian, Lebai Syukur
memulakan zikir. Mamat ikut berzikir sungguh-sungguh. Dia mengharapkan pahala
zikir dan bacaan ayat-ayat suci Al-Qurannya akan diterima Allah seratus persen
untuk aruah Abang Lazim. Biarlah aruah sahabatnya akan bersenang lenang dalam
kuburnya.
(Juara, 1976 : 4)
Kemudian tiga orang
anak-anaknya mengucupi mayat itu seorang demi seorang. Mamat menuliskan kalimat
Lailaha illallah melintang dahi mayat
abang Lazim dengan telunjuk kanannya dengan tulisan isyarat.
(Juara, 1976 : 5)
Akidah
Islam sewajarnya diterapkan dan diamalkan oleh setiap umat Islam. Akidah ini
mampu mengawal diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok.
Umat Islam sewajarnya menitikberatkan tentang ilmu akidah dalam diri sendiri
supaya kekal dalam landasan agama yang sebenar. Watak Pak Mat dilihat mula
kembali kepada akidah Islam selepas kematian Abang Lazim. Dia seolah-olah
tersedar tentang perbuatannya apabila mula berfikir tentang halal dan haram.
2.4 Estetika dan Kepengarangan
Nilai estetika dalam sesuatu
karya yang digarap akan menimbulkan kesan yang baik dan indah kepada pembaca.
Setiap karya sastera seperti novel, cerpen, puisi, sajak dan sebagainya lagi
pasti diselitkan dengan nilai-nilai yang indah. Perkara ini bertujuan untuk
menarik minat pembaca dalam menghayati sesuatu yang hendak disampaikan oleh
penulis. Estetika pada dasarnya merupakan perkataan yang berasal daripada
bahasa Yunani iaitu ‘aesthesis’ yang membawa maksud tanggapan. Umumnya,
estetika adalah cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan
keindahan. Khususnya, estetika sebenarnya merupakan bidang ilmu yang
membahaskan keindahan, cara sesuatu seni itu terhasil dan penghayatan oleh
pembaca.
Kita
juga dapat melihat nilai estetika melalui penggunaan gaya bahasa. Gaya bahasa
dalam karya memainkan peranan dalam menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Gaya
bahasa juga mampu mempengaruhi dan merangsang pemikiran pembaca. Penggunaan
gaya bahasa menjadi unsur estetika dalam karya kerana penulisan tersebut
mempunyai gaya yang tersendiri. Lazimnya, gaya bahasa yang sering digunakan
oleh penulis adalah seperti metafora, personifikasi, sinkof, simile, hiperbola
dan banyak lagi.
2.4.1 Gaya Bahasa
i.
Metafora
Metafora merupakan gaya bahasa
kiasan atau perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa atau
makna sebenar perkataan berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan yang lazim
terdapat dalam puisi. Sifat gaya bahasa metafora ini ringkas, padat, tersusun
rapi dan kebiasaanya terdiri daripada dua patah perkatan. Terdapat beberapa
jenis metafora iaitu metafora implisit, metafora rancu, dan metafora usang.
Metafora implisit ialah pengucapan yang mengandungi unsur-unsur bandingan yang
memang tersirat sifatnya. Metafora rancu pula ialah penggunaan atau percampuran
dua atau lebih unsur metafora dalam sesuatu perkataan. Manakala metafora usang
pula ialah kiasan yang tidak lagi mempunyai keaslian penyairnya.
Dia meniti di atas mayat itu
dengan matanya yang dipenuhi air hening.
(Juara, 1976 : 2)
Malam sudah berlabuh. Di sana
sini tentera malam menyerkup perkampungan sekitar
(Juara, 1976 : 11)
Sudah bertahun-tahun Mamat
tidak menjejakkan kakinya di tanah Kelantan, darah nanahnya.
(Juara, 1976 : 17)
Dalam deretan fikirannya, dia
melihat wajah Semail.
(Juara, 1976 : 36)
Dadanya diterkami segugus
debaran yang berdetak serentak dengan penglihatan matanya yang jatuh di situ.
(Juara, 1976 : 43)
Sebuah gunung kesangsian
terbangun tegak dalam dada Jali.
(Juara, 1976 : 118)
Minah menjonggolkan kepalanya
di bibir pintu.
(Juara, 1976 : 127)
ii.
Personifikasi
Personifikasi ialah pemberian
atau penyerapan sifat-sifat manusia kepada benda yang tidak bernyawa atau
sesuatu yang abstrak untuk mendapatkan kesan sastera dan berseni. Personifikasi
juga merupakan perlambangan atau pengemukaan benda yang tidak bernyawa sebagai
mempunyai sifat-sifat manusia. Penggunaan personifikasi dalam karya dapat
menggerakkan imaginasi pembaca. Berikut adalah contoh personifikasi yang
terdapat dalam novel Juara.
Seluruh kehingar-bingaran yang
menyodok-nyodok setiap sudut rumah, mencekik hatinya.
(Juara, 1976 : 2)
Seolah-olah seluruh kawasan diselubungi dan dicekik
kesepian.
(Juara, 1976 : 2)
Segumpal kerisauan dan
keheranan terbangun dalam dadanya.
(Juara, 1976 : 3)
Malam sudah berlabuh. Di sana
sini tentera malam menyerkup perkampungan sekitar.
(Juara, 1976 : 11)
Sebuah debaran terbangun dalam
dada Jali.
(Juara, 1976 :17)
Dengan tiba-tiba, tiba-tiba,
dada Mamat dihujani debaran.
(Juara, 1976 : 43)
Dikerahnya fikirannya untuk
berbicara.
(Juara, 1976 : 45)
Perlahan-lahan, ya
perlahan-lahan, seperti bulan yang berjalan, seperti mentari, ingatannya kembali ke dalam kepalanya.
(Juara, 1976 : 46)
Ingatan itu perlahan-lahan
berbaris dan berjalan masuk ke dalam kepalanya.
(Juara,
1976 : 47)
Hari masih pagi. Sinar mentari
pagi kelihatan menyembul garang.
(Juara, 1976 : 51)
iii.
Simile
Simile ialah gaya bahasa yang
menunjukkan perbandingan secara langsung dengan sesuatu benda. Tujuannya adalah
untuk menimbulkan kesan penegasan maksud atau menimbulkan keadaan berirama.
Penggunaan simile ini mudah dikesan kerana gaya bahasa ini menggunakan kata
bandingan iaitu seperti, bagai, umpama, laksana dan sebagainya. Dalam novel
Juara, penggunaan simile dapat dilihat seperti berikut.
Tapi kaupun garang seperti
Calet apabila berlawan.
(Juara, 1976 : 121)
Batang lehernya seperti perdu
kelapa. Kuku kakinya membengkok mencengkam tanah.
Betis dan paha Calet penuh isi dan kelihatan berketul-ketul. Kulit dan bulunya bersih dan berkilat-kilat
menangkap cahaya. Badannya yang gempal agak memanjang
bulat padat penuh kegagahan. Pergerakannya pantas seperti seladang. Kalau
tanduk Calet cakah seperti tanduk Aral, dia seratus peratus yakin, Calet tidak akan kalah seumur hidup.
(Juara, 1976 : 63)
Perlahan-lahan, ya,
perlahan-lahan, seperti menarik sesuatu yang sangat berat di dalam lumpur, dia
cuba menarik kesanggupan fikirannya.
(Juara, 1976 : 45)
Lumat-lamit seperti debu.
(Juara, 1976 : 46)
Perlahan-lahan, ya
perlahan-lahan, seperti bulan yang berjalan , seperti mentari, ingatannya
kembali ke dalam kepalanya.
(Juara, 1976 : 46)
iv.
Sinkof/sinkop
Sinkof merupakan gaya bahasa
yang menggunakan singkatan kata. Dalam novel ini, banyak singkatan kata yang
digunakan. Antaranya ialah kau, tak, tu, dan pelbagai lagi. Contoh yang
terdapat dalam novel Juara adalah seperti berikut.
“Kalau kau sanggup membuat
segala-galanya, mengapa aku tak berani?” Abang Lazim menegaskan.
(Juara, 1976 : 65)
“Tak habis-habis kau mengusik
kakakmu.” Minah separuh mengomel.
(Juara, 1976 : 85)
“Sani usul. Budak tu diupah.”
(Juara, 1976 : 88)
“Kawannya tu bukan untuk mati
bersama-sama Dolah,” sela Mat San. Dia tu datang
nak melihat perlagaan lembu saja.
(Juara, 1976 : 115)
Kau pembunuh. Tapi kau berhak
membunuh musuhmu.
(Juara, 1976 : 120)
“Ngapa tangkap ayah kita? Orang
lain kan ramai yang ada hari adu-lembu tu? Tekan
Faisah dengan berani.
(Juara, 1976 : 132)
v.
Hiperbola
Gaya bahasa ini membawa maksud
penyataan yang dibuat secara berlebih-lebihan dan melampau. Dengan kata lain,
gaya bahasa ini melebih-lebihkan sesuatu perkara dengan maksud untuk memperhebat,
meningkatkan kesan dan daya pengaruh dari segi ukuran, jumlah dan
sifat-sifatnya. Berikut adalah contoh penggunaan hiperbola dalam novel Juara.
Walaupun sudah berkali-kali dia
melihat darah dan badan berkecai oleh pergaduhan-pergaduhan
di kawasan ini.
(Juara, 1976 : 21)
Mamat merenung muka Jaafar.
Muka itu hitam terbakar.
(Juara, 1976 : 23)
Dengan matanya yang separuh
kabur dalam udara pagi yang meruap oleh tutupan kabus yang masih ada tetapi
menipis, dia memerhatikan ke sekitar.
(Juara, 1976 : 43)
Dia merasakan semua
tulang-tulangnya sudah hancur lebur.
(Juara, 1976 : 46)
Kulit dan bulunya bersih dan
berkilat-kilat menangkap cahaya.
(Juara, 1976 : 63)
vi.
Bahasa dialek
Dialek ialah satu bentuk bahasa
yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial yang berbeza
dengan bahasa standard. Dialek merupakan loghat khas bagi daerah itu. Umumnya,
kebanyakan negeri di Malaysia ini mengamalkan dialek yang tersendiri. Melalui
novel Juara, dapat dilihat penulis menggunakan dialek kelantan memandangkan
cerita ini adalah berlatarbelakangkan Siam yang merupakan sempadan negeri
tersebut.
“Demo dah makan ubat?” Suara
Minah separuh berbisik ditelinganya.
(Juara, 1976 : 83)
“Biar ambo balik.” Kata Mat
San.
(Juara, 1976 : 87)
“Aku tak lih kata gitu” jawab
Mamat dengan perlahan.
(Juara, 1976 : 88)
“Ambo ke sana petang tadi jual
getah. Kawan Dolah tu bukan orang Munduk. Dia orang sini juga,” Seli
menjelaskan dan mendekati Jali.
(Juara, 1976 : 118)
Secara
ringkasnya, unsur estetika dan seni bahasa yang terdapat dalam karya dapat
menarik minat pembaca untuk menghayatinya. Penggunaan unsur-unsur estetika yang
dimainkan dalam jalan cerita mampu menguji dan merangsang pemikiran pembaca.
Keseluruhannya, novel Juara ini banyak digarapkan dengan unsur estetika oleh
pengarang yang menjadikan kronologi penceritaannya lebih menarik.
2.4.2 Teknik Kepengarangan
Novel Juara
Dalam menghasilkan sebuah karya
yang bernilai, pengarang seharusnya menguasai tahap penulisan seperti
pengalaman artistik yang mampu mempengaruhi kreativiti dalam mengarang.
Pengalaman kebiasaanya lahir daripada pemerhatian, bayangan, pembacaan, dan
pengaruh. Kepengarangan merupakan aspek keperibadian yang dicapai oleh
pengarang iaitu kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Dalam menghasilkan karya
yang unggul dalam mencipta keperibadian masing-masing, pengarang haruslah
mempunyai prinsip keperibadian yang tersendiri.
Karya-karya
penulisan S. Othman Kelantan banyak menunjukkan kemampuannya dalam meneroka
pemikiran dan permasalahan dalam konteks pembangunan negara dan masyarakat
serta pergolakan politik tanah air. Kepengarangannya adalah berdasarkan prinsip
‘bukan cerita yang diutamakan tetapi mesej yang dipentingkan.’ Berdasarkan
prinsip ini, pengarang banyak menulis dengan menonjolkan ciri-ciri kritikan
halus yang membina. Dalam novel Juara, pengarang mengemukakan kiasan dan ibarat
dalam teks karyanya. Kiasan adalah hikmah atau pengajaran daripada kejadian
yang digambarkan manakala ibarat pula akan diperoleh dalam bahagian akhir
sesebuah cerita yang diterapkan. Kiasan muncul pada metafora atau perbandingan
yang dipilih manakala ibarat pula adalah kesan pengajaran fungsi yang dipilih.
Dalam
novel Juara, pengarang memaparkan perlawanan laga lembu yang juga dilihat
sebagai perlambangan perjuangan dalam politik. Di sini menunjukkan pemikiran
pengarang dalam menggarap jalan penceritaan yang lebih menarik di mana
pengarang melambangkan perlawanan laga lembu sebagai simbolik kepada perjuangan
politik yang diketengahkan. Sebagai mana dunia perlagaan lembu, pengikut yang
bertaruh menjadi mangsa kepada juara lembu. Dapat dirumuskan bahawa perlakuan
laga lembu adalah seperti perlakuan politik. Dua plot ini dijalinkan bersama
iaitu memperjuangkan politik sebagai perintis kemerdekaan dan perlawanan laga
lembu sebagai kegiatan masa lapang
Mamat
yang sebelum ini merupakan salah seorang ahli politik yang telah kalah. Mamat
merupakan watak utama dalam penceritaan ini. Dalam perlawanan laga lembu, Mamat
secara psikologinya telah merasa menjadi juara semula apabila memperoleh
kemenangan dalam perlawanan tersebut seolah-olah dapat menebus kekalahan dalam
parti politiknya yang lalu. Contohnya dalam petikan di bawah.
Mamat tiba-tiba teringat kepada
perjuangan politiknya. Gelanggang politik dengan gelanggang lembu tidak jauh
bezanya dalam praktik. Lembu itu pun sama dengan politik. Sama-sama
diperjudikan. Kalau lembu kalah orangnya pun kalah. Kalau politik kalah
orangnya pun kalah. Politik itu lembu. Dan, lembu itu politik, fikir Mamat
sebentar.
(Juara, 1976 : 101)
Pengarang
turut menggunakan teknik imbas kembali. Pengarang jelas memaparkan Mamat dengan
mengimbas kembali saat-saat perjuangan politiknya dalam pilihan raya dan
kekalahannya sehingga menyebabkan dia bersara.
“Lawannya yang dianggap mentah
dan tolol dalam perjuangan itu menjadi pahlawan atas kekalahannya.Dan, dengan
ingatan yang kukuh dan azam yang kuat, dia mengingati akan sumpahnya – dia akan
bersara daripada politik.”
“Dengan perasaan yang sangat
terharu dan dukacita yang tidak terperikan dia pun bersara daripada politik!”
(Juara, 1976 : 85)
Selain
itu, teknik imbas kembali juga dilihat apabila pengarang cuba mengetengahkan
semangat persahabatan. Semangat ini dipaparkan oleh watak Abang Lazim dan Mamat
yang merupakan sahabat karib yang tinggal berjiran. Berikut adalah contoh
petikan daripada novel.
“Berbaringlah kau
tenang-tenang, Lazim, di dalam kuburmu, dia berseru dalam hatinya. Dan,
satu-satu detak jantungya berguguran jatuh ke dalam ingatannya selama
hampir-hampir sepuluh tahun dia bersahabat dengan Abang Lazim di Selatan Siam
ini.Alangkah serunya pengalaman.Alangkah!”
(Juara, 1976 : 6&7)
2.5 Nilai Ilmu dalam Novel Juara
Setiap karya mempunyai nilai
ilmu yang tersendiri lebih-lebih bagi sesebuah karya yang telah diangkat
menjadi karya agung. Hassan Ahmad (2000), menyatakan bahawa terdapat gambaran
menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Gambaran ini diperoleh dalam tradisi
orang Melayu yang ada kaitannya dengan pengalaman (praktik), abad dan budi.
Ilmu yang berdasarkan pengalaman dan pemerhatian ini sebenarnya merupakan ilmu
yang lebih penting berbanding dengan ilmu abstrak. Nilai ini digambarkan dalam
sastera Melayu melalui istilah ‘pandai’ seperti pandai besi, pandai keris,
pandai emas dan sebagainya. Petua orang tua-tua yang dianggap sudah diuji zaman
atau pengalaman sangat dihormati dan dijadikan rujukan ilmu sehingga kini juga penting untuk
memelihara adat dan warisan bersama.
Konsep nilai menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010)
adalah merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan tara, manakala ilmu pula
dirujuk sebagai ilmu pengetahuan dalam dunia, akhirat, zahir, batin dan
lain-lain. Ringkasnya, nilai ilmu ialah pengetahuan yang mempunyai nilai dan
berguna kepada penerima maklumat atau pembaca teks tersebut. Berdasarkan novel
Juara karya S. Othman Kelantan, terdapat beberapa nilai ilmu yang telah dikenal
pasti khususnya ilmu yang berkaitan dengan masyarakat Melayu. Antara nilai ilmu
yang terdapat dalam novel ini ialah ilmu politik, ilmu berlawan, ilmu mengenai
lembu, ilmu keagamaan dan ilmu rumahtangga.
2.5.1 Ilmu Politik
Menurut Heywood (2004), politik
ialah penggunaan kekuasaan atau kewenangan, suatu proses pembuatan keputusan
secara kolektif, suatu alokasi sumberdaya yang langka (the allocation of scarce
resources), atau sebagai arena pertarungan kepentingan yang penuh muslihat.
Politik merupakan (pengetahuan) bukan cara pemerintahan (dasar-dasar
pemerintahan dll), ilmu siasah, dan ilmu kenegaraan (Kamus Dewan Edisi Keempat,
2010). Berdasarkan novel Juara, pengarang menggambarkan watak Mamat sebagai
seorang tokoh politik yang terlibat secara langsung dengan perjuangan
kemerdekaan tanah air. Setelah negara mencapai kemerdekaan, Mamat mencalonkan
dirinya untuk bertanding dalam pilihan raya dengan tujuan untuk terus kekal
menjadi pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat. Namun begitu, perjuangannya
dalam bidang politik terhenti setelah beliau gagal dalam pilihan raya tersebut.
Contohnya dapat dilihat melalui petikan di bawah.
Mamat
masih ingat. Dia bersumpah dengan perjuangan politiknya. Kalau dia kalah
pilihanraya (yang juga dihadiahkan kawasan yang sangat bahaya), dia akan
berhenti politik. Kemudian dia kalah. Dia pun bersara: setelah dua puluh tahun
berjuang dalam politik.
Saya
sudah sangat tua dalam perjuangan. Sebab itu saya lemah. Kerana lemah, tenaga
saya tidak diperlukan lagi. Rakyat telah menolak saya. Perjuangan masih perlu.
Tapi apa boleh buat. Rakyat sendiri menetukan kedudukan. Masing-masing kita
haruslah mengucapkan selamat jalan kepada politik apabila rakyat membuktikan
bahawa mereka tidak mahu!”
(Juara, 1976 : 13)
Berdasarkan contoh petikan di atas, Mamat merupakan
seorang ahli politik yang telah pun meletakkan jawatan setelah gagal dalam dua
kali pilihan raya yang berlangsung di kawasan itu. Beliau menjadi tulang
belakang kepada kemerdekaan Tanah Melayu sewaktu itu kerana khidmatnya telah
mencecah dua puluh tahun. Perletakan jawatan yang dilakukan oleh Mamat adalah
disebabkan oleh jiwanya yang merasakan bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan
oleh rakyat atau masyarakat setempat dan juga beberapa faktor lain seperti
saingan hebat daripada parti lain. Dalam hal ini, jelas bahawa negara ini
mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi kerana setiap rakyat mempunyai hak
untuk memilih pemimpin. Mamat yang merasakan dirinya tidak diperlukan oleh
masyarakat setempat akhirnya membawa diri ke sempadan Siam dan memilih untuk
menjadi pelaga lembu.
Tujuan Mamat terlibat dalam bidang politik turut
dinyatakan oleh pengarang dalam novel ini. Beliau mengambil bahagian dalam
politik atas dasar kesedaran yang inginkan kebebasan. Hal ini demikian kerana
Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi dijajah oleh kuasa asing. Atas
kesedaran ini, Mamat berjuang dalam bidang politik untuk membebaskan negara
daripada penjajahan. Meskipun perjuangan beliau dalam bidang ini terhenti
setelah kalah dalam pilihan raya, namun semangat beliau tidak pernah luntur
kerana beliau sedar dalam perjuangannya ada kejayaan dan kegagalan. Keadaan ini
dapat kita lihat dalam contoh petikan di bawah.
“Tapi ayah masuk politik,” Faisah menyampuk.
“Tentu, kata dengan tenang dan sungguh-sungguh
“Belajar setakat itupun boleh masuk politik,” Jusuh
seolah-olah kagum dengan ayahnya.
“Bukan soal pelajaran Suh. Bukan.” Dia cuba menerangkan
semudah mungkin. “Politik ialah soal kesedaran mahu kebebasan. Mau kemerdekaan
tanah air.”
(Juara, 1976: 37)
Contoh di atas merupakan
perbualan antara Mamat dan anak-anaknya yakni Jusuh dan Faisah. Mamat
memberitahu anak-anaknya bahawa meskipun tahap pelajarannya rendah tetapi
beliau terlibat dalam politik kerana mahu memerdekakan tanah air. Dalam hal
ini, pelajaran seseorang itu bukanlah ukuran untuk memperjuangkan kemerdekaan
tanah air sebaliknya semangat dan kesedaran memperjuangkan kemerdekaan penting
untuk dipupuk dalam diri.
2.5.2 Ilmu Keagamaan
Ilmu keagamaan ialah ilmu
pengetahuan tentang ajaran agama. Ilmu ini sangat penting dalam mengatur dan
merencanakan kehidupan seseorang manusia. Misalnya agama Islam memberi petunjuk
cara manusia mengadakan hubungan antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam, dan manusia dengan Tuhan. Islam
telah menggabungkan agama dan juga ilmu dan kedua-dua perkara ini sangat
berkait. Tiada penentangan antara agama dan ilmu dalam Islam malah agama itu sendiri dianggap sebagai ilmu, dan
ilmu adalah agama. Ilmu dalam konteks agama Islam merangkumi pelbagai perkara
termasuklah Al-Quran, Syariah, Sunnah Iman dan lain-lain. Penekanan terhadap
ilmu jelas terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah. Berdasarkan novel Juara, ilmu
keagamaan ini dapat dilihat semasa mengendalikan dan mengurus jenazah Abang
Lazim yang telah dibunuh selepas memenangi acara laga lembu. Contohnya dalam
petikan di bawah.
Kemudian mayat itu dibasuh. Dimandikan. Orang di bawah berpusu-pusu.
Mereka menumpangi kerusuhan keluarga yang kehilangan kepala itu.
Mamat
memerhati lagi mayat Abang Lazim. Kapas telah menenggelamkan semuanya. Dan saat
akhir, isteri Abang Lazim menanamkan matanya habis-habis ke atas muka suaminya
yang pejam pucat. Kemudian tiga orang anak-anaknya mengucupi mayat itu seorang
demi seorang. Mamat menuliskan kalimat lailahaillallah melintang dahi mayat
Abang Lazim dengan telunjuk kanannya dengan bahasa isyarat. Dia menggigit bibir
bawahnya. Menyepetkan sedikit matanya. Dia sedih melihat keberangkatan
sahabatnya secara trajik. Dan dia merasakan bahwa itulah saat yang teragung
dalam hidupnya, selepas dia meninggalkan perjuangan politik sejak hampir sepuluh
tahun yang lalu.
(Juara, 1976 : 5)
Berdasarkan peristiwa di atas, pengarang novel ini turut
memasukkan ilmu menguruskan jenazah dalam Islam. Mayat Abang Lazim dibasuh dan
dimandikan sebelum dikebumikan. Dalam contoh ini, dinyatakan bahawa proses
pertama adalah memandikan mayat tersebut, proses meletakkan kapas pada bahagian
yang mempunyai lubang, proses mengecupi mayat buat kali terakhir, menuliskan
kalimah pada dahi, mengusung mayat ke tempat pengebumian, dan proses
membaringkan dan menimbus mayat secara perlahan-lahan. Hal ini sejajar dengan
garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Syariat Islam telah menentukan
bahawa jenazah hendaklah dikebumikan iaitu selepas dimandikan, dikafankan dan
disolatkan.
2.5.3 Ilmu Mengenai Lembu
Perlawanan laga lembu dalam
kalangan masyarakat Melayu khususnya di Kelantan pada masa itu sangat terkenal.
Oleh sebab itu, novel Juara banyak menceritakan hal mengenai lembu. Watak utama
dalam novel ini mempunyai ilmu mengenai lembu. Beliau banyak menerima ilmu laga
lembu daripada Abang Lazim. Kelebihan Mamat yang boleh menilai dan memilih
lembu yang terbaik untuk perlawanan amatlah disegani oleh golongan yang
gemarkan perlawanan laga lembu ini apatah lagi anak buahnya sendiri. Beliau
dapat mengetahui sama ada lembu tersebut boleh dibawa masuk untuk bertanding
ataupun tidak serta dapat menilai kekuatan yang ada pada lembu. Berbekalkan
ilmu mengenai lembu ini menjadikannya juara dalam setiap pertandingan laga
lembu. Contohnya dapat kita lihat dalam petikan di bawah:
“Tanda
ini mudah tertipu”, kata Mamat lagi. “Kadang-kadang pusaran tanda kijang itu
dibuat-buat sahaja. Waktu kita membeli senang tertipu. Pusaran boleh dibuat
dengan pelepah pisang. Dikerat dan dipolet dua tiga kali. Pusaran kijang itu
tidak akan hilang dalam sehari dua.”
Sani diam saja. Jali juga diam. Salim juga. Mereka tidak
begitu jelas tentang ilmu lembu. Memang mereka akui kepakaran Mamat dalam hal
ini. Gemulah Abang Lazim sayangkan Mamat kerana ilmu lembu inilah. Fikir Jali.
“Kalaupun Aral ini nak kalah, dia boleh menipu
dengan berpusing dua kali. Lawannya akan keliru. Dia boleh menikam maut,” Mamat
berkata sambil menggosok-gosok di bawah pusat lembu muda yang sasa itu.
(Juara, 1976 :
31-32)
Sesungguhnya,
pengetahuan mengenai lembu ini merupakan suatu ilmu yang baik. Namun begitu,
ilmu ini disalahgunakan bagi tujuan yang salah yakni dalam perlawanan laga
lembu. Perbuatan melaga lembu boleh dianggap sebagai penganiayaan terhadap
haiwan dan perbuatan ini tidak sepatutnya diamalkan. Tambahan pula, laga lembu
ini biasanya diadakan untuk tujuan perjudian yang sememangnya haram di sisi
agama.
2.5.4 Ilmu Pertahanan Diri
Ilmu pertahanan diri merupakan
satu kaedah yang wujud bagi seseorang mempertahankan diri daripada serangan
musuh. Ia merupakan kaedah berlawan secara tradisi sama ada dengan senjata atau
tanpa menggunakan senjata. Ilmu pertahanan diri ini telah lama wujud sejak
berkurun abad dahulu. Pada zaman dahulu, pertahanan diri menjadi satu amalan
bagi setiap orang terutamanya kaum lelaki harus mempelajari dan mempunyai ilmu
pertahanan diri. Pada mulanya ilmu mempertahankan diri berkembang di medan
peperangan sahaja dan secara perlahan-lahan apabila peperangan telah
berkurangan dan penggunaan senjata moden mula digunakan secara berleluasa maka
ilmu bela diri mula berkembang dalam kalangan mereka yang bukannya anggota
tentera tetapi merupakan orang awam.
Berdasarkan novel ini, ilmu pertahanan diri dapat kita
lihat dalam peristiwa Jali, Sani dan Mat San berlawan dengan Dolah. Mamat,
Jali, Mat San, Sani serta konco-konco lain amat memusuhi Dolah kerana telah
menembak Calet yakni lembu laga peliharaan Mamat dan memberi minum arak tuak
kepada Aral. Pertemuan mereka dalam satu perlawanan laga lembu telah
menyebabkan satu pergaduhan antara mereka. Dolah yang cuba menyerang terlebih
dahulu berjaya dihalang oleh Jali dan akhirnya berlaku pertelingkahan yang
menyebabkan Dolah mati. Dalam hal ini, pengarang menggarapkan ilmu pertahanan
diri dalam watak Jali, Mat San dan Sani semasa berlawan dengan Dolah. Setiap
pergerakan dan perlawanan tersebut dapat dilihat dalam contoh peristiwa
berikut:
Dolah menoleh cepat-cepat. Juga kawannya. Mereka agak heran dengan
kemunculan Sani yang tiba-tiba itu. Dolah segera menyedari kehadiran Sani yang
mendadak demikian. Dia cuba memasukkan tangannya ke dalam bajunya. Tapi dengan
tiba-tiba muncul Jali. Jali terus saja melayangkan kelewangnya ke kepada Dolah.
Kawannya cuba mengeluarkan senjatanya. Mat San segera menyambar tulang rusuknya.
Kawan Dolah terkokol-kokol. Bila Mat San cuba membuat tikaman sekali lagi,
kawan Dolah tidak membiarkan keadaan yang tidak seimbang itu terjadi. Dia terus
berlari sepantas-pantasnya. Menyelinap di celah-celah pokok getah. Mat San cuba
mengejarnya. Tapi dia segera mengerit.
(Juara, 1976 :
110-111)
2.5.5 Ilmu Rumahtangga
Sebuah pelayaran memerlukan
seorang nakhoda dan pembantu nakhoda untuk memimpin pelayaran tersebut. Nakhoda
perlu tahu destinasi yang ingin dituju supaya tidak terumbang-ambing di tengah
lautan tanpa tujuan. Perlu ada persediaan ilmu pelayaran, supaya pelayaran
berjalan lancar. Hal ini sama dengan kehidupan berumahtangga yakni perlu ada
ilmu rumahtangga dalam menjalani kehidupan bersama pasangan. Perkara yang
paling penting dalam menjamin hubungan sesebuah perkahwinan agar terus kekal
ialah suami dan isteri perlu tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Tanggungjawab suami dan isteri dalam sebuah keluarga
termasuklah menjaga anak, menyedia dan mengurus segala keperluan rumahtanga,
mendidik anak-anak dengan memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna
dan menyelanggara hal rumahtangga seperti memasak, menjahit, mengemas rumah dan
sebagaianya. Berpegang pada prinsip urusan rumahtangga adalah tanggungjawab
suami isteri secara bersama merupakan prinsip yang terbaik. Berdasarkan novel
yang dikaji pula, ilmu ini turut dipersembahkan oleh pengarang dalam
rumahtangga Mamat dan Minah. Keluarga Mamat digambarkan sebagai watak yang
cukup harmoni dan saling menghormati. Mamat mempunyai seorang isteri iaitu
Minah dan tiga orang anak perempuan serta seorang anak lelaki bernama Jusuh.
Kehidupan keluarga ini aman dan damai walaupun Mamat telah kalah dalam
pilihanraya dan ikut sama-sama melarikan diri ke Siam.
“Kemerdekaan itu seperti juga kita berumahtangga,” katanya dengan
senyum. Menenggelamkan matanya ke dalam wajah isterinya yang berbedak tipis.
Menyambung. “Sesuatunya mesti kita cari sendiri. Kalau tidak, anak-anak yang
akan dilahirkan tidak sempurna. Persediaannya tidak ada. Rumah itu tidak
selesa.”
Minah membungkam juga. Minah lebih suka mendengar
daripada berkata-kata. Inilah kelebihan Minah, fikirnya. Minah tidak banyak
cakap. Minah cepat bertindak dan setia dalam hidup. Minah sebenarnya adalah
perempuan sejati. Kesetiaannya kepada suami dan anak-anak tidak terhingga.
Kalau dia menangis, tangisannya kerana memikirkan hal-hal anak-anaknya. Kalau
Minah gembira, kegembiraannya kerana anak-anaknya juga. Seratus persen Minah
dilahirkan untuk suami dan anak-anaknya.
(Juara, 1976 : 56)
Berdasarkan
contoh petikan di atas, Mamat sememangnya seorang ketua keluarga yang tahu
tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anaknya. Beliau
dengan cara berhemah memberitahu isterinya bahawa dalam sebuah rumahtangga
perlu persediaan dan menyediakan rumah yang selesa. Minah pula sangat
menghormati suaminya serta keperluan suami dan anak-anaknya dengan penuh kasih
sayang. Dalam hal ini, Minah ialah seorang isteri yang sangat taat terhadap
suaminya. Beliau sebagai isteri, setia menuruti segala kehendak suaminya kerana
tanpa ketaatan seorang isteri, kehidupan berumahtangga pasti akan menjadi porak
peranda. Dengan demikian, jelaslah bahawa kehidupan berumahtangga yang
dipaparkan dalam keluarga Mamat dapat dikekalkan dengan harmoni dan penuh kasih
sayang kerana ilmu rumahtangga yang dimiliki oleh kedua-dua watak dalam novel
ini.
3.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, novel
Juara karya S. Othman Kelantan merupakan anologi kepada isu politik di negeri
Kelantan. Beliau telah mengaitkan perlawanan laga lembu dan dunia politik
merupakan salah satu permainan dalam dunia yang melibatkan kemenangan,
kekalahan dan perjudian bagi mendapatkan nama, pangkat dan gelaran. Dalam karya
ini juga menyelitkan kehidupan dunia politik yang sanggup membunuh demi mendapatkan
apa-apa yang dihajati. Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa politik yang
ingin dibawa oleh penulis adalah politik yang penuh dengan kekotoran dan
kekekajaman semata-mata.
Selain itu, melalui novel ini juga pelbagai mesej yang
boleh membantu masyarakat bagi menerapkan nilai murni dalam diri pembaca. Oleh
itu, S. Othman Kelantan memberi sumbangan yang besar dalam bidang penulisan
novel tanah air. Karya-karya yang dihasilkan amat bermutu tinggi termasuklah
novel Juara. Dengan menyelitkan unsur-unsur patriotisme dan latar belakang
negeri Kelantan dapat dijadikan tatapan kepada para pembaca.
BIBLIOGRAFI
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
S. Othman
Kelantan (1997). Pemikiran Satira dalam
Novel Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
S. Othman
Kelantan (2005). Juara. Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S.Othman Kelantan (1976).
Juara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Seri Lanang Jaya Hj.
Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris (2016). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan
Idris.