Menurut Seri Lanang Hj. Rohani et al. (2016), karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Berdasarkan konsep ini, maka karya agung Melayu dapat difahami sebagai karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu. Karya agung dalam konteks dunia Melayu pula boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah dan budaya Melayu (Seri Lanang Hj. Rohani et al., 2016).
Karya agung dianggap sebagai
sebuah karya ulung kerana ciri-ciri yang ada dalam karya tersebut membentuk
budaya dan tamadun sesuatu bangsa yang kekal sepanjang zaman contohnya seperti
yang kita lihat dalam bangsa Melayu pada hari ini adalah warisan karya yang
dihasilkan oleh pengkarya atau pemikir bangsa itu sendiri. Hal ini bermakna,
pengkaryaan sesebuah karya agung sebenarnya bermula daripada ketokohan penulis
karya tersebut yang berjaya merungkaikan pemikiran, seni kepengarangan, nilai
budaya dan pandangan hidup serta nilai ilmu yang bernilai tinggi dalam
persembahan karya yang ditulis.