Raja Ali Haji
Raja
Ali Haji atau nama penuhnya Raja Ali Haji bin Raja Ahmad merupakan seorang
pujangga Melayu yang telah mendapat nama dalam sejarah kesusasteraan Melayu.
Para pengkaji tidak mendapat maklumat yang tepat berkenaan tarikh kelahiran
Raja Ali Haji. Akan tetapi, menurut Siti Hawa Hj. Salleh (1997), tarikh
kelahiran beliau hanya dapat diteka daripada tarikh-tarikh yang disebut beliau
dalam kitab Tuhfat al-Nafis, iaitu pada tahun 1809 di Penyengat, Riau.
Manakala, tarikh kemangkatan beliau pula hanya dapat dianggarkan pada tahun
1869 hingga 1875 juga berdasarkan kitab Tuhfat al-Nafis.
Beliau merupakan cucu kepada Raja Haji, marhum teluk
Ketapang yang telah gugur sewaktu peperangan antara Bugis dan Belanda di Melaka
pada tahun 1784. Beliau juga berketurunan Dahing Celak iaitu pahlawan Bugis
yang menguasai bahagian barat alam Melayu pada abad ke-18 (Siti Hawa Hj.
Salleh, 1997). Ayahnya pernah menjadi utusan Sultan Riau kepada Gabenor Belanda
di Jakarta dan sepanjang perjalanan ulang-alik ayahnya, Raja Ali Haji ikut
bersama sambil menimba pengalaman sehingga dapat menemui sarjana Barat seperti
T. Rooda dan H. Von Der Waal (Seri Lanang Hj. Rohani et al., 2016).
Beliau telah menunaikan haji di Mekah seawal usia 19
tahun lagi.. Di kesempatan inilah, beliau mengambil peluang untuk belajar
bahasa Arab, menimba ilmu agama dan ilmu sufi. Beliau juga melibatkan diri
sebagai seorang guru agama kerana mempunyai pengetahuan yang luas dalam
pelbagai bidang agama dan pintar berbahasa Arab. Atas kesungguhan beliau ini,
Penyengat telah menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan
Islam di Kepulauan Melayu. Antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah
Bustan al-Katibin, Kitab Pengetahuan Bahasa, Salasilah Melayu
dan Bugis, Tuhfat al-Nafis dan banyak lagi. Raja Ali Haji juga
meninggalkan karya-karya bercorak puisi, syair dan gurindam.
Sumbangan Raja Ali Haji
Antara
sumbangan terbesar Raja Ali Haji adalah dengan melakukan evolusi terhadap
karya-karya karangan beliau. Beliau telah mencetuskan fenomena baharu dalam
dunia penulisan manuskrip dengan menambah unsur pentarikhan, pengakuan
menggunakan sumber-sumber lain yang terdahulu sebagai rujukan dan pengabsahan,
dan penyataan pengarang sendiri agar kesilapan yang terdapat dalam tulisannya
diperbetulkan oleh anak cucu terkemudian (Siti Hawa Hj. Salleh, 1997). Selain
itu, beliau telah membuat ‘pembebasan’ dalam setiap adunan karya pujangga
Melayu. Pembebasan yang dimaksudkan ialah para pujangga tidak lagi terikat
dengan sultan tentang karya yang telah dihasilkan oleh mereka. Hal ini
bermakna, pujangga bebas berkarya mengikut keinginan masing-masing bukan
semata-mata memenuhi arahan atau keinginan raja.
Raja Ali Haji juga telah memberi sumbangan dalam
bidang pensejarahan melalui karya agung beliau yang bertajuk Tuhfat al-Nafis. Isi
kandungan karya ini mengisahkan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di
negeri-negeri kepulauan Melayu terutamanya di Melaka, Singapura dan Johor-Riau
(Seri Lanang Hj. Rohani et al., 2016). Dari perspektif yang lain pula,
Raja Ali Haji menggunakan hasil karyanya untuk mengkritik cara kehidupan
masyarakat pada ketika itu telah terpengaruh dengan budaya Belanda. Dengan kata
lain, karya beliau dapat dijadikan medium kawalan sosial dari segi pergaulan,
tatacara hidup masyarakat dan sebagainya.
Raja Ali Haji memainkan peranan yang sangat penting
dari apek keilmuan dan keagamaan. Menurut Siti Hawa Hj. Salleh (1997), sejak
umur yang masih muda lagi, beliau sudah terkenal sebagai seorang ulama yang
disegani dan hal ini menerangkan sebab beliau mengarang beberapa buah kitab
agama. Hal ini demikian kerana Raja Ali Haji pernah menjadi penasihat dan guru
agama kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman, Raja Ali , Raja Abdullah
dan Raja Muhammad Yusuf. Selain itu, kedudukan Raja Ali Haji sebagai pendidik
ilmu tasawuf kepada orang-orang besar di istana kerajaan Riau dan kepada rakyat
umum adalah satu keistimewaan kerana penulisannya dipengaruhi oleh pandangannya
selaku pemerhati (Seri Lanang Hj. Rohani et al., 2016).
Raja Ali Haji juga banyak menghasilkan manuskrip
yang membicarakan aspek keagamaan dan peraturan dalam Islam, contohnya melalui Syair Siti Saniah, Syair Kitab al-Nikah,
Syair Hukum Faraid, Gurindam Dua Belas dan banyak lagi. Dalam aspek yang
lain pula, Raja Ali Haji juga turut berperanan terhadap perkembangan bahasa
Melayu pada era ketokohan beliau. Hal ini terbukti melalui manuskrip tulisan
beliau yang membincangkan tatabahasa Melayu yakni dalam Kitab Pengetahuan
Bahasa.
Abdul Samad al-Falambani
Abdul Samad al-Falambani
atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Samad al-Falambani telah dilahirkan pada
tahun 1704 Masihi bersamaan tahun 1116 Hijrah di Palembang. Beliau berketurunan
Arab kerana ayahnya yakni Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh
Ahmad al-Mahdani juga berketurunan Arab. Ayahnya merupakan seorang ulama yang berasal
dari Yaman yang juga merupakan Mufti negeri Kedah pada awal abad ke-18,
manakala ibunya pula bernama Radin Rianti berasal dari Palembang.
Syeikh Abdul
Samad telah mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri di Kedah selain
dihantar ke sekolah pondok di daerah Patani untuk mendalami ilmu tentang Islam
dengan lebih mendalam. Sepanjang pengajian beliau di pondok, beliau telah
berguru dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Di samping itu,
beliau turut mempelajari ilmu sufi dan tasawuf. Beliau telah mempelajari ilmu
sufi daripada Syeikh Muhammad bin Samman serta mendalami ilmu tasawuf dengan Syeikh Abdul Rauf Singkel dan
Syamsuddin al‐Sumaterani. Ayah beliau seorang yang sangat mementingkan pendidikan
sehinggakan Syeikh Abdul Samad al-Falambani juga di hantar ke Mekah dan Madinah
untuk belajar ilmu agama. Di sana, beliau menuntut ilmu bersama-sama Muhammad
Arsyad al‐Banjari, Abdul Wahhab Bugis, Abdul Rahman al‐ Batawi dan Daud
al‐Fatani.
Meskipun
beliau telah tinggal di Mekah untuk jangka
masa yang lama namun beliau tidak pernah melupakan negeri kelahirannya yakni
Palembang. Beliau sentiasa memberikan perhatian terhadap perkembangan sosial,
politik dan keagamaan di Nusantara. Sesungguhnya, beliau merupakan ulama yang
memiliki kepakaran dan keistimewaan dalam bidang tasawuf kerana telah mendalami
ilmu tersebut sejak kecil lagi.
Sumbangan Syeikh Abdul Samad al-Falambani
Beliau adalah antara tokoh yang paling menonjol
dalam bidang tasawuf, maka tidak hairanlah jika beliau mampu memberi sumbangan
yang besar dalam bidang ini. Dua buah karyanya yang terkenal dan masih ada
sehingga kini ialah Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin. Karya
besar beliau bertajuk Sayr al‐Salikin ila Ibadat Rabb al‐‘Alamin yang
siap dikarang pada 1778M merupakan terjemahan daripada Lubab Ihya’ Ulum
al‐Din karya Imam Al‐Ghazali. Dalam karya ini, beliau telah mempersembahkan
sistem ajaran tasawuf yang berpusatkan kepada pencapaian makrifah kesufian
melalui pembersihan batin dan penghayatan ibadah menurut syariat Islam.
Dalam karya Hidayah al‐Salikin fi Suluk Maslak
al‐Muttaqin pula memperlihatkan transformasi para ulama abad ke-18 yang mengambil
langkah untuk kembali mengikuti tasawuf sunni Al-Ghazali dengan meninggalkan
Wahdatul Wujud Ibn al-Arabi yang sangat berpengaruh di Acheh pada masa itu.
Antara karya lain beliau termasuklah Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit
Tauhid, Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah, Anisul Muttaqin dan Puisi
Kemenangan Kedah dan banyak lagi.
Sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan luas
dalam Islam, Syeikh Abdul Samad al-Falambani sedar bahawa peranan beliau dalam
penulisan amat penting dalam perkembangan sosial, politik dan keagamaan di
Nusantara. Hasil tulisan beliau banyak menyeru umat Islam untuk berjihad
melawan penjajah Eropah yang ketika itu menjajah kawasan Nusantara. Beliau
menyebarkan ajaran-ajaran sufisme melalui pengkaryaan yang dihasilkan. Beliau
juga berperanan aktif dalam menyelesaikan dua persoalan pokok di Nusantara
ketika itu yang berkaitan dengan dakwah Islamiyah dan kolonialisme Barat.
Menerusi dakwah Islamiyah, beliau memberi peringatan
kepada masyarakat agar tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat yang
menyimpang daripada ajaran tasawuf sehingga mengabaikan syariat. Bagi
penyelesaian terhadap permasalahan kolonialisme Barat pula beliau menghasilkan
sebuah karya untuk meniupkan semangat jihad kepada umat Islam yang bertajuk Nasihah
al‐Muslimi wa Tazkirah al‐Mu’min fi Fadail Jihad fi Sabilillah.
Tun Seri Lanang
Nama sebenar beliau ialah Tun Muhammad.
Beliau bergelar Paduka Raja seorang yang berjawatan Bendahara. Tun Seri Lanang
dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau merupakan anak
kepada Orang Kaya Paduka Raja Ahmad dan Tun Genggang. Beliau berasal daripada
keturunan Tun Perak, bendahara Melaka yang dikatakan sangat bijak dan membawa
Melaka ke persada dunia. Beliau juga merupakan Bendahara Paduka Raja , Johor
antara tahun 1580 dan 1615.
Beliau lebih
dikenali sebagai pemimpin berbanding pengarang namun minatnya dalam bidang
kepengarangan yang membolehkan beliau melakukan titah Sultan Abdullah Maayah
Syah ibni Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah dengan sempurna. Beliau memurnikan
karya tersebut setelah mendapatkan teks tersebut dari Goa. Kerja mengarang ini
bermula pada bulan Februari 1614 sewaktu di Johor dan disambung di Acheh. Pada
tahun 1613, Sultan Iskandar Muda Mahkota alam telah melantik Tun Seri Lanang
sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga. Selain itu, beliau juga pernah
dilantik sebagai penasihat kepada tiga sultan Acheh iaiu Sultan Iskandar Muda
(1607M-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636M-1641M), dan Sultanah Tajul Alam
Safiatuddin Shah (1641M-1675M). Beliau mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan
dimakamkan di sana.
Sumbangan Tun Seri Lanang
Semasa hayatnya, Tun Seri
Lanang pernah menjadi bendahara kepada dua Sultan kerajaan Johor Lama. Beliau
telah menjadi bendahara di bawah pemerintahan Sutan Ali Jalil Shah II pada
tahun 1570M hingga 1597M. Seterusnya, beliau telah menjadi menjadi bendahara di
bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III pada tahun 1597M hingga
1615M. Tun Seri Lanang atau Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad merupakan
pengarang yang terkenal dalam penghasilan buku sejarah mahupun panduan istiadat
dalam peradaban, kebudayaan serta sistem pemerintahan Melayu.
Beliau juga bertanggungjawab dalam mengembangkan agama
Islam di Semenanjung Melayu hingga ke tanah seberang ketika diberi kepercayaan
memerintah Samalanga, Acheh, Indonesia pada tahun 1645M. Pada zaman itu, agama
Islam telah disebar secara meluas. Pada tahun 1612M, Tun Seri Lanang telah
menerima titah daripada raja untuk menulis semula atau memurnikan semula
Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin. Sejarah Melayu mula ditulis pada bulan
Februari 1614M iaitu 103 tahun setelah Melaka ditakluk Portugis. Proses
mengarang ini berlaku di Johor dan kemudian disambung di Acheh.
Sejarah Melayu dikategorikan sebagai sastera sejarah atau
historiografi yang menceritakan tentang pertumbuhan dan perkembangan kerajaan
sesebuah negara atau sebuah negeri. Sejarah Melayu dijadikan sumber rujukan
zaman berzaman untuk mengkaji tamadun Melayu. Hasil kepengarangan Sejarah
Melayu menggambarkan kebijaksanaan, pengetahuan yang luas serta kreatif
pengarang tersebut iaitu Tun Seri Lanang. Tun Seri Lanang menulis Sejarah
Melayu kerana titah raja yang menginginkan hikayat dan adat istiadat Raja-raja
Melayu ditulis supaya memberi kebaikan dan faedah untuk tatapan generasi masa
kini. Jelaslah bahawa, Tun Seri Lanang merupakan seorang tokoh yang memberikan
banyak sumbangan kepada perkembangan bahasa dan peradaban Melayu.
Hamzah Fansuri
Hamzah Fansuri atau lebih
dikenali sebagai Syeikh Hamzah al-Fansuri merupakan salah seorang tokoh ulama
dan terkenal dalam bidang puisi masnawi. Beliau dikatakan lahir pada penghujung
abad ke-16 di Barus atau Fansur dalam wilayah kekuasaan Aceh. Hal ini demikian
kerana tahun lahirnya tidak dapat ditentukan secara tepat. Negeri asalnya juga
dipertikaikan sama ada “Syahru Nawi” nama bandar Ayuthial, ibu kerajaan Siam
pada zaman dahulu atau nama lama tanah Acheh sempena nama seorang pangeran Siam
bernama Syahir Nuwi yang membangunkan Acheh sebelum kedatangan Islam Acheh pada
zaman itu menjadi pusat ilmu pengetahuan Islam pada abad ke-16.
Syeikh Hamzah al-Fansuri atau lebih dikenali sebagai
Hamzah Fansuri merupakan antara tokoh yang terkenal pada zaman pemerintahan
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Syah (1606/1607-1636TM). Beliau juga
dikatakan seorang penganut Syi’ah yang sesat dan ada yang berpendapat bahawa
beliau mengikut mazhab Imam Syafie dalam bidang fikah dan mengamalkan tarekat
Qadiriyah oleh sebahagian ulama sufi. Bukti tentang tarikh kematiannya tidak
tertulis dan dinyatakan dalam mana-mana kitab atau penulisan.
Sumbangan Hamzah Fansuri
Syeikh Hamzah Fansuri merupakan
seorang ulama tasawuf dan sastera Melayu. Beliau banyak memperjuangkan agama
ketika hayatnya. Hamzah Fansuri mempelopori bidang penulisan puisi-puisi
falsafah dan mistik bercorak Islam. Karya
–karya tidak dapat ditandingi dalam bidang ini. Selain itu, beliau dikenali
sebagai perintis dan pelopor dalam bidang kerohanian, keilmuan, bahasa, sastera
dan falsafah. Beliau terkenal sebagai seorang guru dan ulama yang mempunyai
pengetahuan yang mendalam dalam bidang tasawuf, fikh, mantik, sastera, sejarah
dan falsafah.
Beliau juga merupakan orang pertama melahirkan kitab
ilmiah bahasa Melayu yang mempertingkatkan darjat bahasa Melayu sebagai sebuah
bahasa intelektual dan penting dari aspek penyebaran ilmu dan persuratan. Hamzah
Fansuri gemar menulis sastera dalam bentuk puisi dan prosa. Beliau terkenal
sebagai pelopor puisi Islam yang bersifat agama dan tasawuf atau sufi. Setiap
karya yang dihasilkan tidak seharusnya dilihat pada dasarnya sahaja, sebaliknya
perlu dilihat secara mendalam dari aspek tujuan beliau menghasilkan sesebuah
karya itu.
Sumbangan Hamzah Fansuri dalam bidang bahasa juga amat
besar. Hal ini dapat dibuktikan melalui syair-syair dan risalah-risalah tasawuf
yang amat bermakna dalam proses Islamisasi bahasa Melayu. Islamisasi bahasa dan
Islamisasi pemikiran dan kebudayaan tidak banyak bezanya. Syair-syairnya bukan
sahaja memperkayakan perbendaharaan kata bahasa Melayu malah mengintegrasikan
konsep-konsep Islam dalam pelbagai bidang kehidupan dalam sistem bahasa. Hamzah Fansuri merupakan penyajak Melayu
pertama yang menggunakan syair dalam tulisan jawi. Beliau sengaja menggunakan perkataan-perkataan
Arab secara kerap kerana beliau menulis untuk mengajak para pembaca karyanya
untuk berfikir ke arah membentuk budi pekerti dan bukan sekadar hiburan
semata-mata.
Beliau dikatakan sebagai orang pertama yang menulis ilmu
tasawuf dalam bentuk sastera iaitu syair. Sebagai pengarang, Hamzah Fansuri
merupakan seorang yang profilik, rajin dan penuh dedikasi. Beliau hidup sebagai
seorang sufi dan pekerjaan kepengarangan beliau dilakukan penuh sufistik. Oleh
itu, jelaslah bahawa Hamzah Fansuri memberikan sumbangan yang besar dalam
perkembangan bahasa dan peradaban Melayu.